18 August 2016

Nota sederhana - Zun-Nun



Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
al-Ankabbut : 2

Bila melihat kembali jalan jalan yang aku pilih, ada yang salah dan ada yang betul. Ada yang dikenakan penalti mahupun sepakan percuma. Segala bentuk mehnah yang sentiasa buatkan aku migraine dan tidak berhenti henti sabar sambil menggigit jari frustrasi. Aku lemah, ya Allah. Bantulah hambamu ini.

Permudahkanlah urusan ku ini. Berikanlah kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi urusan ku ini juga.

Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.
Taha : 131
Rezeki kita berbeza beza. Dan dibahagikan dengan cukup adil lagi saksama. Ada yang dapat itu dan ada yang dapat ini. Adil tuhan dan adil manusia, lain.

Adil manusia, dianggap sama in the amount of unit. Sama level dan tidak kurang dalam bentuk unit. Adil tuhan, meletakkan sesuatu itu pada tempat yang betul.

Ada sebab tuhan jadikan dia lahir sebagai miskin, andai dia lahir menjadi kaya maka banyaklah dia berbuat maksiat dek kerna mewahnya harta. Ada sebab tuhan jadikan dia lahir sebagai kaya, andai dia lahir menjadi miskin maka banyaklah dia putus asa dek tidak tertahan kemiskinannya dan kesusahannya lalu jadi kufur.

Sungguh, tuhan bekerja dalam rahsia. 

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.
al Hajj : 11
Iman turun. Iman naik. Doa selalu supaya hati yang berbolak balik ini, yang tak tentu arah ini sentiasa dikurniakan pegangan yang kuat. Dan juga supaya kita tidak terbabas menjadi nakal dan sudi redha menerima hakikat sebagaimana ajaibnya urusan orang beriman yang sentiasa bersabar dan menerima segala perkara yang tidak disenanginya sepanjang hidup di dunia.

 (Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" 

 Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
al Fajr : 15 - 16
Lain orang, lain ujian. Aku ada ujian tersendiri yang di mana mungkin kau rasa kau senang nak pass, tapi bukan aku. Bagi aku ujian ujian begini lah yang buat aku sentiasa struggle. Dan mungkin ujian ujian kau pula bagi aku sangat mudah untuk aku pass dan sebagainya.

Ada jenis jenis ujian tertentu aku dapat lepas atas kehendakNya. Dan ada jenis jenis ujian tertentu yang lain, aku tak dapat lari daripada kecewa, sedih, putus asa dan menangis yang berpanjangan.

Kita memberontak dan marah. Mempersoalkan kenapa aku yang kena. Setelah beberapa lama, kemudian aku menyesal, kenapa pula aku berani mempersoalkan apa yang terjadi. Allah.

Kita rasa seronok bila hajat dan nikmat dimakbulkan. Hati senang, rasa ibadat kita dah banyak tunaikan. Realitinya, puasa sunat pun tak banyak, solat sunat malam sekali setahun dan berbagai bagai kemaluan lagi yang tak mampu aku tulis di sini.

Semuanya atas rahmat tuhan.

Teringat pula, kisah nabi Yunus. Waktu aku di asrama dulu. Waktu tazkirah selepas maghrib dan sebelum isya'. Waktu di mana aku dan budak budak tingkatan lima lain yang suka menyorok di belakang mimbar sebab takut kena panggil beri tazkirah. Pondan betul.

Ada seorang yang terpilih (paksa-rela) ini lalu berceritalah kisah nabi Yunus, aku tak berapa ingat dengan jelas details nya tapi nanti lepas kau baca yang ini, kau rujuk kembali dengan ustaz dan ustazah yang lebih sedap.

Selepas kaum nabi Yunus enggan menerima dakwah nabi, baginda meninggalkan mereka dengan penuh rasa marah dan tidak puas hati. Meninggalkan kampung halaman ke laut untuk berhijrah setelah memaklumkan kepada kaumnya yang satu hari nanti azab akan datang menimpa.

Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan........
al Anbiya' : 87

Masa itu nabi Yunus tak tahu pun yang bila baginda tinggalkan kaumnya, Allah tak akan timpakan balasan dan murka kepada baginda. Sebab baginda fikir masa itu, itulah jalan yang terbaik. Frust dan marah sebab segala usaha dakwah tak dapat diterima oleh kaumnya. Mana tak stress, bertahun tahun ajar perkara yang benar dan betul tapi kena ejek dan maki. Mana tahan.

Lalu dipendekkan cerita, kapal yang dinaiki baginda dihempas dengan ombak yang menggila di tengah lautan. Disebabkan kapal yang dinaikinya bersama dengan nakhoda yang ketika itu mempunyai kepercayaan nenek moyang; minta korban manusia kalau laut sedang menggelora sebagai usaha untuk mententeramkan laut. Terpaksalah nabi Yunus yang akur dengan perintah Allah yang satu, diberi ujian yang bertimpa timpa akibat lari dengan perasaan marah.

Terpaksalah juga baginda mencabut undi sampai tiga kali. Nama baginda juga yang dicabut berkali kali untuk dijadikan korban laut.

Ujian yang pertama tadi tersangkut di tengah lautan yang bergelora. Bayangkan ribut taufan dan lautan yang dalam. Masa aku try snorkeling buat pertama kalinya di tengah lautan dalam di bumi seberang tempoh hari, kaki aku langsung tak jejak tanah. Langsung weh. DENGAN AKU TAK PANDAI BERENANG LAGI. Masa itu aku hanya mampu berenang dalam satu tempat sahaja. Bukan berenang tapi badan tak boleh gerak ke depan langsung. Orang lain di kapal hanya pandang aku dengan penuh noob. Puas aku panggil kawan kawan aku yang berada di situ, hakikatnya masing masing selamatkan diri daripada dipanggil noob. Masa itu aku berserah dengan tuhan bersama muka aku yang malu, gigih juga ingat video tutorial youtube yang aku belajar. Sampai checkpoint ketiga, aku tak turun laut. Masa itu hati aku betul betul marah sebab ditinggalkan keseorangan di tengah tengah lautan. 

Ujian yang kedua, diuji dengan akurnya pada kepercayaan yang lain berbeza dengan ajaran yang disampaikan kepada kaumnya. Mahu tidak mahu akur dengan keputusan orang orang yang berada di kapal dan akhirnya, baginda terjun ke dalam laut yang dalam dan kemudiannya, ujian yang ketiga baginda terpaksa hadam ialah ditelan hidup hidup oleh ikan paus. Maka, tinggallah baginda dalam perut ikan paus dengan tempoh yang agak lama. Hidup tanpa makanan dan minuman, berpuasa sepanjang hari. Berbuka puasa dengan cukup berzikir. Memohon ampun dan menyesali kesalahannya yang marah meninggalkan kaum. Setiap hari menangisi sehingga baginda tidak punya kekuatan.

Lalu famous lah sepotong ayat yang keluar daripada mulut baginda iaitu ayat minta ampun kepada Allah ketika baginda disimpan dalam mulut ikan paus. Ayat ini boleh didapati daripada sambungan ayat yang di atas,

...... maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri
al Anbiya' : 87

Dan akhirnya sampai satu tempoh, Allah lepaskan dan terima taubat nabi Yunus. Dan tambah lagi, kaumnya kembali kepada pangkal jalan dan terima ajaran yang disampaikan baginda.

Nak cakap, kadang kala kita ditimpa kesusahan yang tak masuk, kesusahan baru yang tak pernah kita kena dan hadapai. Tetiba, kita pula yang kena telan. Kita rasa marah dan tidak mampu bersabar. Akibatnya, kita akan dilanda dengan kesusahan yang lebih bermasalah lagi.

Hati tidak tenang. Susah nak ingat tuhan. Malas nak buat ibadat. Tak khusyuk. Mudah putus asa. Masa itulah depression datang. Loser nya kau. Masalah banyak gila tapi tak mampu nak selesaikan. Tuhan tinggalkan aku? Kenapa aku yang kena uji? Kenapa orang lain happy dan aku pula yang bersedih?

Dan tuhan uji lagi sampai kita betul betul lumpuh. Ibarat baginda ditelan ikan paus. Tak ada makanan dan minuman. Gelap gelita tanpa cahaya sekeliling. Penat menguasai diri sendiri. Sakit tubuh badan. Begitulah tuhan menguji sampai kita jadi lembik, sehinggalah kita decide untuk kembali kepadanya. Masa itulah kita betul betul khusyuk bersujud sambil menangis sebab kita dah hilang segalanya. Dan masa itulah yang tinggal hanyalah tuhan di kepala.

Mudah mudahan, kita tidak berputus asa apabila hilang segalanya. Semoga diberi ilham untuk berbalik kepada tuhan waktu kita rasa hidup ini tidak ada makna.


p/s : sebenarnya aku tak nak tulis nota agama. Tapi, ini sahaja yang bermain dalam kepala. Minta doa banyak banyak.


No comments: