kopiah putih senget sebelah kiri . terjulur keluar sedikit rambut hadapannya . kaki kecilnya disilakan perlahan usai solat fardhu subuh . solat fardhu pertama kali yang dilakukan sepanjang lima tahun usianya . ustazah di rancangan televisyen itu yang menerangkannya satu-satu perbuatan dalam solat . dan matanya yang tadi tertacap penuh fokus di skrin , mula membuat praktikal di hamparan sejadah hijau milik ayahnya yang selalu sibuk .
dia menadah tangan untuk berdoa . namun , belum sempat dia belajar berdoa . ibunya sudah mengalih saluran lain . rancangan hiburan berkumandang . tangannya diangkat . matanya merenung garis-garis lembut tangan genitnya . kosong . tidak tahu mahu berdoa untuk apa . yang dia ingat kata seorang ustazah itu sebelum rancangan agama itu bertukar kepada rancangan ibunya , doa itu boleh dipinta pelbagai . mintalah apa sahaja , pasti dikabulkan .
dia menggaru kepala yang tidak gatal . teringat pula rancangan kartun yang apabila digosok pelita , keluar jin yang menawarkan tiga permintaan yang pasti akan dikabulkan . namun , ini berbeza . tiada pelita . tiada jin . hanyalah menadah tangan di hamparan sejadah . kiblat ini pun ditunjukkan oleh pembantu rumahnya daripada negara seberang .
dia berfikir dan mendapat akal . pintanya cuma beberapa buah alat mainan dan makanan sedap-sedap . dan dia mendongak ke siling . apa lagi ya ? fikirannya buntu . usianya lima tahun . masih mentah . dunianya hanya dipenuhi sedikit sekali material . tidaklah kenal kertas yang dipanggil wang . jauh sekali pangkat yang membenarkan berpakaian mewah . dan mustahil sekali mengimpikan jodoh yang mithali .
dunianya cuma alat-alat permainan dan makanan sedap-sedap . sifat ketamakkan itu terbatas . apalah yang ada sangat pada pemikiran seorang budak lelaki yang mentah usianya berbanding seorang lelaki dewasa yang hidup penuh material . nafsunya masih lemah , kerna dia hanya dididik dengan godaan yang sedikit .
namun , itulah yang membataskannya untuk berdoa . daripada meminta yang lebih . permainan dan makanan . sedikit benar .
budak kecil yang masih kurang pengalaman , dicipta untuk melihat dan mengambil apa sahaja yang dia lihat . dilekat dalam jiwa dan dibiarkan sebati membentuk perbuatan . persekitaran luar itu memberi acuan kepada pemikirannya . jika yang cantik , maka jadilah yang cantik . jika yang hodoh , maka jadilah yang hodoh .
dia hidup untuk meniru . demi untuk mengurangkan batas dalam berhajat . dengan kurangnya batasan , dia akan tahu untuk meminta yang lebih . dia akan lebih gembira yang dunianya bukan cuma permainan plastik dan makanan sedap . ia lebih daripada itu .
dalam masa yang sama , itulah yang memakan dirinya . menjadikan dia pemenang dalam dunia barunya atau menjadi yang kalah . duhai anak yang kecil , moga engkau selamat dengan persekitaran ini . selamatkanlah dirimu daripada sistem yang korup agar engkau kenal erti bahagia .
mujur pembantu rumahnya yang juga pemandu yang tugasnya membawa anak kecil itu pergi dan pulang ke tadika itu , mencipta atmosfera yang cantik . menyeru si anak kecil itu menjadi jiwa yang tenang .
ke hulur ke hilir , pemandu tua itu tidak lekang tenaganya berjalan bersama tuan muda . mencetuskan permintaan yang baik dalam doa si anak kecil . si anak kecil yang baru mengenal tuhannya .
semoga yang tidak berbumbung itu , ayah memasang bumbung besar untuk mereka .
semoga yang sedang berlapar , menemui makanan di sebelahnya selepas bangun daripada tidur .
semoga yang tidak berkaki , menjumpai kakinya semula .
semoga yang sedang menangis itu , dapat dipeluk hangat ibu bapa mereka .
semoga yang kotor badannya , disembur air oleh gajah .
jiwa yang kecil . apalah sangat pada permintaan seorang yang kecil . seorang yang kecil yang perlahan-lahan menjadi jiwa yang tenang .
*******************************************
Pada suatu ketika, ‘Umar al-Khattab r.a duduk bersama dengan sekumpulan sahabat. Beliau berkata kepada mereka,
“nyatakan harapan kamu!”
Salah seorang daripada mereka berkata, “impianku adalah untuk memiliki emas yang dapat memenuhi rumah ini, agar aku dapat membelanjakannya di jalan jihad.”
Kemudian ‘Umar berkata lagi,
“nyatakan harapan kamu!”
Seorang lagi sahabat berkata, “impianku adalah agar rumah ini penuh dengan permata dan mutiara agar semuanya dapat kubelanjakan untuk jihad dan kebajikan fi sabilillah.”
‘Umar berkata lagi buat kali yang ketiga,
“nyatakan harapan kamu!”
Lalu sahabat-sahabat yang ada berkata, “kami sudah tidak tahu apa yang patut diperkatakan wahai Amirul Mu’minin.”
Lalu ‘Umar berkata,“harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu ‘Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!”
**************************************************
orang-orang dewasa , hidupkanlah suasana yang cantik demi untuk anak-anak kecil yang baru mengenal dunia . berkenal-kenalkanlah mereka dengan tuhan mereka agar mereka menggapai gelaran jiwa yang tenang . jangan jadikan cinta itu hanya selesai di jinjang perkahwinan , sesungguhnya orang yang benar-benar cinta itu akan bertanggungjawab ke atas generasi selepasnya .
p/s : selamat menyambut bulan ramadhan ^_^
3 comments:
:)
bila difikir-fikir, memang benar aku seorang yang amat beruntung. masa kecil mak ayah aku ajar aku bagaimana mahu solat, beri aku didikan agama yang cukup, ajak aku dengar majlis-majlis agama.
tidak ramai yang diajar sedemikian oleh ibu bapa mereka.
imam kat masjid selalu kata, bawa anak-anak ke masjid. biar mereka tahu bagaimana meriahnya ramadhan. biar mereka faham bahawa istimewanya ramadhan.
alhamdulillah kita semua beruntung dikurniakan mak ayah yang peduli . namun , tidak semua yang begitu . moga-moga rakan yang tidak punya suasana ini tidak pernah lupa untuk mencari suasana yang soleh .
may Allah bless
:)
Post a Comment