20 February 2013

Aku si biri biri

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

















oh ada orang pernah memandang aku dengan mata yang aneh . aku ganjil . aku lelaki . pendiam . tak banyak cakap . suka menyepi . jalan keseorangan .


aku tahu . aku sedar .


aku sangat lemah bab bab komunikasi . tetapi komunikasi sangat sangat lah diperlukan dalam agama . maka aku bertungkus lumus untuk memuntahkan segala idea aku untuk terjebak dalam konversasi .


aku penat .


tetapi , aku tak boleh bersendirian . sebab ada orang pernah cerita . kambing biri biri yang keseorangan ( err keseekoran mungkin ) akan tinggi probaliti untuk dibaham oleh serigala . aku dan syaitan . tak boleh dipisahkan .


aku bergelut . untuk menyampaikan kata kata . lalu aku terjumpa pena . sebagai alternatif untuk menyalak .


jadi , jari jemari kurus ini lah yang banyak menggemukkan kata kata aku yang tidak pernah terluah oleh bibir kering ini .


dan ada satu masanya , suara daripada mulut perlu diperdengarkan . waktu yang mencemaskan . bagi lelaki yang pendiam . idea sudah lah tidak menarik . mungkin tidak banyak bunga ditanam di kotak suara . banyak pula disemai benih di jari jemari .


kotak suara tersangkut . secara literal .


aku hidup dalam ketakutan . aku sentiasa sakit perut . terlalu banyak rama rama , mungkin . menjadi asid untuk menghakis diri . semakin kecil . kecil dan kecil . tetapi aku tak menangis ......cuma aku rasa tak bernyawa sebentar .


aku sentiasa sendiri . keseorangan . kerna ada satu kurang .


namun , yang mencukupkan aku ialah tika bila aku beri pandangan ke langit itu .


aku tahu . yang aku bukan keseorangan .


senyum . berdua .

17 February 2013

Tahu


Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


rumah papan yang usang
ramai yang fikir fikir tahu
sengsaranya begini
tak ramai yang betul betul tahu
bahagianya begitu


rumah batu isinya permata
ramai yang betul betul rasa
indahnya begini
tak ramai yang fikir fikir tahu
celakanya begitu



15 February 2013

Di seberang jalan itu

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

di seberang jalan itu , aku nampak kamu .
tetapi , aku hanya memberi pandang sekilas . mungkin , aku malu .
setiap kali aku berlalu ,
aku berpura pura . menipu diri sendiri .
yang aku nampak kamu .
aku rasa .
aku semakin malu . dan bertambah malu .
dan aku juga tahu .
yang kamu itu selalu memandang aku .
bukan hanya di seberang jalan itu .

aku mahu terharu . tetapi aku malu .
kerna aku tidak kuat untuk buat kamu terharu .
dan daripada seberang jalan itu .
aku rasa .
aku semakin jauh dengan kamu .
mungkin kerna aku rasa hati ini semakin samar-samar hilang .
hilang nama kamu .
ingin aku hadiahkan sejambak bunga ros merah jambu .
untuk kuatkan ingin aku untuk memberi pandang kepada kamu .
namun , bunga ros itu ditiup angin raksasa .
disimbah air takungan tepian jalanan dek kereta yang lalu lalang .
menjadi layu sebelum kamu melihatnya .

aku berdiri di jalan ini .
melihat kamu . dengan hati yang malu .
kaki kaku .
bersama sejambak lagi bunga ros merah jambu .
aku mahu berusaha . aku mahu kuat .
aneka tribulasi dan mehnah buat aku malu .
lecak penuh di hati .
debu dan asap mengaburi mata .
kereta yang ganas menyeberang , menyukarkan kaki .
hidup aku ada di sana .
hidup bersama kamu .
sejambak bunga ros merah jambu itu .
untuk aku yang masih malu malu .





06 February 2013

Semuanya baik belaka

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

sekarang aku bersedih . betul betul bersedih . dan bila aku bersedih . aku akan terkenangkan ini .


All is well


dan ayat ini .

apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan , itu petanda bahawa Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan . Bersyukurlah kerna Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia .

- Ustaz Pahrol , Nota hati seorang lelaki .




Ya Allah, aku berlindung denganMu
- daripada ditimpa kesusahan dan kedukaan
- daripada kelemahan dan kemalasan
- daripada kedekut dan perasaan takut 
- daripada desakan berhutang dan paksaan orang.


03 February 2013

Nota kecil : Stimulus

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani



akhir akhir ini , perkara yang sukar hendak dibuat bukannya mengajar subjek matematik tambahan tingkatan empat yang telah lama ku tinggalkan tetapi ada dua perkara ;

ikhlas dan istiqamah .

dalam memberi , kita kena ikhlas . ikhlas itu susah . kerna ia selalu berubah-ubah . bergantung kepada kuatnya stimulus perangsang itu . jika terlihat seorang mak cik yang sedang mengangkat beban yang jauh hebat daripada saiz kudratnya , jiwa kita tersentuh . membulatkan hati untuk memberi tangan . bertekad mahu memberi dengan ikhlas .

namun , di saat sel sel ikhlas mula bermigrasi membentuk kristal yang menawan , perempuan cantik di belakang mak cik itu jugalah yang bikin sel sel ikhlas itu lari bertempiaran . bikin kristal itu cacat . berlubang sana sini dek kerana kekurangan sel sel ikhlas yang bermigrasi membentuk kristal .

punah harapan dalam memberi . memberi dengan ikhlas . 

di saat , hati ingin mahu memberi di kanvas putih ini . memberi dengan yang ikhlas . komposisi iman dalam kuota hati pula yang berkurangan . menjadi berpenyakit . menular dalam empangan hati . mencemar takungan dan menambah mendap yang penuh likat . air dalam hati kurang jernih .

istiqamah pula seiring sekali .

tatkala , ikhlas itu menjadi kurang . hati pula mula bermalas malas dalam memberi . iya lah sudahlah tidak ikhlas , mahu memberi juga . bukankah itu petanda kurang sihat . menambah kotor sahaja di hati .

dan malas itu sekali lagi membantut kelajuan kadar istiqamah . berterusan dalam memberi . kerna ikhlas yang tidak berkunjung tiba . mengetuk pintu hati untuk memberi kerna Allah .

lalu...

pesanan . dan pesanan itu datang . menghempap dada . terkapai kapai tangan ini . menyambut pesanan yang terbang . berpusing pusing tidak bertuan . entah milik siapakah pesanan ini .

" Ikhlas itu bukan kita yang ukur , tu biar Allah yang tentukan . Jangan sampai kita tinggalkan amal ibadat sebab tak nak riak dengan manusia kerna tu la tanda kita riak dengan Allah sebenarnya "


Hlovate , Contengan jalanan


02 February 2013

Jiwa jiwa keseorangan

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani






manusia tidak suka keseorangan . walaupun pada akhir usianya , kita pasti akan keseorangan . ya , satu hari nanti . dan tatkala kita yang masih hidup ini dalam komuniti yang penuh ragam , jiwa kita yang meriah pasti akan disampuk dengan keseorangan .


jiwa keseorangan di sini bukanlah mahu kata tidak berteman . tidak berkeluarga . tidak berpunya . tidak beranak . segalanya cukup . tapi , adakalanya situasi-situasi yang tuhan berikan kepada kita , buat kita rasa keseorangan .


ada seorang pelajar yang mendapat gred 'D' , akan rasa malu-malu . merendah diri dalam kelas yang majoritinya bijak-bijak belaka . dan situasi itu buatkan dia betul-betul rasa terpinggir . dialah yang paling berbeza . beza bukan yang mendapat untung . tapi , lebih kepada rugi .


dia keseorangan . bujang yang di tengah-tengah masyarakat yang sudah berkahwin dengan nikmat .

namun , tatkala dia keseorangan . dia yang masih diasak dengan pertanyaan oleh rakan-rakan hebat yang lain , di sudut ruang bilik darjah itu . dia dapat menghidu aura 'keseorangan' . milik lelaki yang songkoknya boleh dibuat boomerang .

dan apabila jiwa keseorangan itu bergabung , dua nasib dapat dikongsi . derita sama dapat dirasa . takdir dapat juga ditelan walaupun pahit . kenapa?

kerna menemui insan yang sama memahami betapa peritnya ujian .

' hang dapat serupa ngan aku ke ? '

' haishh diam-diam sudah . '

*high five .

cerita dua budak laki laki itu riuh kerna isi kelas sudah pun surut . ke kantin rasanya .

sedikit perkongsian yang aku nak cuba coret di sini berkenaan dengan salah satu surah yang buat rambut nabi Muhammad sehingga beruban , iaitu surah Hud .

jadi , duduk . bertenang . sambil lepak-lepak santai itu , moleklah kita sama-sama membuka al-Quran . lebih bagus kita buka yang terjemahan . lihat surah Hud . muka surat yang ke 221 .

isi kandungan surah ini banyak berkisarkan berkenaan dengan nabi-nabi zaman dahulu iaitu :

- Nuh
- Hud
- Soleh
- Lut
- Syu'aib
- Musa

dan bersama kaum-kaum mereka .

betapa gigihnya para nabi zaman dahulu berusaha untuk memberi . memberi kebenaran dan menolak kejahilan . sehinggalah dalam siri bertahun lamanya dalam mengubah pemikiran umat-umat terdahulu berakhir dengan variasi azab yang sukar difikir oleh manusia biasa .

hebatnya para nabi terdahulu sehingga dikurniakan usia yang cukup panjang dan dalam masa yang sama dihantar ke masyarakat yang cukup degil . bagai mencurah air ke daun keladi .

hati mahu bikin daun itu bertakung dengan air , tapi sudahnya dia menyimbah pula ke tanah membentuk becak .

nak beri deskripsi betapa sukarnya . betapa sakit hatinya tika kita cuba beri tahu yang anak tok guru kena culik . tapi yang hanya terkumat kamit daripada mulut mereka ialah ,

cobaan


dan surah ini betul betul memberi kesan dalam hati . betapa hebatnya ujian kepada nabi-nabi terdahulu dalam berdakwah . surah ini menjadi penenang kepada nabi Muhammad tatkala baginda rasa sedih kerna dakwahnya ditolak .

Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap). 

surah Hud : 100

positif .

tika kita mula rasa keseorangan , pasti ada lagi jiwa-jiwa yang menerima nasib sama dengan kita . cuma , belum diketemukan oleh tuhan . apabila bisa diketemukan , pasti kita rasa senang . seperti cerita dua budak laki laki yang berkongsi gred yang sama .

namun jika belum diizinkan diketemukan maka biarlah kita kuatkan keyakinan yang jiwa-jiwa itu juga yakin akan kehadiran kita yang punya nasib yang sama .

jiwa-jiwa yang diuji untuk naik ke satu lagi .

Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman. 

surah Hud : 120






01 February 2013

Maksiat . Bahaya . Jangan .


Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Nauzubillahminzalik
Amr Khalid berkata,

Seorang pemuda datang kepada ku lalu berkata ;

“Aku khuatir bencana yang terjadi di seluruh negeri Muslim adalah kerana dosaku, sebab aku mengetahui betul dosa-dosaku “

Aku terkejut ! Aku merenung !  Benar apa yang dikatakan oleh pemuda itu. Tidak ramai yang mengerti akan hakikat ini. Sesungguhnya bencana turun kerana maksiat dan lenyap kerana taubat  (Saidina Ali r.a).

Saudaraku ! Kata Amr Khalid lagi,

Apakah engkau berharap Allah akan mengubah kondisi kita dalam keadaan kita bermaksiat begini ?

Aku sedar, tidak ada seorang pun yang tidak memiliki salah dan dosa, tetapi, marilah kita sepakat dan bertekad untuk bertaubat. Terus menerus berbuat dosa adalah satu maksiat besar !

Saudaraku, tahukah engkau bahawa umat-umat sebelum Islam binasa tidak lain kerana maksiat ? Apakah yang menyebabkan Iblis a.s dikeluarkan dari syurga ?  Maksiat. Apakah yang menyebabkan kaum Nabi Nuh a.s ditenggelamkan ? Maksiat. (Al Qamar : 11-12)

Apakah yang menyebabkan Firaun dan tenteranya ditenggelamkan ? Juga kerana maksiat ( Al Qashash : 40).

 Apakah yang terjadi pada Kaum Nabi Luth a.s ? Malaikat Jibril dengan sayapnya mengangkat negeri mereka ke langit sehingga para malaikat mendengar lolongan anjing-anjing mereka. Setelah itu malaikat membalikkannya dan menghempaskannya ke tanah. Mengapa ? Kerana maksiat ! (Al Hijr : 74) .

Tidakkah kalian lihat, Saudaraku ! Apa persoalan yang ummat ini sedang hadapi ? Tak lain tak bukan adalah kerana maksiat dan dosa. Kerana maksiat dan dosa itulah, umat ini dibinasakan !

Ketika tentera muslimin berjaya membuka kota Cyprus dan orang-orang Rom keluar darinya, Abu Darda’ kelihatannya bersedih dan menangis sedangkan umat Islam yang lain gembira dan saling memberikan ucapan selamat. Ketika ditanya maka beliau menangis, maka Abu Darda’ menjawab ;

“Aku menangisi umat yang bermaksiat kepada Allah… lalu Allah mengantinya … “

Jangan remehkan maksiat !

Dampak atau kesan maksiat adalah menakutkan ! Jangan sesekali meremehkan dosa dan maksiat yang kita lakukan. Antara kesan-kesan melakukan dosa adalah ;

1) Murka Allah

Dalam hadis Qudsi swt berfirman, “Aku Allah, tidak ada Tuhan selain-Ku. Bila ditaati aku redha dan bila didurhakai. Aku murka. Jika sudah murka, Aku mengutuk dan kutukan-Ku bisa sampai tujuh keturunan “

2) Kebencian orang-orang yang beriman

Imam As Syafie berkata, “Berhati-hatilah jangan sampai di antara kalian ada yang dikutuk orang-orang yang beriman, tetapi ia sendiri tidak sedar “. Lalu orang bertanya kepadanya, “Bagaimana itu bisa terjadi ? ” Beliau menjawab, “Ia melakukan maksiat kepada Allah, lalu Allah membuat hati orang-orang beriman benci kepadanya “

3) Terhalang dari rezeki

Rezeki turun dari langit, namun ia dapat terputus oleh maksiat. Tidaklah rezeki berkurang kecuali kerana maksiat.

4) Terhalang dari Ilmu.

Imam Malik berkata kepada Imam Al- Syafie, ” Kulihat Allah telah membuat wajahmu bercahaya dengan ilmu. Kerana itu, jangan padamkan cahaya itu dengan maksiat ! “

Ilmu adalah cahaya dan cahaya tidak akan hinggap dihati orang yang melakukan maksiat !

5) Bencara besar

Saidina Ali r.a berkata “Bencana tidak turun kecuali kerana maksiat dan tidak lenyap kecuali dengan taubat ! “

6) Terasing dari Allah.

Engkau merasai, jauh dari Allah, dan tidak tahu cara bagi mendekatkan hati kepada Nya.

7) Terasing dari manusia

Seorang ulama mengungkapkan, “Aku melihat kesan maksiatku dalam perilaku isteriku, anak-anak dan tungganganku ; tungganganku tidak mau berjalan, anak-anakku memperlakukan ku dengan buruk, dan isteriku tidak lagi taat kepadaku. ” Mengapa semua ini terjadi ? Tidak lain kerana maksiat

8) Kelamnya wajah dan hati

Ibn Abbas r.a menuturkan, “Maksiat mendatangkan kekelaman pada wajah, kegelapan pada hati, kebencian di hati manusia, kelemahan pada jasad, dan kekurangan dalam rezeki. Sedangkan ketaatan mendatangkan keceriaan pada wajah, cahaya pada hati, kecintaaan di hati manusia, kekuatan pada jasad dan kelapangan dalam rezeki “

9) Terhalang dari ketaatan

Fudhail B Iyadh mengatakan , jika engkau tidak mampu untuk bangun malam dan puasa di siang hari ketahuilah bahawa dirimu sedang dipenuhi maksiat.

10) Maksiat berangkai

Sedarkah kita juga, saat kita melakukan suatu maksiat, ia seakan-akan berangkai. Selepas satu, satu dan kemudiannya satu. Sebagai contoh, kita menonton cerita-cerita yang kurang elok di telivisyen. (mode : Romantik ) Lalu , kita juga teringin punya pasangan. Dan kita berhasil memperolehnya. Kemudiannya kita bercouple, berpegangan tangan dan kemudiannya… Err,,

Eh, tak kan sampai ke situ kot ?

11) Lemahnya akal

Seorang ulama berkata, “Barang siapa bermaksiat kepada Allah, sebahagian akalnya lenyap dan tanpa pernah kembali kepadanya hingga Hari Kiamat”

12) Pengkhianatan lisanmu di saat dirimu betul-betul memerlukannya.

Dimana ?
Ketika hendak mati, lidahmu kelu untuk menyebut nama Allah. Lidah mu bagai tertindih gunung. Pernahkah kita membayangkannya ?

Penutup

Rasulullah saw bersabda, “aku mengetahui sejumlah kaum dari umatku datang pada hari kiamat dengan membawa amal kebaikkan bergunung-gunung, namun Allah menjadikannya sebagai debu yang beterbangan.” Tsauban bertanya, “Wahai Rasulullah, gambarkanlah mereka kepada kami, agar kami tidak seperti mereka tanpa sedar.

Rasulullah saw bersabda, “Mereka adalah saudara-saudara kalian dan sebangsa dengan kalian. Mereka memperlakukan malam seperti kalian, namun mereka adalah kaum yang, ketika bersendirian dengan sesuatu yang Allah haramkan, mereka melanggarnya ” HR Ibn Majah

 artikel asal :

http://asyrafarique.wordpress.com/