25 December 2014

Oasis

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani

satu hari, aku jumpa seorang pesakit. seorang perempuan yang berusia atas daripada 50 tahun, aku dah lupa umurnya. sebaik sahaja dia masuk ke klinik, kau boleh lihat cerahnya masuk menyilau mata, ia tak menyakitkan, ia menyinarkan. sepertinya cahaya yang sedang kau tunggu tunggu selepas mendaki bukit di waktu subuh, ternanti nanti matahari terbit.

sampai dia mendekat, sinarannya semakin kuat, buat aku rasa tidak selesa. dia ucap selamat pagi yang pasti buat orang lain rasa hangat. dan aku semakin cair dengan senyuman sejuta gigabyte nya. dan dia membuatkan aku teringatkan kepada seseorang yang telah lama pergi meninggalkan aku. sepanjang procedure klinikal, dia akan tersenyum. senyum yang tidak mampu aku ukir, kerna isinya penuh ikhlas dan ia membuatkan aku rasa nak muntah. aku rasa. aku rasa ini tidak realistik.

jika sudah siap satu procedure, dia akan puji. dia berterima kasih. sehinggalah habis untuk setiap procedure. jika aku buat silap, dia tepuk tepuk bahu aku. tidak mengapa. dia pandang mata aku. dia senyum. dan aku rasa aku semakin loya. kehangatan. kehangatan ini buat aku mengalami withdrawal symptom. mungkin aku sudah lama tidak merasa, jadi rasa ini buatkan aku rasa aneh.

bila tamat sudah procedure pemeriksaan, aku lepaskan dia untuk pulang. dia senyum lagi. bertambah tenaga dan arus dia lontarkan, dan ini membuatkan aku rasa tidak selesa. aku cuba senyum, tapi palsu. dan aku percaya, dia tak nampak senyum penuh plastik itu sebab aku pakai mask. dia meninggalkan kami dengan ucap selamat tinggal. semoga hari ini, hari yang bagus. jumpa lagi.

aku kepal tangan aku. kedua duanya.

celaka.

selepas kau beritahu cerita sedih aku, kau masih tersenyum. kau cakap perkara baik baik. kau maafkan aku. kau tepuk bahu aku. dan kau boleh wish semoga hari ini hari yang bagus?

celaka.
padan muka aku.

No comments: