muharram hampir tamat dan kalendar masihi mula melabuhkan tirainya . buku diari pun akan bertukar ganti dengan halaman depan yang baru bagi si penulis diari .
suka aku untuk buat ulasan blog sendiri , mengenai kedewasaan penulisan dalam blog ini . yakin aku katakan yang genre atau jenis penulisan di sini berbentuk peribadi jika aku lihat dan baca balik apa yang aku tulis sepanjang tempoh usia blog ini .
pada mulanya , niat aku untuk menulis hanyalah suka-suka , bercerita tentang diri sendiri secara terbuka dan kemudiannya tertukar niat dengan mengejar populariti , cuba untuk menangkap pengikut seramai yang mungkin . jelaslah , ternyata berlaku proses yang memberi kedewasaan kepada blog ini .
kritikan negatif dan maklum balas yang baik menghiasi hari-hari ini untuk bertukar niat lagi . walaupun pada mulanya aku rasa sangatlah marah dan berkecil hati , namun suara-suara yang pedas itulah yang berusaha menukar hatiku yang gelap menjadi terang sedikit untuk berfikir dan membaca kembali apa yang aku tulis .
terima kasih kepada encik-encik dan cik-cik yang penyayang kerna sudi menembak peluru kesedaran dalam kotak hati hamba . dengan revolusi itu , aku bangkit kembali dengan nama baru , jadikan usaha penulisan aku sebagai satu sumbangan ke arah perniagaan baru aku ; perniagaan saham ke alam yang lagi satu .
namun , penulisan ke arah itu tidak mudah . kerna jalan menuju ke jannah-Nya sukar seperti berjalan di atas helaian rambut . itu jugalah alasan yang aku gunakan sebaik sahaja aku berasa kasihan akan diri sendiri apabila kurang mengamalkan ilmu yang aku pelajari .
kenapa post engkau tulis semua berpuitis ? tak sangka pula engkau ini seorang bersastera...
aku gelak . gelak sakan kot orang panggil . aku bukannya seorang pemuitis suasana . aku cuma menulis apa yang terilham di hati . aku rasa ini bukan sastera yang sebenar-benar sastera , kalau pakar sastera datang sini , mahu aku dibuang bangsa nanti =_=" . cuma aku rasa seronok bila baca balik apa yang aku tulis . aku tulis bukan sekadar untuk berkongsi dengan orang lain , tetapi untuk diri aku yang tak suka membaca .
tahu menulis tapi tak suka membaca . satu kombinasi yang aneh tapi wujud manusia itu seperti aku =_=" . bila dah meleret dengan tulisan 'puitis' ini , ramailah kata aku jiwang , dah berpasang-pasang dan sedang dilamun cinta =_=" . itu tidak benar . alasan aku menulis gaya ini kerna itu identiti aku dan aku gembira menikmati balik setiap penulisan aku . aku akan ketawakan diri sendiri sebab tulis post-post macam tu .
perasaan lawak itu macam engkau baca balik karangan sekolah rendah yang cerita tentang roket dengan aliens . sungguh tak matang . itulah yang aku cari untuk aku ceriakan hari-hari di dunia . jiwang ? siapa pernah jumpa aku dan terbaca post-post dalam blog ini , pertama-tama kali , aku dilabelkan sebagai ubi~ kenapa ?
sebab diam-diam berisi . sebenarnya , memang aku dah terlalu biasa . muka ketat ala-ala dingin ini menulis sesuatu yang membangkit kejiwangan dalam hati . wohh , engkau tahu . aku senyum dan mampu menahan gelak . orang panggil aku jiwang . memang buatkan aku ceria . bukan sebab aku bangga tapi aku rasa kelakar . aku kenal betul dengan diri sendiri , jujur aku katakan aku sangatlah tidak bagus dalam hal ehwal hubungan antara dua jantina ini . kerna belum sampai lagi silibus untuk aku ulang kaji subjek jiwang ini .
pastilah sebab silibus ini pun masih lagi haram hukumnya untuk lelaki bujang seperti aku yang belum ada kemampuan untuk selak helaian demi helaian untuk subjek ini . namun , apa yang aku tulis di sini , bukan bermakna aku mahu orang lain baca dan baca untuk terokai segala sisi peribadi aku kerna aku sangatlah perasan diri sendiri yang aku bukan sesiapa .
orang yang tidak tampan dan malu-malu saja yang duduk di hadapan komputer , menaip kertas putih dengan dakwat hitam . errr aku je kot yang tidak tampan dan malu-malu itu =_=" . penulisan di sini hanya cukup sekadar berkongsi dengan apa yang terilham dalam hati aku . jika ada yang tersilap , itu lah yang aku ingin kepada silent reader , komentar tegar dan pelawat-pelawat yang datang betulkan dakwat hitam aku segala bagai untuk meletakkan diri aku yang tidak sempurna ini menjadi yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain .
kenapa engkau sombong sangat ? jalan sorang-sorang , ada aroma dingin bila lalu sebelah engkau .
aku sangat biasa bila orang buat persoalan macam ini . terlalu biasa . pada mulanya , aku sangat dan sangatlah berkecil hati . tetapi , disebabkan terlalu banyak kali entah ke berapa singgah di telinga . aku sudah immune . hohoho . orang panggil aku berlagak ? bukan berlagak mahupun sombong . cuma aku sangat tak suka bercakap . tapi aku suka menulis =_="
aku bukannya seorang yang bagus berlipur lara atau berkata-kata dalam satu kelompok . macam bila engkau masuk satu kumpulan itu , engkau terus boleh buat lawak dan orang dalam kumpulan engkau itu gelak-gelak . nope . aku bukan seperti itu . aku suka kesepian .
kadang-kadang , aku ditekan dengan soalan itu masa zaman sekolah berasrama dulu , ya lah masa zaman itu , hubungan batch boleh dikatakan kuat dan jika salah seorang daripada mereka yang duduk diam dan sepi , macam LAN wire disconnect pula =_=" .
jadi , aku mula sedikit-sedikit belajar la juga pasal topik-topik mereka ini . topik perempuan , fesyen , muzik , hal-hal lelaki untuk percubaan masuk ke dunia mereka . kerna , aku telah dilabel sebagai mutant atau makhluk berbeza . kadang-kadang , aku pelik . aku kenal akan diri aku tapi aku buat sesuatu yang bukan seperti aku dah kenal diri aku .
ya , itu buat aku selalu berfikir untuk melihat dunia orang lain . aku seronok bila jumpa manusia yang berlainan tabiat yang menghukum orang lain yang berlainan tabiatnya . bunyinya macam kejam . tapi , situasi itu buat aku selalu memberi peringatan yang aku belum pasti menuju ke golongan orang yang menuju ke jalan yang penuh nikmat abadi . jadi , hormat orang lain kerna perbezaan itu lah yang memberi keseimbangan dalam dunia .
kalau tiada si pendiam , engkau takkan tahu tahu siapa yang si peramah . kalau tiada manusia yang tidak tampan , macam mana engkau nak tahu siapa yang paling kacak dalam dunia ini . sebab dunia sudah ada ramai orang yang bercakap , macam mana engkau nak bezakan orang yang tak bercakap dan bercakap . segalanya seimbang dengan kerja arkitek maha pencipta . tiada keraguan lagi sebalik itu .
aku bukan orang yang pandai berkata-kata , mulut aku selalu gemuruh , lidah sering beku dan tekak suara sentiasa keras . jari-jemari sahaja yang lembut dalam menyebarkan saham akhirat aku kelak . aku bukan pemberi nasihat yang terbaik , kerna pemberi nasihat yang terbaik gunakan mulut dan intonasi suaranya , tetapi aku juga bernafsu untuk memberikan yang terbaik , cukup sekadar aku menyampaikan pesanan junjungan besar dan mulia kita , dengan kudrat tangan yang masih tersisa .
blog ini bukan untuk budak perempuan je ke ? hairan pula bila lagi-lagi engkau yang tulis ....
mudah sahaja . pada mulanya , niat aku untuk menulis blog dirangsang oleh pembacaan daripada blog seorang perempuan . lihatlah , betapa kuatnya pengaruh perempuan dalam kehidupan seorang lelaki . mampu membentuk tamadun yang kuat dan juga bisa meruntuhkan tamadun itu juga . ternyata , aku tertarik dan suka aku cipta akaun ini ketika aku masih lagi pakai seluar hijau gelap tu . pendapat aku blog ini , merujuk kepada umum ialah satu perniagaan .
perniagaan itu bergantung kepada apa-apa sahaja yang kita tulis itu adalah hasil yang bakal kita dapat . kerna setiap amalan manusia itu pasti ada hasilnya walaupun dia tidur sekalipun . di sini aku sangatlah tertarik akan konsep yang tuhan ciptakan kepada kita untuk bersaing dan berlumba-lumba meraih rahmat-Nya . di sini aku cuba menulis yang bermanfaat kepada orang lain dan dalam masa yang sama aku si pembaca balik post lama aku sendiri pun akan dapat manfaat yang sama .
kadang-kadang , aku keliru . lihat blog-blog lain menulis sesuatu yang memberi gambaran kejahatan , keingkaran , fitnah dan omong-omong kosong . buatkan aku terfikir dan ambil pengajaran untuk aku amalkan yang baik dan cuba mengelak segala yang buruk . mudah-mudahan blog ini sentiasa berada dalam lingkungan rahmat-Nya .
aku bimbang juga . kerna sebagai si penulis , aku juga bakal disoal siasat tentang kandungan dalam blog ini di hari pengadilan nanti . jika kandungan dalam blog ini baik , maka lancarlah segala urusan aku di alam sana . jika kandungan dalam blog ini buruk , maka tiada lagi penafian dusta kerna mulut ku sudah dikunci dan jari jemari yang menaip yang akan bersuara . semoga jari-jemari ini membantu aku kelak di alam sana . itu alasan aku .
ku kira yang blog itu bukan tempat untuk berbangga tapi medium untuk belajar ilmu ikhlas ; ilmu yang hanya tuhan sebaik-baik guru untuk tahu hambanya betul-betul mengharap keredhaan-Nya . itulah indikator yang seorang hamba itu benar-benar telah menjadi golongan yang berjaya .
layak ke engkau nak nasihatkan orang lain ? sedangkan engkau sendiri pun bermuka sekular ....
harus aku akui , ramai orang tidak percaya yang aku seorang penulis blog =_=" . rambut serabai ala-ala manusia yang tak mandi tapi ada bekalan air dalam rumah . muka pun bukan macam budak surau atau masjid .
lazimnya , yang aku lihat seorang budak surau atau masjid pakai kaca mata , berjanggut , kopiah atau serban putih , baju melayu atau jubah yang diulit wangi-wangian sunnah rasulullah . kadang-kadang , aku lihat bentuk muka mereka hampir sama-sama . sukar untuk aku bayangkan dalam penulisan . ( mak aku kata muka mereka berseri-seri )
tapi , itulah indikator yang aku gelarkan mereka sebagai seorang yang alim dalam bertazkirah mahupun menjadi imam di masjid . dengan perbezaan yang terlalu jauh bagai langit dan bumi atara aku dan mereka ialah muka aku yang aku fikir sangatlah sekular =_=" . tapi aku tak kisah kerna wajah seseorang itu bukanlah penanda aras untuk aku malas-malas meneruskan legasi jihad nubuwwah ; jihad para nabi .
walaupun sesekular manapun muka kita , itu bukan alasan untuk kita berasa kasihankan diri kita . oh , aku tak layak dalam berdakwah , bagi je lah kat budak surau atau masjid . itulah frasa kata yang menjadi kesukaan kepada para syaitan . jatuh cinta mereka kepada kita yang malas-malas menyambung kata-kata baik kepada manusia lain .
Andai kata seorang muslim tidak memberi nasihat kepada saudaranya kecuali setelah dirinya menjadi orang yang sempurna, nescaya tidak akan ada para pemberi nasihat.
[Al Imam Hasan Al Basri ]
aku menjadi lebih motivasi . aku sedar yang ilmu agama aku sendiri tidak cukup bagus kerna aku bukan seorang malaikat . aku hanya seorang manusia . ada nafsu dan bersifat lupa . itulah yang tuhan ajarkan kepada kita tentang nikmat selain daripada nikmat iman dan nikmat islam iaitu nikmat ukhwahfillah .
kita berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran sesama sendiri . sebab itulah aku suka berkawan dengan orang yang suka menegur .
adakalanya sangatlah pedas , tetapi itulah cara dan kaedah bagi mereka untuk berkasih sayang kepada kita . boleh sensitif dan kemudiannya , berfikirlah kembali kesalahan kita . tidak kiralah sahabat kita tu bermuka sekular bagai pun ; rambut punk , mohawk , ada warna hijau ke , seluar jean ketat ke , freehair perang-perang ke , mencarut sana sini , hisap rokok , pakai baju tak cukup kain ,
selagi dia ISLAM dan mengakui kalimah syahadahnya , kita tiada hak untuk berkata tidak mendengar nasihat baik mereka dan haram menjatuhkan mereka dengan label kufur kepada tuhan .
mereka bukan untuk ditinggalkan tapi untuk didampingi . kadangkala , nasihat mereka lebih baik untuk kita amalkan walaupun sekular manapun peribadi dia . ambil yang jernih , dan jernihkan keruhan air itu ( harap tak dak pakar sastera mai sini =_=" )
insyaALLAH , semoga hari-hari kita sentiasa bersujud dan mencari jalan yang pasti ke golongan yang berjaya . janji ALLAH itu pasti benar kerna ALLAH tidak pernah memungkiri janjinya .
p/s : doakan nama aku dalam sujud kalian supaya sentiasa diterangkan hatiku . ingat , doa itu percuma >_<