30 March 2012

Untuk lelaki yang belum tampan lagi

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani


ini fiksyen semata-mata . agak panjang . jika rajin , bacalah . jika tidak mampu biar saya seorang baca .

muda dan silam .

ketika waktu kecil , aku lihat yang tampan itu lelaki dan yang cantik itu perempuan . bagiku , lelaki yang tampan akan diikat dengan perempuan yang cantik . namun , selang beberapa tahun , aku terjumpa lelaki yang kurang tampan yang mukanya tidak lah setampan watak-watak dalam drama swasta mahupun pelakon komersial . 

aku merenung dalam-dalam muka tidak tampan itu . anehnya , perempuan cantik itu memberi pandangan penuh cinta kepada lelaki tidak tampan itu . lebih aneh lagi , aku mampu memberi intepretasi yang perempuan cantik itu sangat mencintai lelaki itu . manusia memang tidak bisa tahu apa yang terkandung dalam hati manusia lain .




pantasnya waktu itu bergerak , sehinggalah pelbagai iklan komersial yang bercambah dengan evolusi produk kecantikan dan ketampanan yang baru ; pencuci muka , pewangi , pelentik bulu mata , pencegah selulit dan pelbagai lagi . dahulu ketika mengaji di sekolah rendah , ustaz melantunkan suaranya berkenaan satu firman daripada kitabullah .


Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.  Surah An-Nisaa' : ayat 119


sejak itu , usia muda lagi mentah ini sering mencela dan mencaci setiap iklan komersial yang berkenaan produk kecantikan dan ketampanan . ini tidak boleh dan itu tidak boleh . pantas sahaja aku cantas segala bait-bait daripada rakan . jangan begitu dan begini , engkau tidak sepatutnya ada rasa mahu untuk lakukan ini dan itu .

begitulah sehingga usia mencecah puberti , perbezaan menjadi jelas atas dasar fitrah sebagai seorang lelaki . daripada susuk fizikal sehinggalah warna mentaliti . segalanya berubah atas alasan biologi yang rencah menyebarkan propagandanya dalam tubuh ini .

badan semakin meninggi , muka menjadi berminyak dan bertambah pula radang-radang merah dan misai kumis dahulu mula menebal . dalaman pula invasinya lebih hebat ; menjadi lebih malu , cepat gemuruh dan desakan hati untuk tertarik kepada kecantikan . ya , cantik itu ialah perempuan .




tarikan yang menggila itu bisa merobek dinding ego tetapi anehnya sikap malu itu juga yang mengekangnya daripada bersua muka dengan si cantik manis . betullah kata mereka , yang menjadi perisai terakhir bagi manusia yang beriman ialah sikap malunya . jika sudah tiada malu , maksiat itu bukanlah perkara luar biasa baginya . perisai tiada , peluru durjana mudah sahaja tembus ke dahi .

anehnya , sesuatu yang selalu dicelakan , aku gunakan untuk menyelesaikan masalah biologi aku juga yang sedang menggila ; mencuci muka dengan pencuci muka , menggunakan gel rambut , menyembur pewangi yang tiada yang lebih harum daripada harum yang terlalu dan memakai pakaian yang menarik perhatian sejauh blok A sehingga blok F . aku mahu menjadi yang terbaik , mahu jadi lebih hebat , mahu jadi lebih tampan dan mahu erm entahlah satu perasaan yang aku tidak ketahui . berdosakah aku menjadi yang lain ? oh , aku tidak kira . yang penting perasaan itu nyaman dan aku sanggup menggadai banyak wang untuk beristiqamah .

namun , itu tidaklah membuat aku puas . aku ini hanya sebuah pameran yang di mana manusia yang lalu lalang akan memberi pandangan biasa , bukan pandangan mahu memuji jauh sekali pandangan cinta . kata rakan , umpama rumput di tepi jalan raya . tiada mahunya pemandu memberhentikan kenderaan mereka sekadar mahu melihat rumput .  tetapi rasa nyaman itulah yang buatkan aku rajin mengubah diri ini menjadi lelaki tampan .



Oppa! Oppa! Oppa!





lelaki popular itu , apabila dia datang sahaja berada jarak dalam sekitar 5 meter sahaja daripada aku , mahu sahaja aku cekik lehernya . geram . lagak kasonavanya memang berhantu . mempermainkan pandangan cinta puteri-puteri yang cantik di situ dan di sana . tetapi lelaki popular ini bukannya kasonava yang memakai pangkat rendah , ini yang ada pingat kebesaran warna kuning . wajahnya persis artis korea , keluarganya mewah , genius dalam akademik , olahragawan terkenal dan tiada lagi mahu dituliskan di sini , jika ditulis lagi bimbang pula berita hari yang mendatang gempar dengan isu kasanova yang menjadi hantu . 

namun , apa yang menjadi tarikan kepada perempuan-perempuan cantik sekelilingnya ialah wajah koreanya yang tampan yang bisa memanahkan panah arjuna kepada hantu-hantu korea dan hantu-hantu drama bahasa lain . itulah yang malangnya dia menjadi rakan serumah , rakan sekuliah dan rakan meja belajar .

falsafahnya , " lelaki yang tampan itu akan menarik berjuta pandangan . pandangan yang banyak itu aku nikmati untuk aku usap kaca gelasnya dan tiada mahu aku untuk menikmati pandangan itu jika kaca gelas itu hanyalah sekadar perhiasan yang tidak mampu menampung air . "

ya , lelaki tampan itu bisa melakukan invasi yang hebat . menggempur hati perempuan cantik yang rapuh . mudah sahaja jatuh hati dan mudah sahaja dikecewakan . tetapi hati yang mana mampu memberi pandangan cinta yang mampu menampung air di dalam kaca gelas .



Stail kasanova . 




aku merah sahaja minggu ini . dia menolak ramai hati cantik dalam satu minggu ini . hati milik perempuan cantik yang menjadi angan-angan untuk aku sentuh . tiada sentuh pun , mahu melihat hati itu sudah pun buatkan pipi ini merah menahan lenguh malu-malu . panas . geram . baran . aku hanya mampu memberi renungan tajam kepada lelaki itu . 

menyedari akan itu , dia berkata " aku mahukan pandangan yang bahagia , bukan mahukan pandangan begitu dan begini . " kata-kata itu langsung tidak memberi enak dalam hati ini . ya , dia memang buaya . jika lelaki sendiri yang mengatakan lelaki lain itu buaya , dia ialah lelaki yang sebenar-benar buaya yang tiada lagi benar selain daripada buaya yang sebenar-benarnya . ok , ini merepek . hiperbola tahap maksimum .

mahu dikatakan dia seorang lelaki yang cukup ilmu agamanya , dia berlatar belakangkan pendidikan agama baik mahupun datang daripada keluarga yang tarbiah . hancur lebur hormat ini apabila dia selalu berdampingan dan berdua-duaan dengan perempuan yang berbeza walaupun mereka selalu di tempat yang sesak dengan ramai manusia . atas alasan mahu belajar dan sokongan moral . 

syukur juga yang dia ada masa untuk solat berjemaah di masjid . tapi perasaan aneh juga yang timbul dalam hati . perempuan-perempuan cantik di situ pula bertambah yakin yang dia ialah calon suami mithali . terkadang berserban dan berjubah persis orang korea yang mempunyai tradisi arab . hati ini tertahan-tahan seperti ada bisikan yang cuba masuk melalui uretra hati tetapi disekat dengan kontraksi spinter hati . itulah azabnya menahan sangka buruk . 

perempuan yang bertudung labuh yang malu-malu juga ada menyimpan hati untuk dia . itulah , yang tampan lagi alimlah pemacu kebahagian . tampan dan alim . wajah tampan dan alim ini berlambak di laman facebook yang mereka selalu lukis dan disertakan dengan kata-kata hikmah dalam gambar itu . wanita-wanita bertudung labuh pasti suka benar dengan watak dalam gambar yang sudah ada realitinya .




aku mula rasa tidak senang . membawa diri ini pergi jauh , menahan azabnya bisikan jahat itu . mencari ketenangan untuk aku tahu yang tampan itu warna yang indah yang tidak mampu aku lakarkan dalam kanvas putih .


lelaki yang biasa .





aku baring sahaja selama beberapa hari ini di masjid . niatnya iktikaf . bukan mahu lelapkan mata cuma mahu mengendurkan beberapa urat yang tegang . hadir senyuman itu , buatkan aku laju sahaja bangun daripada perbaringan . dia lelaki yang berketayap putip dan masih lagi senyum memandang aku yang termangu-mangu menahan diri ini mahu berbaring .

mukanya biasa-biasa sahaja , tidaklah tampan dan tidaklah kurang . namun , ada tarikan yang buat mata ini memberi pandangan kepada sinar cahaya yang tiada kelihatan di wajahnya . berseri-seri dengan sebaris senyuman yang ringkas . aku membetulkan badan aku lagak seorang yang hormat kepada tetamu .

dia bertanyakan khabar dan terus sahaja memegang kunci masalah di wajah aku . ya , ia jelas terpamer kerna diri ini lelaki yang mudah diramal . bercerita panjang , entah kenapa hati ini elok sahaja bercerita kepada lelaki yang tidaklah sampai sepuluh minit berkenalan . oh , namanya dirahsiakan .

tampan itu nikmat . nikmat kesenangan yang tuhan mahu uji kepada manusia . uji yang bagaimana ? ujian itu ada dua pilihan , sama ada mahu terus leka dan bangga atau bersyukur




ya , cukup ringkas dan mudah dihadam . aku melihat bibirnya mahu berbicara .

lelaki tampan itu perlu berhati-hati dengan hatinya . riak dan ujub itu jelas jika kita tidak berjaya nipiskannya . bagaimana ? dengan mengalihkan mata ini daripada pandangan berjuta itu . setiap sisi pandangan yang ramai itu adalah menjadi ujian kepada lelaki tampan , mahu membalasnya ataupun mahu menerimanya . ramai juga yang tewas , atas dasar suplementari tambahan yang ada perempuan yakni pemakaian perempuan masa kini yang bisa memberi desakan seseorang lelaki wajah biasa pun tidak mampu menahan pandangan mereka . 

itulah fitrah lelaki yang tuhan jadikan . fitrah yang tidak dapat diubah , lelaki sememangnya suka melihat yang cantik . dengan perkembangan yang pesat dalam teknologi media , mudah sahaja lelaki tampan mahupun biasa tergolek ke kancah maksiat melihat gambar-gambar perempuan yang di ' upload ' .

 atas stimulus cantik perempuan itulah lelaki yang berperanan sebagai receptor itu sukar menahan fitrah mereka melihat sesuatu yang cantik . jika mampu menahannya , dia sememangnya lelaki yang imannya sama taraf dengan malaikat . 

lelaki ini ketawa kecil dan terus menyambung .

di dalam dunia ini lelaki baik bukanlah lelaki yang hanya dilihat sekadar observasi kasar . lelaki baik itu ialah lelaki yang berusaha . berusaha yang bagaimana ? lelaki yang rasa dirinya jahil dan mahu berusaha memperbaiki bacaan ayat al-Qurannya , mendalami maksud bacaan solat dan menjaga hubungan dengan tuhan dan manusia lain .

encik sempurna itu hanya nama yang dilampirkan karekteristik yang hebat duniawi . bagaimana khabarnya ukhrawi , adakah dia juga sempurna jika sisi akhiratnya hebat ? tidak , tuhan itu maha sempurna . dia menjadikan lelaki dan perempuan itu tunduk sujud , meletakkan kepala ini ke tanah , menyembah tuhan yang maha hebat .




aku melongo . memandang keluar melihat perempuan bertudung labuh yang berjalan dengan penuh ayu . cantik . Oppa ! terperanjat aku . lelaki ini layan drama korea ke apa . dia ketawa kecil lagi dan menyambung .

lelaki tampan itu banyak kelemahannya . antaranya , ia mempunyai probabiliti tinggi untuk mencuri hati perempuan secara sengaja atau tidak sengaja . berlebih lagi lelaki tampan itu seorang yang jenis suka melayan karenah perempuan . perempuan yang mahal pun bisa tergugat imannya jika selalu diambil berat oleh lelaki tampan itu . probabiliti untuk perempuan itu kecewa juga tinggi atas dasar layanan baik yang dilakukan lelaki tampan .

maklumlah perempuan itu fitrahnya mudah memberi hati tetapi yang istimewanya hati perempuan itu jenis terus sahaja melekat di hati lelaki itu , tidak mahu dipisahkan dan yang mahunya adalah setia .

lelaki tampan itu juga sukar mencari pandangan yang benar-benar cinta daripada balik pandangan yang berjuta ke arahnya . beruntunglah , menjadi lelaki yang kurang tampan , senarai orang yang memerhatikan anda adalah pendek dan tidak perlu bersusah payah mengenal yang ramai . lihat seorang sahabat rasulullah , Julaibib . seorang Ansar yang tiada rupa menarik dan bagaimana malang sejak lahirnya itu menjadi tuah untuknya ? dia bernikah dengan seorang perempuan yang cantik dari sisi dunia dan sisi akhirat . 




janganlah risau , perempuan baik itu mahupun tidaklah cantik seperi cantiknya isteri Julaibib , cantik sisi akhirat itu sudah cukup memadai . kerna cantik akhirat itu lebih mengatasi warna warni dunia . lelaki yang manapun akan tetap bercitakan mahu isteri yang baik bukan ? 

aku mengiyakan . lelaki ini walaupun jenayah dan dosanya berat masih berkeinginan perempuan yang baik . itu juga salah satu fitrah yang tuhan jadikan kepada kami untuk suka akan sifat-sifat yang baik dalam perempuan . ya , ini fitrah . tiada daya boleh ubah .dia berkata lagi tanpa menyebut 'Oppa' kepada aku . geli gelemen pula nanti . sempat aku tulis ini dalam nota .




- jangan jadi lelaki yang suka dan mudah memberi hati . hati ini jangan diisi dengan cantiknya wajah perempuan dengan pandangan mata yang selalu menipu . lihatlah dengan mata hati , lihat perkataan cinta itu dengan perkahwinan . apabila dengar sahaja perkataan ' cinta ' , itu ialah ' nikah ' . apabila melihat cinta itu ialah nikah , dengan izinNya , kamu tidak akan memandang perempuan itu dengan pandangan mata yang menipu . kerna dengan pandangan mata , apabila kamu lihat sahaja perempuan itu , kamu akan cinta pada hari ini , dan esoknya atau lusanya atau tulatnya cinta itu hilang dan bermusim . musim sejuk , panas , luruh , bunga atau lembab sepanjang tahun , lihat cinta itu ialah nikah . kawal pandangan , tuhan pasti suka .

- jangan jadi lelaki yang suka buat perempuan itu memberi hati kepada kamu . hati mereka rapuh dan senang memberi . jangan terlalu rapat dengan mereka , mereka pasti akan jatuh hati . jangan terlalu baik dan manis dengan mereka , mereka pasti akan suka . jangan terlalu buat mereka gembira , mereka pasti akan rindu . dan akhirnya apabila hati mereka sudah melekat setia , kamu pula yang menganggapnya teman atau rakan . punyailah rasa pemalu itu . diam-diam lelaki itu tidaklah lambang sombong , cuma tidak mahu si perempuan itu memberi hati kepada kamu . jika kamu dikatakan sombong , diamlah dan tahulah yang tuhan akan sentiasa senyum melihat kamu sabar . 

lesung pipit aku tidak terkawal lagi . tuhan suka orang yang tersenyum . senyum itu sedekah . lelaki berwajah seri ini juga bersedekah tapi aku tahu yang sedekahnya itu lebih daripada aku . aku meminta izin untuk mengambil wudhu' , waktu solat zohor lebih kurang lima minit lagi .




jika tiada tampan wajah itu , tidak mengapalah . tika kita yang tidak tampan ini berada di alam perkuburan nanti , cukuplah dengan diri kita ini dengan bertemankan lelaki tampan . lelaki tampan yang menyinarkan ruang gelap itu dan memberi luas kepada ruang yang sempit . lelaki tampan yang setia bersama di samping perbaringan kita , berbual-bual hingga ke jannah . berbual-bual tentang masa dahulunya kita berbual-bual begini di sebuah masjid yang beralaskan biru lantainya .

aku berjabat tangan . terima kasih dan nasihat kepadanya kurangkan menonton drama korea . dia hanya ketawa kecil  . muka serinya itu keluar daripada pandangan , menuju ruang muazzin untuk menyebar kalimah-kalimah cinta ke angkasa biru yang riang dengan teriakan mentari . 



Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. surah An-Nuur : ayat 30

29 March 2012

Pasukan ini tidak akan ke piala dunia...

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani

waktu senja hadir lagi . warna merah pekat di hujung barat sana ditolak ke bawah oleh tiada cahaya , gelap dan hitam zarah-zarah warnanya ; ya , hari semakin tua lagi . angin mula meniup perlahan , mengusap muka yang berminyak akibat teriakan matahari yang menggigit pori-pori kulit yang tidak malu-malu merembeskan sebum dan air masin .


lemparkan pandangan di sebuah padang bola sepak . mereka masih di situ . dua pasukan bola sepak yang masih lagi beradu tenaga , mengira jaringan gol yang terbanyak untuk dapat semanis senyum di situ . mungkin ini adat di negara ini , bagi setiap pasukan yang masih lagi terikat jaringannya ( 5-5 ) , mereka akan pastikan pasukan mereka sendiri perlu mendapatkan jaringan kemenangan yang berkelebihan satu gol atau dua dan tiga gol untuk tahu erti pulang ke rumah . 





matahari yang sudah malu-malu ditolak daya malam itu tidak memberi reaksi kepada mereka untuk tahu yang mereka perlu bersedia untuk menghadapi fasa yang baru . masih lagi leka dengan kekuatan dan semangat berada di atas padang . aku faham dengan situasi ini kerna aku juga seorang pemain di sana dahulu .

 ya , waktu muda-muda dahulu , waktu yang aku ciptakan sejarah bersama rakan-rakan yang sudah pun menginjak alam kedewasaan kini . padang itu hanya secebis memori daripada entah ke berapa bab yang lama dalam novel .


nasihat bola .





' Pasukan negara kita tidak akan masuk ke pertandingan piala dunia hatta kelayakan sekali pun jika pertandingan itu tidak dilakukan pada waktu senja . '


kami disindir . ya , kami suka bermain bola sehingga waktu peralihan siang ke malam itu . tetapi , siapalah kami untuk membangkang seorang guru yang sentiasa memberi bakti kepada kami . hairan juga , mengapa dikaitkan sekali dengan pasukan kebangsaan dan waktu senja . apa hubungannya ?


' kamu lihat diri sendiri bagaimana kamu bermain pada waktu ini , adakah kamu sedar yang pertandingan pada saat-saat akhir itulah memberi saingan yang kuat seolah-olahnya ada suatu tenaga tambahan dalam diri kamu untuk terus bermain ? ' 


kami angguk tanda faham dan mahu terus dengar yang seterusnya .


' kamu tahu apa kelebihan syaitan yang mengatasi manusia , mereka selalu tidak leka pada saat manusia sudah leka . mereka tidak leka meletakkan pil suplementari sebagai tenaga tambahan dalam mulut manusia untuk ditelan , manusia ditenggelami kuasa ghaib yang memberi rancak pada sesebuah permainan bola itu dan seterusnya terus leka bermain sehingga jaringan gol kemenangan itu . itulah helahnya . '


hati ini mula mempertikaikan . ada juga pasukan pada saat akhirnya menamatkan permainan mereka pada awal waktu dek kerna kepenatan . ya , sudah hanya ada sedikit tenaga yang tersisa dan tenaga itu hanya digunakan membawa badan pulang ke rumah .

' kamu sedar yang waktu maghrib itu pendek . tetapi , anehnya apabila sudah leka dengan tenaga tambahan itu , kamu sudah lupa masa itu tidak leka berjalan ke hadapan , menekan-nekan matahari jatuh di hujung barat sana . beruntunglah mereka yang hentikan awal permainan mereka walaupun atas dasar kemahuan mereka sendiri atau pun secara tidak sengaja yakni seperti terkena suntikan vaksin yang memberi penat kepada tubuh mereka . itu tanda yang tuhan masih sayang kepada mereka , adakah tuhan masih sayang kepada mereka yang sedang leka ? ' 

kami menggeleng . tentu sahaja tidak sayang .

' sebenarnya , tuhan masih sayang . bagaimana ? dengan kamu masih lagi ada di sini ( surau ) . Dia beri masa kepada kamu untuk bersiap-siap mandi dan waktu memilih pakaian untuk hadir ke sini . bagaimana pula dengan mereka yang tidak hadir ke sini ? '

mengangkat kening .

' tuhan juga sayang mereka . dengan terus memberi nikmat untuk sedar pada esok harinya di saat mereka sedang bermain di hujung waktu yang merah pekat , mereka gembira dengan tubuh mereka yang berlari mengejar bola tanpa tahu yang tuhan juga tersenyum melihat mereka gembira . manis bukan ? lebih manis senyum itu jika mereka tahu erti pulang untuk meluangkan masa mereka untuk berjumpa dengan tuhan pada waktu yang singkat itu .'






kami faham . walaupun pernah ada kejohanan yang disertai pasukan kebangsaan ke peringkat antarabangsa pada waktu senja dan kita memenanginya . tidaklah menolak bulat-bulat berkenaan teori waktu senja dan piala dunia .

aturan daripada tuhan itu cantik dan adakalanya kemenangan pada waktu senja itu untuk kita ucapkan tahmid yang banyak dalam ibadah . berbunga gembira memegang piala . ucapan tahmid sepanjang hari ; ditemuramah media , perbualan dengan rakan dan dalam ibadah . di saat itu tuhan yang dekat , akan memberi senyuman yang paling manis yang mana engkau sangat mustahil bisa lihat .


bagaimana mampu kita boleh melihat tuhan itu senyum dengan sepasang mata ini kerna bukankah tuhan itu maha melihat >_<

28 March 2012

Bersangka baik dengan si bukan malaikat

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani


apabila diri ini punya hati yang sederhana besar yang kemudiannya jadi kecil , diri yang berhati kecil ini hanya mampu baring . mengiring ke sebelah kanan . tidak bisa lelap . mengiring ke sebelah kiri pula . tidak juga lelap . hati kecil , besarlah kau . memandang siling putih . hati kecil ini terus mengecut .

kata-kata manusia di sekeliling , membuat jari-jemari ini buntu . adakah mahu diteruskan atau tidak . apabila sudah buntu dengan kata-kata manusia yang memberi rasa yang buat hati ini terus mengecut hingga kecil , akal fikiran tidak tenang untuk menulis sesuatu di sini .




adakah penulisan ini tidak disenangi mereka ? mahu berhenti atau meneruskan ? adakah aku sudah rasa bangga dengan kerja ini ? jika ada rasa itu , lebih pintarnya aku elakkan . tapi manusia biasa itu bukankah akan rasa gembira dan bangga dengan pencapaiannya . manusia biasa itu bukan malaikat . adakah malaikat itu berbangga dengan zikirnya dua puluh empat jam sehari ?

kebas . gelisah . tidak tenang .

pujian yang datang dan tidak kurang juga mereka yang selalu memberi semangat dalam melakukan kerja ini , sedikit sebanyak memulihkan hati yang kecil ini . hati yang kecil ini mula membesar . namun , kata-kata manusia di sekeliling timbul dalam arena minda . besar yang bagaimana hati itu , adakah hati itu besarnya seperti rasa bangga yang terlalu sehinggakan niat kerja ini menjadikan diri ini pemburu pujian . terketar . ujubkah ? Nauzubillah min zalik

kebas lagi . gelisah lagi . tidak tenang lagi .

mahu berhenti atau teruskan ? tetapi ini kerja yang baik , bukan ? adakah salah kerja baik ini dilakukan ? tetapi bagaimana dengan alunan pujian yang bertalu-talu yang hikmatnya sangat halus diprkatikkan si direjam itu ? pujian itu mampu mengubah niat . takut juga digelar berlagak , riak dan ujub . ya Allah , mohon dijauhkan perkara halus yang merosakkan hati .




bilangan 'like' yang bertambah , adakah salah satu daripada 'like' itu datang daripada Dia yang maha agung ? ragu-ragu . adakah mahu keluar atau teruskan sahaja ? risikonya tetap ada dalam dua pilihan . cuma sakitnya itu ada beza sedikit tetapi yang menjadi masalah , sakit yang mana dalam dua pilihan itu ialah sakit yang terlalu . hanya tuhan sahaja yang tahu .

adakah sesuatu yang baik perlu diperam ? tidak perlu disebarkan demi menjaga hati ini daripada terus diserang pujian yang menggila supaya tidak diserang penyakit hati ? oh , banyaknya persoalan , bisa jadi tidak siuman jika begini . tapi , salahkah seseorang itu meyebarkan kebaikan . salahkah jika kebaikan itu jika sampai hingga menyentuh hati manusia yang membacanya ?

bagaimana pula tanggapan mereka yang lain , jika kebaikan yang disebarkan itu seolah-olahnya memberi rasa kepada manusia lain yang si penyebar itu hanya mahu mengumpul puji , mahu publisiti , mahu tingkat populariti , mahu itu dan mahu ini yang bisa buat hatinya berbunga bangga .

bagaimana dengan penyanyi nasyid yang berjaya dan rajin menyebarkan mesejnya dan para penceramah dalam usaha menyebar dakwah yang terkenal di televisyen ? oh , lupa pula mereka golongan yang tinggi ilmunya . tetapi mereka juga bukan malaikat . mereka manusia biasa yang ada naik dan turun imannya . 

tidak dapat nafikan , hati ini berbunga bangga . tetapi adakah bunga bangga itu harumnya adalah bauan yang enak atau aromanya busuk dan rosak ? bangga yang mana ? oh , boleh jadi gila begini .

***********************************************

saat , murung itu hadir . teman imaginasi yang genit singgah di kolam hati . memandang dengan mata yang indah . sepertinya mahu diperkatakan sesuatu seiring dengan indahnya mata yang membuai lagu latar yang bisa menenangkan hati yang kecil .

secebis nota biru diselitkan . baca kandungannya . sebuah kata hikmah . ya , datangnya daripada bibir seseorang yang diberi hikmah oleh tuhan yang maha bijaksana . empunya bibir itu milik tuhan dan peminjam bibir itu ialah Luqman al-Hakim .




kata-kata hikmah ini dipetik daripada kisah Luqman al-Hakim yang berjalan bersama anaknya dan seekor himar .


"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."


ya , kita tidak dapat melarikan diri daripada ramai manusia yang hidup di muka bumi ini . penglihatan mereka kepada kita , daripada atas kepala hinggalah ke hujung kaki , akan diperiksa dan di ' adili ' sepenuhnya oleh mereka . mereka hanya hakim yang tidak bertauliah yang cuba menghukum tanpa mereka tidak sedari yang mereka hanyalah manusia biasa .

manusia yang tiada kurnia melihat seseorang itu luarannya tidak bagus tapi hatinya harum milik syurga yang hanya Allah sahaja yang tahu . bagaimana mahu melihat hati manusia yang tidak bagus luarannya tapi punya hati yang harumnya syurga itu ? ya , engkau hanya manusia biasa yang hidung dan matanya terbatas dalam mentafsir hati manusia di sebelah kiri dan di sebelah kanan . jawapannya sudah tentulah tuhan yang menciptakan hati ini .



Bila jumpa pelacur tepi jalan, orang akan kata “Eee perempuan kotor ni” Padahal kita tak tahu dia telah dijual oleh bapanya ketika umur 10 tahun.

Bila jumpa bekas banduan, orang akan kata “ish penjahat ni. jangan dekat dengan dia” Padahal kita tak tahu dia telah difitnah mengambil rasuah oleh sahabat karibnya sendiri.

Bila jumpa pesakit mental, orang akan kata “orang gila ! jangan kacau aku” Padahal kita tak tahu dia telah didera oleh mak tirinya hingga mengalami trauma berpanjangan.

Bila jumpa lelaki muka hodoh, orang akan kata “euww hodohnya. siapalah nak kahwin dengan kau tu” Padahal kita tak tahu lelaki tu kehilangan ketampanannya akibat melecur dalam usaha menyelamatkan ibunya dalam kebakaran.



sumber : facebook






bersangka baiklah . jangan engkau padamkan semangat mereka yang menyebarkan kebaikan , merendahkan orang daripada si penulis novel yang memberi sarat dengan pengajarannya hinggalah si penulis status facebook yang selalu berkongsi hadis dan ayat al-quran . 


soal ujub dan riak itu bukan anda senang-senang jatuhkan kepada mereka . biarkanlah mereka terus menyentuh hati manusia lain yang masih lagi buta hati . jangan dan jangan engkau padamkan semangat mereka dalam melakukan kebaikan . 


nasihat ujub dan riak itu perlu dan dilaksanakan dengan hikmah .  bukannya terus dihukum dan serang ke hatinya . sentuh dan pegang hati dia , biarkan dia sendiri merasa dan bertatih di atas jalan yang dibimbing bersama tuhannya . hati yang tersentuh akan merenung kepada tuhan , memohon keampunan jika penyakit hati itu timbul . semoga kehidupan manusia di dunia ini sentiasa diberi rahmat oleh tuhan yang maha adil .


 sampai bila lagi kebaikan itu akan disampaikan kepada manusia yang sakit , jika manusia itu masih lagi belum menjadi malaikat . jadilah apa yang tuhan jadikan , laksanakan kebaikan itu seolah-olah engkau sedang memerhatikan malaikat yang sedang berzikir .insyaAllah , semoga kita sentiasa diberi mudah .



 

26 March 2012

Tua bersamanya

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani

dapat sebuah karya animasi . ya , ada mesej yang sangat manis daripada plot karya ini . manis yang buat pipi aku lenguh menahan senyuman . >_<

tuhan , jadikanlah aku seorang lelaki yang baik . yang punya mulut yang manis . namun , mulut aku tidak dijadikan fitrahnya sebagai perisa yang manis , Engkau hanya cukupkan daku sepasang jari-jemari yang manis . semoga gadis di Luh Mahfuz itu cinta dengan lelaki yang punya jari-jemari yang manis .yang sudi setia hingga ke jam infiniti .










p/s: tamat semestar akhir dan masa untuk bekerja  .>_<

05 March 2012

Equasi makanan , tidur dan masa

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani


suasana dalam dewan kuliah itu riuh rendah dengan rengekan manusia tipikal . ya , aku yakin yang riuh rendah ini hanya bertahan selama satu jam pertama , erm mungkin setengah jam pertama bagi sesi kuliah yang berlangsung selama dua jam .


duduk di baris ketiga sebelah kanan dewan kuliah . merenung 'kematian' yang pembunuhnya ialah nota-nota elektronik yang terpapar di layar putih . renung dan berfikir untuk menghadam segala abjad dan nombor yang melekat di hadapan mata . penat . letih . bosan juga .




riuh rendah itu turun dengan drastiknya . frekuensi suara mula merudum . ya , memang durasi bunyi bising itu hanya mampu bertahan pada waktu setengah jam yang pertama . aku menoleh ke belakang . seperti bayi yang bermisai sedang lena diulit mimpi . pensyarah berada di hadapan , tidak bosan-bosan melantunkan suaranya . harapan dalam hati , harap situasi itu tidak memberi perasaan yang jengkel kepada si pensyarah =_=" .

lena dan mimpi dalam dewan yang berhawa dingin . sungguh nota-nota ini telah berjaya membunuh mereka . namun , apa yang buat aku lebih faham tentang diri sendiri dan mereka berkenaan 'kematian beramai-ramai' dalam dewan kuliah ialah berkenaan ilmu yang aku baca sebentar tadi .




 kata-kata Saidi Ali al-Syazali RA yang dipetik oleh seorang ulama’ tasawuf, Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani dalam kitabnya; Latha’iful minanu wal akhlak:


“Hasil dari pengalaman terhadap hal yang pernah kami perhatikan. Bagi menghindarkan kuat tidur ialah, makan yang halal dan meninggalkan perkara haram dan syubhah. Barang siapa yang makan makanan yang haram dan syubhah akan banyak tidurnya. Demikian itu adalah disebabkan oleh rahmat Allah, kerana pemakanan yang haram akan menggerakkan setiap anggota untuk berbuat maksiat. 
Maka Allah Taala lebihkan tidur ke atas orang yang memakan makanan syubhah untuk merehatkannya daripada melakukan maksiat. Sebagaimana lebih afdal Allah memberi rahmat kepada orang yang melakukan ketaatan dan memakan makanan halal dengan mengurangkannya dari tidur supaya ia dapat mendirikan ibadat malam dan siang.”




 bahasa mudah , ini equasi yang aku faham dan dapat simpulkan . oh , Allah itu maha pemurah >_< . SubhanaAllah .

makan makanan syubhah dan haram ---> Allah tidurkan mereka dengan kadar yang lebih ---> tak ada masa nak buat kejahatan dan maksiat sebab banyak sangat tidur

makan makanan yang halal --->Allah tidurkan mereka dengan kadar yang kurang ---->;banyak masa untuk berkhalwat dengan Allah yakni beribadat dan melakukan amalan kebaikan .


Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.  al-Baqarah ayat 172 .

usai dua jam itu meninggalkan kami . aku berkira-kira , adakah masa itu lebih kepada yang itu ataupun masa itu lebih kepada yang ini ?
 

semoga kita dapat menjawab soalan ini dengan mudah di hadapan yang maha adil . insyaAllah .


 p/s : tiba-tiba seram sejuk pula , bila tengok banyak makanan di hadapan mata =_="

03 March 2012

Nota kecil : yang manis itu akan hilang

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani

yang manis itu akan hilang jika ditatap terlalu lama . rasa manis itu perlahan , tinggalkan mata ini untuk beri tatapan lagi . manis itu sudah tiada lagi manis , rasa itu semakin tawar , tiada rasa dan tiada peduli untuk engkau beri tatap lagi kepada manis yang sudah tawar .

apabila manis yang kedua hadir sekali lagi , engkau beri tatapan yang sama seperti manis yang pertama . rasa manisnya berbeza , tapi ia juga tetap manis rasanya . tatapan lama juga diberi . rantaian beroperasi sama seperti memberi tatapan manis yang pertama . manis kedua juga kemudiannya tiada rasa , sudah tawar .

begitulah operasi seterusnya . tika engkau sedang perapkan pandangan terlalu lama , manis itu akan hilang . rasa tawar yang menempel dalam hati . manis itu sudah tiada rasa , cuma memori sahaja yang mengaktifkan rasa manis itu dalam hati , bukan jasmani .

tulisan ini hadir daripada hati yang sudah tawar , terlalu lama menatap manis yang sudah hilang rasa . dengan layar putih ini dengan tinta hitam , aku rasa yang manis itu disemadikan sebagai memori . untuk aku buaikan ingatan ini yang manis itu sudah tiada rasa .

yang pergi akan tetap pergi . yang manis itu akan hilang . dan masa itu sentiasa cemburu . nota kecil ini untuk buat aku sendiri faham yang alergi dunia sudahpun sebati dalam jasad ini . jangan fahamkan , memang anda takkan faham . =_="

p/s: introduksi bagi bahagian 'nota kecil' , yang manis itu akan hilang , tetapi pencipta rasa manis itu akan sentiasa hakiki

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...