30 July 2012

Hati , kebaikan yang spontan

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

“Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila segumpal daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” 

(HR Bukhari dan Muslim)




lelaki yang baik dinilai daripada segumpal daging yang bernama hati . hati bukanlah organ yang menyahkan toksik dalam badan yang sedang dibicarakan sekarang , ia hati yang tidak kelihatan . organ ghaib . organ yang memberi kita gelaran lelaki baik .


lelaki yang baik ialah lelaki yang bertakwa . takwa itu takut terhadap Allah . takut untuk meninggalkan perintah Allah dan takut untuk melakukan laranganNya . dan takwa itu disimpan kemas-kemas di dada manusia . di dalam hati . hati yang ghaib .


rupa seorang lelaki baik itu bukan diukur daripada fesyen islaminya . berjubah putih , berserban , bercincin , berjanggut dan memakai wangi-wangian . belum cukup lagi untuk diberi markah tinggi , mendapatkan gelaran lelaki baik . markah yang paling tinggi ialah terletak pada bersihnya hati lelaki itu . betapa hebatnya takwa yang disimpan di dalam hatinya . itu lah menentukan gred cemerlang untuk menggapai gelaran lelaki baik .


namun , tidak dinafikan juga pemakaian baik-baik ini memberi sedikit manfaat untuk membersihkan hati . kerna dengan berjubah , berserban , bercincin , berjanggut dan memakai wangi-wangian mampu mencipta 'driving force' ( daya memandu , eh) . kebaikan yang telah ada pada luaran mampu 'memaksa' seseorang itu supaya menjaga matanya . menghalang kakinya . menahan tangannya .





kerna apa? luarannya sudah comel maka di situ bermulalah proses pembersihan hati . namun , tidak juga mencukupi sekadar pemakaian yang comel begitu mampu membersihkan hati , ia juga perlu disokong dengan amalan-amalan yang disukai oleh Allah dan manusia di sekeliling .


hati yang baik -----> lelaki yang baik

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta kalian, dan akan tetapi Ia memandang kepada hati dan amalan kalian”.

 (HR Muslim)





*************************************************


ada seorang lelaki yang masuk ke dewan makan bersama teman-temannya . berjalan dengan muka yang senang hati di kala waktu itu baru usai menjawab soalan matematik tambahan yang susah . hampir pecah kepalanya menyelesaikan soalan itu selama sejam lebih . dan akhirnya dia berjaya memberi jawapan . oh , senangnya hati .


di hadapan pintu dewan makan , terdapat seekor kucing berbulu lebat dan cantik warnanya , berbelang-belang hitam putih . mungkin banyak makan ikan yang selalu diberi oleh pelajar-pelajar di situ yang kurang gemar makan ikan goreng . dia lelap sebentar setelah kenyang untuk menghadam isi putih ikan goreng yang diberi pelajar perempuan bertudung manis .


tanpa disedari , lelaki yang berwajah senang melalui pintu masuk dewan makan dan......terpijak ekor kucing yang berbulu cantik . sel reseptor sakit mula bercambah menghantar impuls ke saraf otak si kucing cantik dan dihantar semula ke kaki depan dan kaki belakang si kucing yang cantik .


kaki belakangnya melompat tinggi dan kaki depannya bersiap dengan kuku yang kemas untuk memberi cedera kepada si lelaki yang berwajah senang . si lelaki yang masih lagi bertemankan atmosfera gembira-gembira , mula memberi refleks . beralih ke atmosfera kejutan yang penuh errr errr kejutan dan kejutan . kakinya juga dilambung tinggi dan dia melatah kuat sehingga penuh gegar dewan makan itu .


laungan perkataan itu kuat terpacul daripada mulutnya kerna terkejut dengan aktiviti 'memijak ekor kucing dengan tidak sengaja' . si kucing yang cantik itu menolak kaki belakangnya untuk beredar dengan pantas . seluruh warga asrama memandangnya dengan muka yang ketat .

muka yang jelik . muka yang mahu mencebik si lelaki itu . juadah makan tengah hari yang masih tersisa di tangan warga asrama itu mula tidak diendahkan . sebaliknya , masing-masing melihat muka si lelaki yang baru terpijak ekor si kucing yang cantik .




' oh ,tuhan ! apa yang aku cakap tadi ? ' kata si lelaki yang masih lagi dalam atmosfera kejutan .


************************************************************

Sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Muslim:


“Bersungguhlah melakukan apa yang mendatangkan faedah kepada engkau, mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa lemah.”

perbuatan dan percakapan bagi seseorang lelaki itu menggambarkan isi hatinya . andai perkataan yang tidak elok itu terpacul keluar secara spontan , mungkin sahaja perkataan itu selalu dilazimi oleh setiap hari dalam kehidupan kita . andailah laungan kalimah tauhid yang diluahkan secara spontan , maka itulah tandanya hati seseorang lelaki itu mula bersih .




Allah sentiasa memberi kita ruang-ruang untuk kita berbuat kebaikan tanpa kita sangkakan . seorang nenek yang sedang membawa banyak barang yang ingin melintas jalan . dan ketika itu ada seorang lelaki yang masih punya otot dan sendi yang sihat . adakah hati ini terdetik ?

adakah hati ini terfikir apa yang perlu dilakukan ?

adakah hati ini terdetik melihat al Quran ?
adakah hati ini terdetik melihat manusia yang lapar?
adakah hati ini terdetik melihat hujan ?
adakah hati ini terdetik melihat kanak-kanak yang penuh darah ?

menangiskah mata yang ada dalam hati ini ? adakah sudah ada air mata yang lahir dalam hati ? sudah bersihkan hati ini ?



رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ


"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.


surah ali-Imran : 8





hati yang bersih tidak akan ragu untuk memberi . dan hati itu akan terus memberi secara automatik setiap kali hati itu terdetik . hati yang bersih ini selalu terdetik untuk bercakap dengan cara hati yang bersih . dan untuk melakukan perbuatan dengan cara hati yang bersih .

hati yang bersih ialah hati yang telah diberi sakinah . hati yang penuh kebahagian . tiada tekanan melihat duit dalam akaun bank hilang secara tiba-tiba . tiada rasa sedih melihat yang tersayang pergi buat selama-lamanya . tiada rasa untuk berbuat bertentangan dengan kebaikan .

hatinya dijaga dan nafsunya berada dalam kawalan yang cemerlang . hatinya penuh kalimah tauhid . hati yang bersih selalu beroperasi secara automatik dalam memberi kebaikan . automatik tangannya untuk menghulurkan bantuan kepada yang susah . automatik mulutnya untuk berkata yang baik-baik dan diam .

dengan punya hati yang bersih , segala organ luaran juga menjadi bersih . tatkala , dalaman itu sudah cantik , pastilah luaran itu menjadi comel .

berbahagialah jiwa yang tenang itu .


23 July 2012

Kerja keras + Minat + Kemahuan --> Faham + Seronok + Konsisten

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani






dapat inspirasi daripada anak-anak murid saya . secara spontan keluar daripada mulut , dan akhirnya , saya jadi malu-malu tika memutarkan kembali kata-kata itu . sungguh tajam sehingga terbatuk-batuk . uhuk uhuk =_="

"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama" 

[HR Bukhari dan Muslim]


kenapa segelintir kanak-kanak tidak suka belajar ? 

sebab mereka tak faham . diulang , mereka tak faham apa yang mereka belajar . dan apabila sudah tidak faham , datang rasa bosan . dan kemudiannya , dia mengeruhkan kebosanannya dengan bermain permainan digital dan menonton televisyen .

ia macam kali pertama saya bermain bola keranjang . saya tak tahu bagaimana untuk membuat balingan bola keranjang dengan betul . hasilnya , jaring statik . bola ke longkang . dan jemu itu mula datang dan bosan menguasai akal . berhenti bermain dan terus menonton rancangan kartun waktu petang .

apa yang mereka perlukan ialah kefahaman dalam melakukan sesuatu . tanpa faham akan menjadi satu masalah dalam pelajaran matematik . ia akan menekan-nekan minda kita untuk cuba menjawab soalan yang kurang kefahamannya . dan hasilnya , kertas dibuat roket . pen entah ke mana . tahu-tahu sudah berada di hadapan skrin komputer .





apabila sudah faham , segalanya menjadi mudah . tika kita sudah tahu membuat balingan yang betul lalu mendapat jaringan . kita akan rasa seronok . dan mula gembira untuk bermain secara berterusan . sama juga seperti menyiapkan kerja sekolah matematik dengan keadaan yang faham . segalanya menjadi 'kacang' dan aktiviti menyiapkan latihan pun menjadi lebih seronok .

kerna apa? kerna sudah faham . sudah faham dengan sesuatu .

lalu bagaimana untuk mendapatkan faham ?

mudah sahaja . kerja keras . mudah bukan ? mudah di bibir . tetapi , sukar di sendi-sendi . oh !

seseorang itu bagi mendapatkan jaringan yang betul , tepat masuk ke dalam jaring perlukan usaha yang sangat kuat . setiap hari kena turun gelanggang . jangan mudah putus asa . sentiasa berfikir dengan perkara-perkara yang baik .

pokoknya , segala perbuatan itu perlukan kuasa . ya , kuasa kemahuan . yang datangnya daripada akar yang sama . iaitu minat .

jika anda cuba mahukan sesuatu , ia perlukan minat untuk membentuk mahu . apabila minat telah berjaya dipupuk secara tak langsung kemahuan itu akan berjalan seiring . menaik dengan perlahan . dan , akhirnya kemahuan itu akan menguasai otot-otot untuk terus-berterusan beramal sehinggalah kita berjaya mencapai kefahaman . apabila seseorang itu sudah faham , keseronokkan untuk beramal secara konsisten tidak akan menjadi halangan .

ya , sekali lagi . mencipta minat menjadi masalah . minat bisa dipupuk dengan cuba-cuba terhadap sesuatu . buatlah percubaan dahulu menyiapkan soalan-soalan matematik . namun , jika tidak kuat , carilah role model sebagai seseorang yang perlu kita contohi . dengan itu , kita akan mula mencambahkan minat untuk mengeluarkan pucuk kefahaman terhadap sesuatu .


maka selepas ini , kenapa cepat rasa bosan dengan ibadah-ibadah , jawapannya sebab tidak ada kefahaman . manakan tidak , baca al-Quran pun tidak faham maknanya . tiadalah rasa , melainkan cuma lagu . mereka menangis , di sini terkebil-kebil .

dengan tercapainya faham dalam melakukan ibadat , manis itu akan berputik . keseronokkan itu lahir dan buatkan kita sentiasa istiqamah dalam melakukan ibadah sama ada wajib ataupun sunat . carilah kefahaman . moga-moga tidak ada rasa bosan dan malas-malas .



Allahumma faqihna fiddin



kalau boleh faham bagaimana membuat lontaran yang cantik , kenapa tak boleh faham makna ibadah yang kita praktikkan setiap hari ? nasihat untuk diri sendiri yang selalu lupa . uhuk uhuk

21 July 2012

Kekeringan dalam berdoa

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani



“Sesungguhnya Tuhanmu Maha Hidup lagi Maha Mulia. Dia malu melihat hambaNya mengangkat tangan berdoa kepadanya, lalu dia tidak memperkenankan apa-apa kepada hambaNya itu.”

Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah.


lambat atau cepat itu bidang kuasa Allah . tidak dimakbulkan pasti sahaja digantikan dengan perkara yang lebih baik . bersangka baiklah dengan Allah , Dia maha mengetahui . siapalah kita melainkan cuma seorang hamba .

pohonlah apa sahaja nescaya Allah akan makbulkan . dengan waktu yang mustajab yakni pada bulan ramadhan ini , janga sia-siakan lah perluang ini daripada meminta kepada yang maha pemurah .




pentingkah untuk meminta ?

ia penting . kerna menunjukkan kita lemah dan kurang . kita cuma hamba . ibaratnya , seorang anak yang tinggal bersama ibubapanya . si anak tidak merasa makan minum setiap hari kerna semua itu sudah ruitn disediakan . dia cuma meminta apabila dia mahukan duit untuk membayar yuran , duit untuk membeli pakaian baru dan duit untuk permainan cantik .

namun itulah yang baiknya , kesusahan itu mendidik kita meminta-minta demi mengeratkan hubungan antara tuhan dan hambaNya . 

samalah kita sebagai manusia , oksigen sudah ada . mentari menyilau vitamin D . angin menderu mengusap peluh . jarang sekali kita merasa seperti bab makan minum yang disediakan ibubapa . kita hanya menadah tangan untuk meminta tatkala waktu sempit . waktu peperiksaan akhir . waktu sedang berlari , lambat hantar assignment . waktu sakit kaki sebab kemalangan motor .

itulah kita yang selalu ingat waktu lapang , kita tiada rasa ( feel ) untuk berdoa kerna susah itu telah ditarik . tatkala , susah itu hadir . kita menjadi bersungguh dan bertenaga untuk meminta-minta . namun , itu tidak salah . malah , dipuji .

cumanya , waktu tidak susah . kita kekeringan idea untuk meminta . sekurang-kurangnya , waktu jatuh motor . kita akan minta tuhan supaya sembuhkan kembali kaki ini . namun , apabila sudah sembuh . sudah tiada idea lagi untuk berdoa . itulah selepas solat fardhu , susah sekali kita menghayati doa imam kerna segala yang ada ini sudah tiada rasa . senang . tidak ada lagi yang perlu dipinta .

waktu susah bukan sengaja untuk diada-adakan untuk menyeksa manusia . ianya cuma ada tangan ghaib yang cuba dihulur kepada kita untuk biar berdamping selalu . barulah ada banyak idea untuk meminta jika kita selalu susah . maka semakin eratlah air mata dengan hamparan sejadah .

hikmah , hikmah dan hikmah itu ada di mana-mana sahaja .

berjalanlah wahai hamba .





Pergilah pada hambaKu, lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya. 

Hadis Riwayat Thabrani



mungkin sahaja kita sudah mempunyai semuanya . namun , ada juga yang masih tidak mempunyai apa-apa . mereka derita . hidup susah . diselubungi sengsara . hinggakan terlupa untuk berdoa .

berjalanlah , berjalan melalui lorong kehidupan manusia lain . andaikata , diri ini sudah punya pelbagai . ketahuilah , yang belum punya pelbagai itu mungkin sahaja belum tahu apa itu merintih kepada tuhannya .

berdoalah , doa untuk mereka . sekurang-kurangnya kita dapat idea untuk berdoa tika kita berjalan di lorong-lorong kehidupan manusia lain . pasti mereka sangat perlukan doa .


“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”  

Al Baqarah: 186

Jiwa yang kecil

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani




kopiah putih senget sebelah kiri . terjulur keluar sedikit rambut hadapannya . kaki kecilnya disilakan perlahan usai solat fardhu subuh . solat fardhu pertama kali yang dilakukan sepanjang lima tahun usianya . ustazah di rancangan televisyen itu yang menerangkannya satu-satu perbuatan dalam solat . dan matanya yang tadi tertacap penuh fokus di skrin , mula membuat praktikal di hamparan sejadah hijau milik ayahnya yang selalu sibuk .





dia menadah tangan untuk berdoa . namun , belum sempat dia belajar berdoa . ibunya sudah mengalih saluran lain . rancangan hiburan berkumandang . tangannya diangkat . matanya merenung garis-garis lembut tangan genitnya . kosong . tidak tahu mahu berdoa untuk apa . yang dia ingat kata seorang ustazah itu sebelum rancangan agama itu bertukar kepada rancangan ibunya , doa itu boleh dipinta pelbagai . mintalah apa sahaja , pasti dikabulkan .


dia menggaru kepala yang tidak gatal . teringat pula rancangan kartun yang apabila digosok pelita , keluar jin yang menawarkan tiga permintaan yang pasti akan dikabulkan . namun , ini berbeza . tiada pelita . tiada jin . hanyalah menadah tangan di hamparan sejadah . kiblat ini pun ditunjukkan oleh pembantu rumahnya daripada negara seberang .


dia berfikir dan mendapat akal . pintanya cuma beberapa buah alat mainan dan makanan sedap-sedap . dan dia mendongak ke siling . apa lagi ya ? fikirannya buntu . usianya lima tahun . masih mentah . dunianya hanya dipenuhi sedikit sekali material . tidaklah kenal kertas yang dipanggil wang . jauh sekali pangkat yang membenarkan berpakaian mewah . dan mustahil sekali mengimpikan jodoh yang mithali .


dunianya cuma alat-alat permainan dan makanan sedap-sedap . sifat ketamakkan itu terbatas . apalah yang ada sangat pada pemikiran seorang budak lelaki yang mentah usianya berbanding seorang lelaki dewasa yang hidup penuh material . nafsunya masih lemah , kerna dia hanya dididik dengan godaan yang sedikit .


namun , itulah yang membataskannya untuk berdoa . daripada meminta yang lebih . permainan dan makanan . sedikit benar .




budak kecil yang masih kurang pengalaman , dicipta untuk melihat dan mengambil apa sahaja yang dia lihat . dilekat dalam jiwa dan dibiarkan sebati membentuk perbuatan . persekitaran luar itu memberi acuan kepada pemikirannya . jika yang cantik , maka jadilah yang cantik . jika yang hodoh , maka jadilah yang hodoh .

dia hidup untuk meniru . demi untuk mengurangkan batas dalam berhajat . dengan kurangnya batasan , dia akan tahu untuk meminta yang lebih . dia akan lebih gembira yang dunianya bukan cuma permainan plastik dan makanan sedap . ia lebih daripada itu .

dalam masa yang sama , itulah yang memakan dirinya . menjadikan dia pemenang dalam dunia barunya atau menjadi yang kalah . duhai anak yang kecil , moga engkau selamat dengan persekitaran ini . selamatkanlah dirimu daripada sistem yang korup agar engkau kenal erti bahagia .

mujur pembantu rumahnya yang juga pemandu yang tugasnya membawa anak kecil itu pergi dan pulang ke tadika itu , mencipta atmosfera yang cantik . menyeru si anak kecil itu menjadi jiwa yang tenang . 

ke hulur ke hilir , pemandu tua itu tidak lekang tenaganya berjalan bersama tuan muda . mencetuskan permintaan yang baik dalam doa si anak kecil . si anak kecil yang baru mengenal tuhannya .




semoga yang tidak berbumbung itu , ayah memasang bumbung besar untuk mereka .

semoga yang sedang berlapar , menemui makanan di sebelahnya selepas bangun daripada tidur . 

semoga yang tidak berkaki , menjumpai kakinya semula .

semoga yang sedang menangis itu , dapat dipeluk hangat ibu bapa mereka . 

semoga yang kotor badannya , disembur air oleh gajah . 

jiwa yang kecil . apalah sangat pada permintaan seorang yang kecil . seorang yang kecil yang perlahan-lahan menjadi jiwa yang tenang .

*******************************************

Pada suatu ketika, ‘Umar al-Khattab r.a duduk bersama dengan sekumpulan sahabat. Beliau berkata kepada mereka,
 “nyatakan harapan kamu!” 
Salah seorang daripada mereka berkata, “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.”
Kemudian ‘Umar berkata lagi,
 “nyatakan harapan kamu!” 
Seorang lagi sahabat berkata, “impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan fi sabilillah.”
‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga, 
“nyatakan harapan kamu!” 
Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”
Lalu ‘Umar berkata,

 “harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”




**************************************************




orang-orang dewasa , hidupkanlah suasana yang cantik demi untuk anak-anak kecil yang baru mengenal dunia . berkenal-kenalkanlah mereka dengan tuhan mereka agar mereka menggapai gelaran jiwa yang tenang . jangan jadikan cinta itu hanya selesai di jinjang perkahwinan , sesungguhnya orang yang benar-benar cinta itu akan bertanggungjawab ke atas generasi selepasnya . 


p/s : selamat menyambut bulan ramadhan ^_^

19 July 2012

Persoalan dan jawapan

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani


apabila sampai awan persoalan yang memayungi akal , tercetus ilham untuk bertanya . dalam menghadapi kehidupan sebagai manusia , kita tidak akan pernah lekang digasak pertanyaan dalam hati kita . tatkala kita sedang berjalan perlahan menyelusuri batu-batu kehidupan , kita akan dapati soalan-soalan baru dalam hidup . tanpa ada soalan , tiadalah jawapan .





' siapalah agaknya yang menciptakan aku ni ? ' 


persoalan lagi , bagaimana untuk menjawab soalan yang timbul begini ? ia berhampiran dengan kita . bak kata sherlock holmes , kadangkala jawapan itu ada betul-betul di hadapan kita tanpa kita sedari .


ya , setiap jawapan bagi persoalan itu benar-benar secara langsung berhampiran kita . mungkin jawapan itu tertulis di batu . mungkin sahaja di daun hijau . dan mungkin juga di langit biru . ianya jelas terpapar cuma mata kita tidak bisa melihatnya dengan lebih jelas .


bagaimana untuk melihat dengan jelas ? 


bukanlah sepasang mata fizikal yang kita guna untuk menjawab soalan canggih begini , ianya dapat dilihat dengan mata hati .


hati itu punya mata ? ya , jelas sekali . hanya mata hati sahaja dapat mencelikkan akal untuk berfikir menelaah jawapan yang jelas ada di persekitaraan kita . mata hati hanya dapat dibuka dengan amalan yang baik . itu kuncinya .


ujian yang diturunkan kepada manusia itu menyedarkan hati yang sudah lupa untuk memberi celik . maka cukuplah tuhan sebagai pendamping manusia . dan di situ ada sebahagian persoalan yang akan terjawab melalui ujian hidup yang diturunkan . bersyukurlah kerna mendapat susah . kerna yang susah itu bukan untuk niat untuk menutup segala persoalan , tetapi untuk membuka mata hati kita untuk melihat jawapan .


kadangkala , manusia itu melemparkan soalan di hatinya dan terus sahaja tuhan berikan jawapan dalam beberapa minit .


misalnya , seseorang lelaki introvert yang ingin menjadi encik penyayang telah tertanya-tanya dalam hatinya . kenapa ramai manusia kemalangan waktu hujan ?


dan jawapan itu diberi segera setelah encik penyayang itu menekan brek sehingga tayar depan motornya hilang kawalan . dan langsung tuhan memberi jawapan . inilah jawapannya yang dia cari selama ini , yang di mana tuhan itu penyayang . kerna Dia masih memberi peluang kepada encik penyayang menerima jawapannya dalam keadaan dia masih bernyawa di dunia ini .


syukur , alhamdulillah . 

jawapan itu ada di mana-mana . bukan setakat di buku teks dan nota-nota kuliah . jawapan itu ada dalam pengalaman hidup kita . carilah jawapan itu sementara masih bernafas .

لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ
“Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim”


p/s : jangan tunggang motor dan tekan brek kaki sehingga habis . nanti macam naik jet ski .

12 July 2012

Aku yang salah

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani









manusia buat silap . ramai yang terlibat dengan kesalahan yang beraneka ragam . kesilapan-kesilapan ini membuat hidup manusia itu celaka . porak peranda . mungkin untuk beberapa saat . mungkin juga untuk beberapa hari . dan bertahun-tahun lamanya .

kesilapan mengajar kita untuk menulis pembetulan . itu fitrah . kesilapan manusia itu perlu diambil ibrah .


kesilapan sesama manusia perlukan toleransi . kesilapan perlu dikongsi . bukan meninggalkan terus pesalah yang terpinga-pinga dibelit emosi muram . dan bukan juga untuk kekal meletakkan kesalahan yang total kepada pesalah . segala kesilapan itu yang melibatkan hubungan manusia itu perlu dibahagi-bahagikan .


bukannya meninggalkan satu pihak itu keseorangan . kesunyian tanpa tangan yang menghulur . terus dan terus memberi diskriminasi . dan menyangka meletakkan kesalahan kepada seseorang itu walaupun dia benar yang bersalah itu jalan penyelesaian . tidak sama sekali .




seorang pelajar lelaki dimarahi kerna tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian matematik . malah keputusan yang sangat corot sehinggakan reputasi seorang guru itu terus mencerun . maka , yang berapi itulah pasti kepala gurunya .

gurunya marah . dan memaki yang si anak murid ini malas . tidak bersungguh-sungguh . tidak memberi tumpuan yang penuh di dalam kelas . tahunya menguap lalu tidur disebalik buku teks yang ditegakkan , buat pelindung dibaling marker pen .

kadang kala , kita terlupa seorang manusia itu menunjukkan perilaku sebegitu mempunyai asbab tersendiri . si anak murid cuba menarik perhatian si guru melalui cara penyampaian bahasa tubuhnya yang tidak disengajakan . ya , mencari asbab ; mengapa si anak murid memberi laku begini ? dan bukannya terus meletakkan beban kesalahan kepada si anak murid .

sangkaan itu pelbagai . boleh jadi si anak murid berbuat begini kerna ada masalah yang begitu . menuduh anak murid itu dengan pelbagai alasan yang dicipta untuk melindungi reputasi seorang guru itu , tandanya kurang bijak .

kita menuduh manusia dengan pelbagai alasan yang tiada bukti kerna kita tidak mahu bertanggungjawab berkongsi kesalahan .

mereka bukan malas dan tidak bersungguh-sungguh . mungkin ada sesuatu yang buat mereka begini . inilah peluang kita untuk mencari sesuatu itu . sesuatu yang buat mereka malas dan tidak bersungguh-sungguh . 

( ini cuma analogi , saya anak murid yang baik ^_^ )

tepuk dada . tanya diri . adakah aku yang bersalah ? sentiasa katakan ya ! walaupun ada bisikan yang jelas mahu menebalkan ego .

terkadang kita lupa berbual hati ke hati dengan pesalah yang rupa-rupanya kita juga bersalah . bersalah kerna lupa untuk menyelami hati dan berbincang untuk menyelesaikan masalah dan menulis pembetulan .

sudah-sudahlah tu salahkan dia



apabila seseorang anak murid itu mula bosan dengan kelas . yang ada dalam kepala sekarang bukanlah terletak kesalahan seorang anak murid yang mula hilang fokus , tetapi juga kesalahan si tukang mengajar yang perlu berusaha keras untuk menyiapkan gaya penyampaian yang lebih efektif . efektif sehingga tangan mereka menjadi lebam , minat menulis banyak latihan . hah .

tanya diri , kesalahan engkau bukan engkau seorang sahaja yang tanggung , mungkin aku juga yang berbuat silap . mari berkongsi dan mengukir senyum .

11 July 2012

Memberi yang lebih

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani




kadang kala , saya suka seorang teman yang datang kepada saya . ucapkan terima kasih atas bantuan yang dia peroleh daripada saya . dia senyum-senyum . bibirnya mengoyak tanda bahagia . terus memberi refleks yang bibir kering ini terus aktif mencerna mesej daripada raut wajahnya yang mula lembut . tenang . gembira kerna ada yang menghargai pertolongan yang sedikit daripada tangan ini .


saya dijadikan teman di kala waktu sunyi dan sedih . mereka datang untuk pinta nasihat . berbincang masalah yang mencerunkan hati . memberi gundah gulana . berbual daripada hati ke hati . dan melepaskan kata-kata yang lembut hasil cetusan hati yang hangat . dan mereka sebut terima kasih . kerna hadir di sini .


hati ini juga mahu berterima kasih . kerna sudi berkongsi . sudi bersama walaupun tempoh yang singkat . waktu sedih ini selalunya pendek . tapi , tidak mengapalah . yang penting muka bahagia itu sukar sekali untuk dilihat . inikah efek keihklasan dalam amalan yang buatkan manusia senyum-senyum .


mereka tepuk-tepuk bahu dan senyum-senyum . dan berlalu pergi . mereka pergi selepas beberapa peratus masalahnya telah mula kelam . disuntik semangat untuk mencari penyelesaian . senyum di muka yang semakin hilang . lupus daripada pandangan .





namun , itulah fungsinya hati . merakam senyum yang singkat . untuk dibuat kenang-kenang semoga senyum itu tidak mudah diterbangkan angin lupa .

terima kasih kerna suka dengar nasihat . terima kasih kerna memberi puji . terima kasih kerna selalu senyum . terima kasih kerna buatkan diri ini selalu dihargai . terima kasih kerna beri saya peluang untuk mengukir harapan .

terima kasih kerna memberi ruang saya untuk memberi yang lebih . 

tatkala , sampai waktunya saya menjadi bersemangat untuk memberi yang lebih . saya tewas dalam banyak perkara .

kadang kala seperti sampah yang ditiup angin sepoi . hanya duduk di situ dan bergerak apabila dihembus angin . tak berguna . statik . tidak boleh memberi lebih . 


pilihan yang ada hanyalah melihat . memandang . memberi mata . berkata kasihan . kasihan . dan kasihan .

dan cuma berdoa . 

ramai yang kebulur , namun diri ini hanya melihat . 

tiada bumbung untuk berteduh , namun diri ini hanya melihat . 

manusia yang menzalimi manusia lain di depan mata , namun diri ini hanya melihat . 

pertumpahan darah saudara di sana , namun diri ini hanya melihat . 

pilihan apa lagi yang masih ada ? cuma berdoa dan terus berdoa .

mahu memberi lebih namun tersangkut di perbatasan diri sendiri . gigi diketap . hati mencengkam . saya hanyalah manusia yang tiada guna . di mana ruang-ruang saya untuk memberi yang lebih ? ya , ruang-ruang itu perlu dicari . tapi , bagaimana? sekali lagi , seperti manusia yang tiada guna .




yang masih ada ialah kudrat tulisan tangan ini . menyampaikan kata . menjadi pengganti mulut yang malu . ditukar dengan tangan yang pantas bicara . itu sahaja yang ada . tapi , adakah itu sudah cukup untuk memberi yang lebih ?

dan pilihan utama yang ada bagi mencipta ruang-ruang untuk memberi yang lebih adalah dengan berdoa .

kembali menjadi hamba . bahawa manusia ini perlukan tuhan dan bukannya material semata-mata untuk berbuat sesuatu .

mari sebarkan senyuman di muka mereka . agar kita juga bahagia . ^_^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...