02 December 2017

Seni Diam






sejak akhir akhir ini, aku sangat tak suka menulis. jadi, aku dah tak banyak nak menulis apa walaupun banyak perkara yang difikirkan. mungkin ini yang orang dipanggil sekatan menulis.

hidup aku sangat overwhelm sekarang dan aku tak ada idea macam mana nak baikinya dan teruskan macam orang biasa. susah. aku struggle dengan masih lagi benda lama yang sama. sangat menyedihkan. aku harap sangat aku dapat bangun kembali macam dulu. rasanya, aku pernah guna ayat yang sama dalam post terdahulu. hidup aku masih sama dan tak berubah.

hidup dalam kebimbangan dan keseganan. aku menyesal pilih jalan ini. jalan yang sunyi dan menekankan.

aku harap aku dapat keluar daripada jalan ini, tapi aku tak ada destinasi lain yang boleh aku pergi.

tak mengapalah.

bersyukur.

aku kurang bersyukur. jalan aku banyak liku disebabkan atas pilihan sendiri. dan dalam banyak liku itu, aku sepatutnya belajar. dan dalam liku itu juga ada nikmat yang patut aku syukur.

aku masih lagi sihat dan boleh jalan macam dulu dulu
aku masih lagi ada duit walaupun tidak sebanyak dulu
aku masih ada motor walaupun ada satu hari itu tak boleh hidup di tengah jalan (pening kepala)

aku bersyukur nikmat nikmat ini masih lagi berada bersama dengan aku, masih lagi diberi pinjam sedangkan aku ini banyaknya kurang tak syukur. jadi, untuk tidak mengelakkan aku jadi kurang syukur. aku tidak lagi aktif di media sosial sebab aku terasa fakir.


tapi, bila dimuhasabah kembali, nikmat-nikmat yang aku sebut tadi masih lagi ada bersama aku. aku harap aku masih lagi diberi peluang untuk terus meminjamnya dalam tempoh yang panjang.


seni diam


aku diam bukan bermaksud aku benci kepada kau. boleh jadi sebab aku tak suka kepada kau, bukanlah kepada tahap benci. aku tak suka kepada kau sebabnya satu, aku jadi kurang bersyukur melihat kau. lalu, aku menjauhkan diri aku daripada kau dan menjadi diam. sebabnya, bila aku jadi kurang bersyukur, aku jadi sedih dan menangis. kenapa aku selalu memperkecilkan diri sendiri dan nikmat nikmat yang aku ada. sepatutnya aku bersyukur dan berterima kasih atas segala kebaikan yang masih lagi diberi pinjam.


boleh jadi aku diam bermaksud aku benci kepada kau. lebih kepada perasaan tak suka, aku sangat benci kepada kau yang suka mengambil kesempatan kepada orang lain lalu tidak menunjukkan rasa bersalah dan mahu memohon maaf. aku tak suka marah marah seperti lelaki lain yang menengking dan mencarut carut. ada yang lebih ganas, akan memukul dan membomoh. aku tidak begitu. bila marah aku zahir, aku banyak diam dan hubungan kita tidak akan sama lagi seperti dahulu. kali terakhir apabila aku jadi marah yang betul betul marah, aku tidak lagi menjadi manusia. aku menjadi syaitan. mesti kau tak suka kan aku menjadi syaitan? jadi, janganlah jadi syaitan kepada manusia yang boleh jadi syaitan.


dan aku diam bermaksud kau orang yang tidak serapat seperti orang orang yang rapat dengan aku. aku mudah gementar dan berhati hati dalam memilih kawan. sebabnya, aku takut suatu hari nanti, kau yang dahulunya rapat denganku menjadikan kau salah seorang yang buatkan aku diam dan hubungan kita tidak akan sama pada awal kita berkenanalan.












18 August 2017

Tebal muka.



Bila aku menapak keluar daripada rumah, tenung mata ku banyak merata di lantai jalan. Rasa malu dan rendah diri banyak menguasai diri.

Aku perlukan distraction untuk melupakan rasa malu yang serius dan rendah diri yang semakin menjadi jadi.

Hi, kau buat apa sekarang?

Errr, aku macam ni lah. Sihat sihat je. Aku busy ni, aku ada hal lepas ni. Gerak dulu ye.

Tebal muka. Rasa malu dan rendah diri betul betul jadi ganas. Aku memang betul betul lari daripada berjumpa manusia. Lari yang bukan hanya lari meninggalkan conversation tetapi betul betul lari. Berdegup kencang aku. Lenguh kaki aku dibawa lari dan semakin mengah bila aku lari juga menaiki bukit jalan.

Masa kau akan sampai juga.

Thanks, tapi sekarang aku kena lari dan buat buat muka cacat supaya orang lain tak kenal.


26 June 2017

Malam.



Beberapa hari yang lalu, pada malam terakhir solat terawih. Tiba tiba, hati jadi sayu. Sebak dada tidak bersebab. Berair kedua belah mata. Rasa berpasir. Sesekali jatuh juga air mata bila berlaku transisi pergerakan dalam solat; rukuk dan sujud. Faktor graviti yang menjatuhkan takungan air mata yang telah ku tahan tahan. Jatuh gugur ke lantai tempat sujud.

Daripada jatuh disebabkan faktor graviti, rakaat rakaat seterusnya menjadikan air mata itu mengalir lebih deras melalui aluran pipi. Air mata daripada belah kanan lebih dominan. Deras, turun ke dagu. Gugur di baju. Basah. Aku pun tak mengerti kenapa terasa sedih pada malam tersebut. Adakah aku akan bakal tiada pada tahun yang mendatang?

Dan pada rakaat terakhir yang kedua puluh, mata ku jadi bengkak. Pak cik di sebelah yang daripada tadi bersolat dengan ku hingga ke akhirnya, dapat dirasa mula mencuri pandang. Aku mengelak ke kanan. Di sebelah kanan, kosong. Tiada orang. Aku menarik hingus perlahan lahan yang tidak tertahan keluar bersama derasnya air mata mengalir sepanjang solat.

Pada doa terakhir bersama imam (doa yang sangat syahdu, sejujurnya) , kepala ku yang selalu lentok ke belah kanan, menjadikan air mata di sebelah kiri turun laju melepasi hidung lalu turun di alur air mata sebelah kanan. Bertambah deras. Teresak esak kecil seperti menangisnya budak kecil yang kehilangan mainannya. Bertambah kuat aku tarik hingus. Habis basah baju di bahagian bahu sebelah kanan.

Pedih.


Habis doa daripada imam. Aku terus bangun meninggalkan masjid tanpa bersolat witir. Sambung mengalirkan air mata di parking motor masjid. Barulah aku sedar yang rupanya aku sedang menangis. Menangis atas sebabnya apa, aku pun tidak pasti.

Tapi, aku terasa sangat sedih sekali pada malam terakhir itu. Sedih disebabkan apa, aku sendiri tidak tahu.


Adakah aku tidak redha dalam menerima ujian ujian ini? aku sendiri pun tak tahu.


Aku takut. Aku takut sangat, aku gagal dan kalah dalam menerima ujian begini. Aku lemah.

Namun, option yang aku ada hanyalah banyakkan solat dan baca al Quran.
Berilah aku kekuatan ya tuhan.


Untuk menghadapi lebih banyak ujian ujian. Andai inilah ditakdirkan hidup begini, aku tak minta kurangkan ujian. Aku minta berilah kesabaran dan ketahanan yang tinggi dalam menghadapinya.



















14 June 2017

Kucing : Harapan dan imaginasi.



Ada seekor kucing warna putih yang bertompok hitam selalu datang dan rehat rehat di depan laman rumah. Bila di dekat, dia menjauh. Antisosial. Mungkin sedang menghargai masa keseorangannya.

Adakalanya, dia berehat rehat di sebelah timbunan baldi. Dan selalu dia tidur di atas lapik beg tote yang telah pun kusam di depan rumah. Beri kotak dan kain pelekat lama sebagai pelapik, tidak dihuni pun. Lalu, aku letak makanan kering kucing dan air, mana tahu kot kot lapar dan dahaga ke. Kucing mana ada iman nak puasa bulan ramadhan ini.

Dia selalunya tak makan dan minum di hadapan orang. Diam diam aku intai daripada tingkap. Makan dan minum juga akhirnya. Pemalu mungkin.

Dalam diam diam aku mengharapkan dia membalas jasa baik aku. Aku sediakan kotak dan kain pelekat. Aku sediakan makanan dan air. Dalam senyap senyap aku berdoa, aku balik terawih nanti, dia kejar dan peluk aku. Lalu, kami pun jadi kawan yang baik selama lamanya ( lame sangat )

Tapi, lama kelamaan semakin memberi, semakin aku tidak dikenali. Ingin membelainya dia lari dan menjauh. Harapan yang tinggi menjadi jatuh. Berkecai.

Lalu, aku membiarkan sahaja layanannya sebegitu walaupun ku rasa tidak setimpal dengan layanan yang aku selalu beri. Dingin.

Ada sampai satu peringkat masa yang bila kita memberi lalu kita mengharap, tidak akan dapat balasan dan ganjaran yang kita harapkan. Ini lah ciri ciri perbuatan baik sebenarnya. Perkara perkara yang baik bukan selalunya dibalas dengan kebaikan juga.

Kalau kita rasa kebaikan yang kita buat itu ialah baik disebabkan kita dapat balasan yang baik, tak semestinya itu ialah ciri ciri perbuatan yang baik. Orang yang merompak dan mencuri dapat kebaikan daripada aktiviti mereka. Dapat duit dan harta. Ganjaran yang baik.

Tapi, hakikatnya ganjaran dan balasan baik daripada aktiviti yang baik bukanlah daripada kucing yang tiba tiba sahaja berubah attitude; peluk dan kejar kita.

Hakikatnya, aku dapat mula rasa hati ini mula lembut dan kurang bersedih. Walau tidak merasa balasan daripada apa yang aku imaginasikan, tetap terasa ada perubahan yang sedang berlaku.Walaupun kecil, asalkan ada.

Aku selalu mengharapkan kawan kawan aku akan datang mesej dan call, cuba untuk melembutkan hati aku yang berduka dan pedih. Tapi, ia tak berlaku. Takkan lah kita masih mahu mengharap lagi. Tinggalkan sahaja imaginasi dan harapan tinggi itu.

Kita buat lagi banyak harapan. Dan jadikan harapan itu sekecil kecil yang boleh.

Memberi makanan dan air kepada kucing walaupun tidak mendapat peluk dan kasih sayang.

Perasaan lepas memberi itu, aku rasa aku buat benda yang betul dan baik.
Itulah yang melegakan hati yang perit.

Orang kata, bersyukur dan enjoy dengan perkara yang kecil. Walaupun, aku selalu tertanya tanya adakah aku tak layak dengan perkara yang besar.

Harapan dan imaginasi aku terlalu besar untuk dikecilkan. Tapi, buat masa sekarang, perkara yang paling terbaik sekali ialah, melegakan hati dengan harapan dan imaginasi yang kecil kecil.






03 June 2017

Maafkan aku.





Sukar untuk merawat hati orang lain yang terluka, sedangkan hati kita juga sedang bersedih.

Susah nak inspire dan motivate orang lain, sedangkan kita discourage dan dalam posisi yang sangat memerlukan bantuan.

Andai ais krim dan bunga cukup untuk merawat luka, maka toko toko ais krim dan bunga wajarlah menang noble peace award kerna banyak menyelamatkan hati orang yang sedih daripada terus melukakan orang sekeliling.

Biarlah, hati ini membawa pergi.




Apabila hati bersedih.





Apabila kau sedang bersedih

Apabila kawan kawan dan kenalan kenalan kau dapat tahu kau sedang bersedih. Ada antaranya mereka menjauhkan diri mereka daripada kau. Bermain defensive. Takut. Nak jaga hati dan perasaan kita. Tak nak sentuh bom jangka. 

Dan apabila kau dapat tahu diri kau sedang bersedih, hati kau juga terasa jauh dengan hati orang lain. Kau memilih sendirian. Dan kau perlukan masa untuk rawat hati yang terluka.

Satu cara untuk reach hati yang jauh ialah menjerit daripada jauh.
Cara kedua,ber jalan mendekat ke hati yang sedih. 

Cara pertama gunakan suara yang tinggi untuk reach hati yang jauh. Hati yang sedih akan mudah sensitive dengan bunyi yang kuat dan mudah ditafsir dengan mesej yang salah dan keliru. 

Cara kedua ialah cara yang halus. Mendekat bukan bertanya kesihatan hati kita tapi datang untuk bertanya kesihatan perut kita. Dengan menguasai perut manusia, kita telah Berjaya menguasai hati mereka. 

Banyak series of life event yang sangat menyedihkan, melukakan dan memedihkan yang berlaku bertalu talu pada jarak timeline aku yang sangat dekat dekat. 

Sudahlah jatuh tertimpa tangga pula. 

Bila kita terlalu overwhelmed disebabkan rasa sedih yang berpanjangan menjadikan emosi kita menjadi tidak stabil. Gagal berfikir dalam memberi keputusan yang baik. Hati yang sedih memang akan mula menjauhkan diri daripada orang lain bukan hanya kerna malu kepada orang lain. Tapi takut melukakan hati orang lain dengan hati kita yang sudah tersedia banyak luka. 

Untuk hati yang sedang bersedih, bawalah jauh. Dan bila masa datang merawatnya, kau datanglah kembali. 

Apabila hati bersedih, bersedialah untuk hati lain juga bersedih ketika datang mendekat.

Dan apabila kau tahu hati aku sedang bersedih, cara selamat ialah menjauhkan diri daripada aku. Dan cara menyelamat ialah kau duduk di sini. Bersama aku. Cerita tentang perut.

 





26 May 2017

Pelupa.



Ada satu cerita sedih.
Tapi aku tak nak bercerita.

Ada satu lirik sedih.
Tapi aku tak nak nyanyikannya.

Ada satu luka pedih.
Tapi, aku tak nak mengadu.

Tiada penawar lain yang lebih berkesan,
melainkan dengan jadi pelupa.

Teruskan hidup dengan jadi pelupa lebih baik daripada memilih menamatkan hidup.

Hilang ingatan sedih dan pedih.




25 May 2017

Melawat Penang.


Penang.

Kali terakhir pergi waktu asasi pada 5 tahun yang lalu. Satu kumpulan naik bas ramai ramai tiga hari dua malam, mungkin. Terima kasih kepada pusat asasi dulu dulu yang sangat pemurah menaja bas dan duit belanja.

Sebenarnya kali kedua waktu itu melawat penang. Dan pertama kali yang terlintas di kepala ialah jambatan panjangnya lagi luas; jambatan Pulau Pinang. Salah satu jambatan terpanjang di benua Asia. Terus aku gementar mengharapkan ianya tidak runtuh secara tiba tiba dan diserang ombak ganas ( banyak sangat tengok wayang ).



Destinasi pertama kami ialah Pantai Batu Ferringhi yang terkenal putih dan halusnya pasir. Airnya boleh dikira jernih pada sebahagian tempat. Di sinilah tempat yang baik untuk hilangkan tekanan dan lelah setelah berbulan bulan lamanya di bandar. Banyak kapal dan bot kecil yang lalu lalang mengharungi ombak dan tempat orang mandi manda bersama keluarga dan rakan rakan baik. Ada banyak juga aktiviti air yang menarik seperti jet ski dan banana boat. Erkk, pening kepala bila tengok banana boat. Oh, kalau tunggu lama lama sedikit, akan ada nampak abang abang yang bawa kuda. Kalau kau pandai ayat, boleh lah dia bawa kau pusing pusing tengok laut dan sunset.



Seterusnya, tempat wajib singgah penggemar foto ialah Penang Street Art. Kalau tak lalu sini memang tak sah untuk mereka yang suka ambil dan diambil gambar. Salah satu ikon unik untuk buat kenang kenangan.




Dan ada juga kami singgah ke tempat bersejarah seperti Rumah P Ramlee. Replika rumah asal beliau dihiasi dengan informasi dan sejarah kehidupannya. Karya karya lama dan pembikinan lagu lagu lagenda ada disenaraikan di sana. Damai dan tenang sahaja di kawasan tersebut. Mungkin terlalu ber'sejarah' maka aku pun layu dan lena sekejap. Haha.



Sebelah malam, kami mengunjungi pasar malam Batu Ferringhi. Memang banyak barang barang yang pelbagai yang boleh dibawa pulang dengan harga yang berpatutan. Di sini memang ramai tourist yang mencari barang barang rare dan makanan minuman tempatan yang berbeza dengan tempat asal mereka.



Secara peribadi, aku suka pergi Bukit Bendera. Sebabnya, aku suka bukit. ( gelak hambar ). Uniknya kita tidak perlu mendaki ke puncak bukit, tapi menggunakan 'train' untuk naik ke atas. Sampai puncak, banyak pemandangan dan tempat unik yang menarik di atas. Sesuai untuk tempat keluarga meluangkan masa bersama sama dan beristirehat. Daripada puncak sana, bandar Pulau Pinang terasa kecil malah seperti kelihatan bandar yang dikelilingi laut yang luas. ( kata pulau, memanglah dikelilingi laut )



Dan pulau kecil yang kami sempat lawat ialah pulau monyet. Jangan tanya kenapa dinamakan monyet. Memang banyak monyet di situ. Dan air nya sangat jernih dan suam suam. Pasirnya juga halus dan putih. Untuk ke sana kami menaiki bot laju daripada jeti. Jangan pakai topi ketika naik bot laju. Jangan.



Banyak lagi tempat menarik dan makanan minuman lokal yang terbaik di sini. Penginapan dan hotel sangat banyak. Boleh dikatakan merata rata dan setiap sudut ada tempat tinggal sementara yang ditawarkan dengan harga yang murah kepada mereka yang datang melancong di Pulau Pinang.

Jom la cari list of hotel in Penang sekarang








22 May 2017

Panda yang pemalu.



Panda yang sepi.

Kisah ini tentang seekor panda yang pemalu. Seekor panda yang mahu seseorang datang melawatnya kerana dia sangat sepi dan keseorangan. Tapi, dia akan melarikan diri apabila ada yang datang menghampirinya. Dia selalu melihat yang lain bersama sama di taman kecuali dirinya sendiri sebab dia malu dengan matanya yang 'lebam'.

Si panda yang pemalu sangat berhajat mahukan seseorang datang menghampirinya tapi dia dapat lebih merasakan, dia akan lebih selesa keseorangan di dalam rumah bambunya.

Satu hari, dia rasa sangat kesunyian. Dia sangat memerlukan yang lain kerana rasa sepi yang dalam. Lalu, dia berdoa. Berdoa yang lain akan datang mengajaknya keluar walaupun dia tahu, dia akan bersembunyi dan lari jauh daripada yang lain. 

Kenapa tak ada seorang pun yang mahu mendekati ku? luah si panda pemalu.

Ah....mungkin sebab aku sendiri tak mendekati mereka. jawabnya sendiri.

Dia cuba mengumpul kekuatan dan ketenangan untuk keluar bersama yang lain. Dia bercakap dengan jiran sebelahnya. Dan akhirnya, si panda yang pemalu minum teh bersama sama dengan yang lain.

Walaupun banyak masa terluang yang aku mahu kan ialah berseorangan, tapi bila kita luangkan bersama yang lain, terasa hangat hidup ini tanpa keseorangan.








11 May 2017

Instagram page untuk blog saya yang malu malu.

alhamdulillah

hari ini random sebab aku tetiba rajin buat instagram page untuk blog.
aku pun tak tahu kenapa.
maka silalah follow jika rajin.

walaupun aku kurang aktif di instagram. tapi aku akan tetapkan push diri sendiri untuk sentiasa upload gambar bersama caption yang sesuai. jadi tunggu lah ye.

https://www.instagram.com/diari_siintrovert/?hl=en

kenapa perlu follow instagram profile ini?
1. jangan risau gambar kucing pasti ada. hehe
2. pengisian dengan gambar nampak lebih interaktif. mungkin.
3. sengaja tambah lebih link ke akaun media sosial untuk lebih rajin menulis.

terima kasih kepada siapa yang sudi follow.
yang benar,

lelaki introvert yang ingin menjadi encik penyayang.

24 April 2017

Anti-rant aku



kegembiraan itu sementara
kesedihan itu juga sementara

kalau tak boleh cari gembira dalam kesedihan, sibukkan lah diri dengan perkara perkara yang tak menyedihkan berbandingkan perkara perkara yang mengembirakan.

dalam transisi daripada peringkat sedih ke peringkat gembira, apa nama stage di tengah tengah itu? di tengah tengah antara sedih dan gembira.

duduklah dalam stage itu dan sibukkan diri dengan perkara perkara yang tak sedih.

yang ini, aku tak ada skema.
yang aku dapat hint, buatlah apa yang betul. betul di mata tuhan.

gembira lama lama pun rasa tak baik
sedih lama lama pun tak elok
duduklah dalam stage yang tak sedih dan tak gembira.




23 April 2017

Rant aku.



hari hari yang malang pergilah kau, * piu piu * bunyi tiup tiup sambil muncungkan bibir. aku gurau sendiri sendiri dalam bilik. baring atas tilam kosong.

sejak akhir akhir ini, aku cuba meluahkan apa yang aku rasa sekarang di hadapan orang sama ada melalui perbualan satu sama satu mahupun di media sosial. aku berikan teaser dan trailer apa yang aku rasa. bak kata orang, meluahkan rasa dapat melapangkan dada yang sempit dan melegakan rasa yang ketat.

seperti biasa, expectation dalam hidup aku sudah pun mati sejak beberapa tahun yang lepas. apabila meluahkan rasa sedih dan malang aku, masing masing menegur aku semula.

sabarlah, ada orang lagi malang daripada kau. kau tahu tak?

cuba kau positif sedikit, adalah tu hikmahnya.

kau meluah luah macam ini tanda kau tak redha dengan tuhan, kau tahu tak?

tersentak. dalam geram aku menerimanya, content dalam mesej mereka semua betul. aku tak nak pertikaikan pemilihan tona suara mereka dan struktur ayat yang digunakan untuk sampaikan mesej ini. aku tak mahu lanjutkan argument ini.

memang betul. aku selaku peluah hanyalah merungut rungut dan seolah olahnya mempertikaikan apa yang telah terjadi. inilah dinamakan second wave of rasa salah dan sedih. setelah kau bersedih dengan perkara malang yang telah berlaku kepada kau dan kemudiannya, kau bersedih dengan rungutan dan pertikaian ke atas perkara yang telah pun terjadi.

memang pedih bila ada orang dengar kita punya luahan, dibalas pula dengan ayat ' tanda orang matang ialah tidak meluahkan hal hal peribadi di media sosial ' dan ' kau ini asyik sedih je, cubalah post something yang happy. bersyukurlah '

geram. tapi.
hakikatnya pahit itulah yang kita kena telan. meluahkan tidak ada gunanya. meluah kepada tuhan pula, tidak dibalas dengan suaraNya. kadangkala, bukan kadangkala, aku mohon reply daripada Nya dengan secepat kilat. hakikatnya, dalam realiti tidak semudah begitu. tidak sama dengan expectation.

lalu, aku memilih manusia untuk melonggarkan sempit dan susah yang ada. dan tuhan membalasnya dengan rasa pahit yang pedih setelah datangnya pedih yang pertama.

aku putus asa? kadangkala.
aku malu dengan rasa susah aku. melihat satu per satu rezeki hilang. merungut. aku dimarahi. dan kemudiannya aku memilih diam, menangis sambil berbaring. dan itu juga adalah permulaan yang salah. aku sepatutnya lebih cool dan kuat. pilih jalan yang betul. skema jawapan dah ada.

iaitu,
janganlah putus asa dan bersangka baiklah dengan Allah.
urusan orang beriman ini hebat, dia bersyukur apabila diberi nikmat dan bersabar dan bersyukur lagi apabila diberi ujian.
semakin banyak ujian, sepatutnya semakin mantap imannya, bukannya berpaling daripadaNya dan meratap rasa malang.

skema jawapan dah ada. skema untuk memilih jawapan.

hakikatnya, expectation tidak pernah sama dengan reality. kita banyak tertewas dengan hati yang sentiasa teruji. dan akhirnya kita memilih jalan yang lebih sukar dan lebih menyedihkan.

pessimist kah aku? ntahlah.

susah sebenarnya kita telah menulis perkara perkara yang baik tapi kita sendiri sukar mengamalkannya. kita membaca skema tapi susah kita nak praktikkan. ada orang kata, kau kenalah jadi contoh yang baik dan kuat since kau banyak beri nasihat yang baik baik kepada kami.

dalam hati aku memberontak, aku pun manusia. aku pun lemah. aku pun diuji. salah ke aku tersilap dan cuai dan kadangkala tidak selari dengan apa yang aku nasihatkan.

namun.
dalam satu tempat jauh dalam diri aku, kalau kau beri nasihat yang baik baik kepada orang lain, kau perlu jadi contoh yang baik walauapapun yang berlaku. kau kena jadi lebih kuat untuk jadi contoh kepada orang lain.

tapi, ia sangat menyakitkan yang kau tak boleh lagi jadi manusia yang biasa. sakit. pahit. namun, yang itulah kita kena hadam.

walaupun aku ada sedikit menyesal yang selalunya aku banyak beri nasihat untuk memberi semangat kepada orang yang down since aku sendiri pun selalu down, tapi apa yang boleh aku cakap; yang dah jadi biarlah ia lepas dan pergi.

aku tahu akan ada lagi benda buruk bakal berlaku. tapi, aku tak ada pilihan selain daripada melaluinya lagi dan lagi. memang itu peraturan dunia. dalam case aku, aku ditimpa malang lagi dan lagi. tak apa. walaupun kau teringin sangat luahan kau didengari dengan penuh kasih sayang daripada orang yang kau sayang, hakikatnya yang paling menyayangi kau bukanlah manusia atau makhluk lain.

hakikatnya. kau sendiri tahu skemanya.
cuma aku sahaja yang tak pandai, dan hanya tahu nasihat.

padan muka aku.
skemanya, meluahkan lah kepada tuhan. meluahkan kepada manusia, hanyalah dapat kasih sayang yang pahit berbanding yang manis.








17 April 2017

Apokalips kecil.




beberapa tahun yang lalu, aku ada baca satu puisi. dalam puisi itu ada sebut yang setiap insan akan menangis keluar air mata darah setiap 25 tahun. tak tahulah kenapa begitu spesifik pada bilangan tahunnya. menangis berdarah disebabkan oleh ribut dasyat.

dalam puisi itu ribut dasyat membawa maksud ujian yang bertimpa timpa. ribut selalu datang dalam 4 bentuk; air, angin, tanah dan api.

air disebabkan air hujannya yang deras dan menikam nikam. dan boleh menjadi banjir
angin disebabkan pusaran yang laju dan tiupan kencang.
tanah disebabkan habuk, debu, pasir malah dahan dahan kayu patah ditolak angin.
api disebabkan kilat sabung menyabung dan menyambar apa yang ada di bumi.

symbolism. berikut fasa kejadian ujian dalam hidup manusia yang digambarkan puisi. apokalips kecil. saat itu mereka menangis berdarah.

dan aku alaminya. rasa mual dan nak muntah bila bau air mata sendiri.

hidup mesti diteruskan. betul?




16 April 2017

Lelaki kacak pada satu sudut.



menjadi lelaki yang paling kurang kacak dalam kelas adalah satu bebanan beberapa tahun yang lalu. apabila waktu itu darah kau muda dan mengelegak dengan perhatian. kau belajar kasih sayang dalam media tapi tak belajar tanggungjawab sebab tak banyak tunjuk dalam media.

muka berminyak.
rambut yang mudah berubah bentuk.
punya badan yang tidak tinggi dan sasa

ditambah dengan sifat pemalu dan pendiam.  tidak aktif dalam menyertai sukan dan pertandingan  menjadikan aku kurang menonjol dan menampil dalam kelas.

muka aku selalu di belakang gambar. invisble.
ada satu gathering, salah seorang junior aku tak kenal aku dan menyangka aku hanyalah staff di fakulti. sakit. tapi, itulah realiti. hidup dengan invisible cloak.

orang akan kenal kita jika kita ada kepentingan pada mereka sahaja. jadi, jika kita mahu ada kepentingan, jadilah orang penting.

dan menjadi orang yang penting, bukanlah aku.

ada seorang lelaki, kawan kepada aku. dia kata dia lelaki yang paling tak kacak. aku pula berbasi basi sambil menduga, taklah aku sebenarnya lelaki yang paling tak kacak sekali.

dia hanya mengangguk. aduh. sakit pula.

dia berkata, adakalanya lelaki yang tak kacak akan nampak kacak daripada angle tertentu.

jadi, dia bersyukur dia bukannya lelaki tak kacal yang secara total. tambahnya, lelaki kacak yang hanya pada satu angle, sesetengah orang akan lebih setia dan tertarik mengikuti lelaki itu. melihat lihat sudut yang tepat supaya lelaki yang tak kacak itu jadi kacak pada angle tersebut.

hanya yang orang yang setia sahaja akan tertarik dengan lelaki yang kacak pada sudut tertentu.

aku pandang lama lama.

masih tak nampak lagi sudut mana yang kau rasa kau kacak.

cakap dalam hati.





Nasi goreng butter milk chicken dan teh 3 lapis.



sejak akhir akhir ini, aku makan nasi lemak hampir setiap malam. aku pergi ke depan kedai tanpa buka helmet dan order 2 bungkus. (aku tahu diet makanan ini tak bagus, aku makan nasi lemak bila aku tak makan lunch dan sarapan untuk hari itu sahaja) kadangkala, belum keluar daripada mulut aku lagi, abang jaga kedai itu dah tahu apa yang aku nak.

2 bungkus kan? telur mata?

aku angguk.

tapi hari yang lepas, aku buat keputusan untuk tukar selera. aku mahu makan nasi goreng butter milk chicken dan teh 3 lapis yang aku sangat suka. mahal sedikit tapi adakalanya baik juga aku manjakan perut yang selalu stress.

sebelum ke kedai itu, aku singgah untuk solat isya di masjid berdekatan. waktu itu aku penat, depress dan longlai. dan doa aku pada waktu itu janganlah ada ceramah so terus sahaja ke solat isya'. tapi, expectation aku selalunya contradict dengan realiti sejak 4 tahun yang lalu.

dalam dunia ini ada benda benda aneh yang selalu terjadi secara tiba tiba. accidental situation yang boleh relate dengan situation kau. dalam situasi aku ialah content ceramah itu. aku dengar dengan telinga kiri yang telah dibius.

ada satu doa nabi musa yang pernah aku dengar dan baca dulu.

dalam surah al qasas ayat 24.

dan aku yakin ustaz ini bercerita tentang pelarian nabi musa daripada mesir. aku datang lewat dan aku mendengar babak akhir sahaja. aku tak nak cerita di sini.

ada satu masa itu, aku rasa depress dan lemah longlai. aku tak larat nak bangun. aku baring dan pandang siling sambil berfikir aku lah manusia paling loser sekali. aku kira pakai jari. kira silap aku.

tapi, aku juga fikir dan kira apa yang aku boleh buat untuk aku bangun kembali. dan the cylce terus berjalan. aku buat apa yang boleh buat aku bangun dan aku kira dan update balik apa yang aku silap. ada perkara yang aku fikir boleh buat aku bangun tak menjadi dan gagal. aku jatuh lagi ke bawah. dan bangun balik. aku fikir lagi apa lagi perkara yang boleh baikkan situasi aku.

dan aku sedar semakin lama aku jadi penat dan lemah. disebabkan kitaran yang sentiasa tak menjadi. hidup terasa sangat perlahan. expectation tidak sama dengan realiti. tapi, aku sangat cepat move on dan fikir lagi. fikir yang sangat lama. adakalanya aku putus asa sekejap dan pasrah dalam tempoh tertentu. tapi, aku bangun balik disebabkan accidental situation happen yang boleh relate dengan situation kau sekarang. ustaz ustaz panggil hidayah.

apa yang aku ada sekarang hanyalah limitations. aku tak boleh buat apa apa. aku tak kaya. limitation. aku fikir macam mana nak overcome this limitation. aku kerja part time. penat. tapi takdir aku berbanding yang lain, aku ditakdirkan untuk berjalan jauh. aku mula mula merengek kenapa dan kenapa tapi action aku tak dapat mengubah apa apa. hidup mesti berjalan.

itu salah satu contoh limitation yang aku ada. aku tak nak cerita banyak. sebab tak nak jadikan post ini satu depression post dan emosional. dan juga tak nak jadikan post ini negatif. aku tak nak disturb kau punya positif environment dan pace by my negativity. jangan.

aku nak cakap yang, kalau kau susah dan miskin ( tak semestinya daripada segi harta ), buatlah something yang kau rasa kecil untuk diri sendiri. sebagaimana kisah nabi musa yang penat dan susah sebab lari keluar daripada mesir tanpa makan dan minum. panas, berpeluh dan berkaki ayam. tetap tolong dua orang perempuan yang dalam kesusahan. dahlah dalam susah, tolong orang susah lagi.

jadi, keluarlah doa nabi musa dalam ayat surah tadi.

kemanisan doa tadi. pengajarannya, buatlah something untuk diri sendiri. dalam case ini, nabi musa buat something dengan berbuat baik kepada orang lain. buat baik kepada orang lain juga membuatkan kita feel good dengan diri sendiri. dan itu sahaja yang nabi musa boleh buat time itu.

dengan susah susah beginilah kita hidup. dengan derita dan banyaknya ujian, doa kita lebih sedap.

agaknya dengan waktu senang dan lenang, aku banyak lupa dan celaka.

Dr Maza




15 April 2017

Sisa suara




akhir akhir ini hidup aku semakin tak seronok disebabkan aku jadi rajin keluar daripada comfort zone. kerja sambil belajar sangat memenatkan. tidur sekejap. bangun yang sangat lama.

dan banyak sangat masalah datang  tapi aku tak mahu menulis di sini.sebab aku penat.

disebabkan aku kurang tidur, aku banyak berhalusinasi dengan perkara yang pelik. bila aku nampak kawan aku yang pandai dan boleh grad tahun ini, intro muzik wrestling dimainkan. bunyi bunyi chanting meriah. sepertinya ada ribuan jemaah manusia mengelilingi nya.

dan waktu aku sangat stress dan pening, sekeliling jadi sunyi. aku tak dapat dengar apa apa. yang bersuara datang daripada suara aku sendiri.

' relax, semuanya baik baik sahaja '

kadang kadang, aku berharap yang...
.....ayat ini bukannya datang daripada suara aku sendiri. tapi, datang daripada orang orang yang kita sayang. kadangkala, kita perlukan kekuatan orang lain. tapi dalam realiti aku, selalunya kekuatan yang masih bersisa inilah yang tinggal jadi harapan.

macam buku yang aku baca tadi waktu tunggu pesakit datang,

quotenya

kalau tak dapat apa yang kita suka, sukalah apa yang kita ada.

yang aku ada ialah suara yang menutur baris semangat.
aku kena suka.

selamat.




03 April 2017

Rasa relatable.




Sebenarnya ada baik juga aku tulis hal hal peribadi terutamanya perasaan sedih dan risau. Bila kita dedahkan masalah dan kelemahan, kita menarik manusia manusia baik yang datang memberi nasihat dan solusi. Solusi itu bonus. Syukur.

Pinggan kita masing masing lain. seronok juga dapat tahu yang lauk kita lebih kurang sama dan kita dapat berkongsi rasa dalam perspektif yang berbeza. cara aku makan salah, kau tegur dan tunjuk cara makan yang betul.

Adakalanya, kita sendiri ada nasihat yang baik baik untuk diri sendiri waktu dihurung susah, tapi kita tetap mahukan nasihat yang baik baik itu datang daripada orang yang boleh relate dan merasa apa yang kita rasa.

Beberapa tahun yang lalu, waktu aku masih muda. aku kuat menulis mesej mesej positif dan gigih menyebarkan semangat dan nasihat yang baik. teruja. sebab rasa seronok dalam membuat kebaikan dan yang membaca turut terkesan dengan apa yang aku tulis. menambah lagi rasa rajin untuk membaca material yang dapat dibuat idea untuk menulis perkara positif.

Namun, hakikatnya aku tidak merasa dan sebaliknya hanya menulis tanpa pengalaman. tulis berkenaan sabar dan redha tapi tak pernah diuji pun dengan perkara perkara yang mencabar dan besar. jadi, tulisan itu hanya salinan daripada apa yang kita baca dan diolah menjadi satu penulisan di sini. realitinya aku tak merasa pun apa ertinya mesej yang kita serap dalam tulisan di sini.

Sekarang, bila datang perkara perkara besar yang datang bergolek, sukar pula untuk apply dalam kehidupan yang diuji.

Betullah, manusia tak nampak beriman jika tak diuji. Apa yang aku tulis beberapa tahun yang lalu telah datang menuntut supaya aku amalkan apa yang ada di sini. seram kan? kita diuji dengan apa yang kita tulis.

 Jadi, semakin banyak ujian mendatang, terkenang juga apa yang kita tulis tanpa rasa dulu dulu. dan sekarang, apa yang aku tulis semakin relatable dan relevant. semakin memahami rasa sakit orang orang yang membaca di sini. semakin faham dan menghayati.

Mungkin sekarang aku banyak jatuh, sebab beberapa tahun lalu aku telah pun merasa naik sehinggalah aku berani berani menulis perkara yang positif. Keinginan aku menulis banyak dipengaruhi dengan pasang dan surut hidup aku sendiri.

Bila kita sedih, kita menangis.
Bila kita gembira, kita senyum.

Sukar juga kalau orang kenal kita sebagai penulis yang bercerita positif pada mulanya, kini menjadi penulis yang relatable dengan tulisan sendiri dulu dulu.

Semoga kamu semua dapat doakan yang baik baik untuk aku.






02 April 2017

Mengejar kejayaan.



Selain daripada pandai meniru tanda tangan orang lain ( bukan aku ), kami juga pandai mengesan bau pensyarah kami untuk mendapatkan tanda tangan mereka dalam buku biru.

ini lah rutin kami sehinggalah berkerja dan bersara kemudian hari; mencari tanda tangan orang yang lebih superior daripada kita.

ada yang mudah memberi tanda tangan tanpa soalan. jika beserta bersama soalan, proses mendapat tanda tangan menjadi tidak mudah.

ada yang berlalu pergi keluar daripada sesi, sehingga semput kami berlari, mengejar pensyarah kami yang sangat lapar makan tengah hari.

ada yang lupa kan kami, lalu enggan memberi tanda tangan kepada kami. ' awak wujud ke semalam? ' ' Dr, sayalah yang tak dapat jawab soalan Dr semalam,' kemudian, teringat semula. lalu ditampar dengan bebelan.

aku tak tahu sama ada mereka betul betul bahagia dan gembira ke dalam memberi tanda tangan kepada kami?

seronok ke dikejar kami yang berpeluh dan berbau ini? tapi aku dapat rasa seronok bila beri tanda tangan kepada junior dalam orientasi. seperti dihargai. dalam mimpi.

kepada mereka yang sedang mengejar tanda tangan, eloklah kita menyambung kepakaran dalam menghidu kedudukan pensyarah yang selalu hilang di waktu kecemasan. stealth mode. luar radar.

selain daripada pakar meniru tanda tangan ( bukan aku sekali lagi ), baiknya kita kena pakar dalam block pathway pensyarah yang selalu lapar makan tengah hari.

kami pun lapar. dah lama tak makan tengah hari di fakulti sendiri.

post ini ditulis dengan rasa yang main main dan manja manja. ok?


14 March 2017

Hati perempuan dalam lelaki


sensitif.
bukan perempuan sahaja yang pernah merasa dan meluahkan rasa.

lelaki pun merasa, cuma tidak pandai meluahkan rasa. kebanyakkan begitu. menyimpan rasa tanda defensif. tidak mahu orang bersedih dengan rasa sedih yang melanda kita. contohnya, seperti ayah aku.

masa aku darjah lima, ayah aku dibuang kerja dek kerana ada masalah kilang. dan setelah sekian lamanya waktu itu rupanya, ayah aku pun reti menangis seperti kami. tiap tiap malam dan siang menangis. berdoa untuk rezeki menanggung keluarga. waktu itu kami kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. hampir berpindah ke kampung, hidup bersama nenek. betapa gembiranya hati kami dapat pancing puyu dan haruan. mandi paloh dan main bola di bendang sampai naik gatal.

hakikatnya, ayah ku tidak berfikir begitu. walaupun dia tidak mendedahkan masalahnya kepada kami, sedikit sebanyak mak banyak cerita masalahnya. kami haru. tak mampu buat apa apa. makan catu. minum pun catu. apatah lagi untuk meneruskan belajar. rasa gelap.

memang lelaki begitu. menyimpan rasa, tak pandai meluah. mak aku yang menolongnya meluah kan rasanya kepada kami. orang lelaki kena banyak menyimpan, supaya tak nampak lemah. walaupun ada sesetengah orang kata, meluah tak menandakan seseorang itu lemah tapi membantu memudahkan dalam menghilangkan rasa sedih.

tak.

mulanya begitu, rasa senang dan lega sebab didengari, tapi akhirnya akan dibuat bual bual betapa lemahnya lelaki itu. lelaki dipandang dengan expectation sendiri sebagaimana perempuan.

lelaki tak seharusnya sensitif. bila datang masalah, tak boleh meluah. kena bajet cool. kena nampak tough. sebab kita ditakdirkan menjadi ketua. kalau kita meluah melalu kata mahupun penulisan akhirnya nampak kita lemah. nampak seperti perempuan. sebab zahirnya sensitif memang milik kekal perempuan.

jadi, untuk ayah aku yang hatinya sensitif tapi tetap defensif dalam menyimpan dan meluahkan.

anak anak mu terutamanya aku, juga seorang yang sensitif seperti perempuan. tapi tidak meluahkan melalui kata kepada orang lain, aku hanya mampu meluah dalam bentuk penulisan di sini. dalam kertas kosong.

menangis aku walaupun seorang yang sensitif, aku tidak menangis seperti perempuan.

lelaki akan menangis apabila melihat ayahnya menangis.



Bawah suhu



dalam seketika ini, aku mengalami rasa turun yang tak pernah pergi.

tapi aku tak mengalah. aku pergi sekolah macam biasa. belajar seperti biasa. pergi jawab soalan soalan peperiksaan setiap minggu. beri senyuman kepada orang lain seperti biasa, adakalanya aku grumpy. rawat pesakit seperti biasa.

segalanya seperti biasa, tanda aku tidak pernah mengalah dengan rasa turun.

namun, adakalanya rasa turun mendatangkan rasa sedih yang sentiasa menekan nekan jiwa. dan ini membuatkan aku berfikir, sukar untuk aku berfikir untuk mengalah sepanjang saat. aku tertekan dan penat.

lagi satu kali, aku tidak mengalah.

aku mengelak lakukan perkara yang biasa. aku puji seorang perempuan cantik itu cantik. aku ucap selamat di hadapan lecturer yang tak pernah aku sembang. aku isi makanan kucing dalam tin 100 plus dan bawa ke hulur ke hilir setiap hari. dan adakalanya jika pesakit ku tidak hadir, aku sengaja tunggu di depan tempat pendaftaran supaya pesakit pesakit baru bertanyakan aku, di mana tempat ini dan sekian sekian.

ada perubahan? tak

aku rasa tak gembira. dan aku sedar, rupanya aku mencari gembira dengan mengharapkan dan melihat reaksi gembira dan membalas ku dengan ucapan terima kasih.

hakikatnya tak.

aku menopengkan kesedihan aku dengan aktiviti aktivitii yang membawa kegembiraan kepada orang lain supaya orang lain ingat aku sedang gembira. ironi. hakikatnya aku menangis sendiri. adakalanya di surau. dan selalunya di bilik.

aku tak nak tengok orang lain bersedih. dan aku tak nak tengok orang lain tengok aku sedih.

bagaimana dengan aku?
aku sendiri tak nak tengok aku bersedih.
sakit.

ampunkan aku, tuhan.
aku dah tak ada semangat.


20 February 2017

Tidur di bulan Februari

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani




Emotional numbness.
Nothingness.
Empty.


terasa kebas merata di dalam mental. walaupun situasi gembira datang, ketawa tak pula menyapa. situasi sedih berkunjung, menangis tak pula menyinggah.


Immune.
Namun terasa lifeless. Hati rasa kosong. Tak mampu respons dengan emosi. Perasaan jadi kejang.


Andai inilah lubang gelap yang paling dalam, inilah ruang yang paling sifar cahaya. terluka tapi tak mendatang rasa sakit. gelap tapi tidak mencari cahaya.


meluah tapi tak mampu ditolong.
mencari tapi hanya mampu berdiri. gelap. tak nampak untuk berjalan.

tidurlah
tidur di bulan Februari
biar bangunku di bulan Mac, hanya lumpuh pergi. dan kebas tidak lagi merata.



20 January 2017

Singgah sebentar.

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani







Magnet.


Agaknya aku dilahirkan sebagai magnet untuk menakung luahan. Orang tertarik meluahkan rasa kepada aku. dan aku statik mendengar sambil berkira kira sama ada aku perlu memberi respons dengan bahasa tubuh aku memahami ataupun memberi jalan penyelesaian.


Selalunya aku sekadar menggangguk dan terus mendengar sehinggalah peluah rasa jumpa jalan penyelesaian kepada masalahnya sendiri.


Dan aku dipuji.


Simple.


Adakalanya peluah rasa tidak jumpa jalan penyelesaian maka aku berkerut, keluar solusi untuk merungkai jalan berselirat. aku pengsan.


Aku mungkin kau nampak sebagai sumber inspirasi. tapi sebenarnya akulah yang paling memerlukan semangat dan motivasi untuk teruskan hidup.

Kadang kita rasa tamak, nak minta hadirkan manusia jadi sumber inspirasi kita tapi hakikatnya tuhan dah cukup bagi orang beriman. perghh tajam. aku lah itu yang sangat demand orang nya.

Pancit. High expectation.

Semoga dipermudahkan.
Semoga dipositifkan.
Andai negatif kutubnya, biarlah ia menarik kutub positifnya.




03 January 2017

2017

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani





*sigh


tahun baru dimula dengan keluh. sebab kecewa azam tahun lepas tak berjaya ditunai. ingat nak tulis satu post untuk setiap satu bulan. nampaknya aku telah miss bulan november dan disember. hantu betul. miss tulis sebab aku sibuk dengan projek akhir tahun dan peperiksaan klinikal pada dua dua bulan tersebut. akhir tahun 2016 sangat mencabar sebab aku sangat sibuk menulis benda benda akademik yang bagi aku sangat memenatkan. tahun ini lagi banyak aku kena tulis dan bakal hadapi peperiksaan yang sangat besar.


tahun lepas aku tulis. buat senarai apa yang aku nak sepanjang tahun itu tapi daripada segi pelaksanaan itu memang aku banyak culas. hasilnya, memang tak berhasil pun *gelak kecewa. disebabkan aku orangnya pessimist, jadi aku tak ada idea nak tulis apa yang aku nak capai tahun baru ini. cukuplah aku nak sihat sepanjang tahun. dan tunaikan apa yang tak tertunai pada tahun lepas.


tahun ini, aku dah masuk 24 tahun. aku masih lagi lelaki yang biasa, duduk rumah waktu cuti semestar tanpa pergi mana mana, buat freelance design, proofreading sedikit dan tolong kawan kawan promote business. dah masuk setahun, aku tak travel jalan ke satu tempat lebih daripada 3 hari. dan 5 tahun akhir akhir ini sangat mencabar fizikal, mental, iman dan semua lah sampai banyak kali jugalah aku menangis * aku manusia lemah, jangan judge, k


aku ini lelaki yang slow. tak ada banyak progress. kadangkala, aku rasa kesal sebab banyak peluang yang datang, aku tak ambil. peluang peluang yang datang sangat laju. aku banyak sangat fikir sehingga terlepas. dan aku juga bertindak sambil lewa menyebabkan peluang itu tidak malu malu meninggalkan aku. aku menyesal sepanjang lima tahun yang telah berlalu. maafkan aku, diri sendiri. mesti kau sedih dan marah kan?


bila orang tanya apa perkara yang happy berlaku sepanjang kau hidup? aku cakap aku sihat pun dah cukup. sebab nak kata happy nya seseorang itu, masing masing ada standard piawaian dia sendiri. bila aku tanya balik soalan yang sama kepada orang lain, ada yang happy dapat travel sana ke sini, buat umrah, dapat siap banyak clinical requirement dan competency test, gembira dapat kereta baru, bisnes semakin berkembang, dapat kahwin dengan orang yang sayang dan etc etc. subjektif. bergantung kepada orang.


kalau ditanya aku balik sendiri, aku tak ada semua perkara perkara yang di atas. aku tak dapat merasai semua itu. adakah aku tak happy sepanjang lima tahun kebelakangan ini? ya, tipu kata aku tak happy dan tak cemburu kepada mereka yang punya perkara perkara itu. tapi, apa yang aku boleh buat. sebab aku tak mampu. situasi aku mengatakan yang aku tak memerlukannya. cukuplah aku survive sepanjang lima tahun ini dengan berhadapan pesakit pesakit di klinik yang pelbagai ragam. aku survive.

happy? aku tak tahu. aku masih lagi cari silver lining. mencari mentari. mencari awan. namun yang  paling penting, cari sebab untuk aku happy walaupun aku tak punya mentari dan awan. ini lebih utama.


tahun ini, andai kata aku diberi rezeki oleh Allah untuk tamat studi, aku bersyukur ya rabb. memang satu keajaiban memandangkan aku sendiri dah mula ragu dengan diri sendiri. aku tak ada expectation tinggi mana. aku bukan nak jadi negatif, aku cuma nak jadi realisitk. andai kena repeat tahun ini yang di mana 90 peratus dalam hati aku menolak akan berlaku, 10 peratus lagi sudah pun redha dan mendidik aku menerima. aku pastikan aku takkan menangis seperti tahun tahun lepas. aku bangun, jalan. dan cari kerja untuk bayar yuran next semestar. ok.


aku bukan putus semangat, aku cuba jadi realistik.


keinginan aku yang sangat membuak buak untuk travel lebih daripada 3 hari, tetap tak berlaku dek dilimitasikan duit aku yang banyak mengurang. jadi, aku kena cari pendapatan lebih sedikit tahun ini. duit freelance itu banyak habis sebab beli makan. bukan beli cita cita. tahun ini aku kena belajar banyak puasa. aku potong separuh biasiswa masuk ke tabung haji untuk buat bekal kecemasan. di sini aku sangat kesal apabila aku membuang pandang pada 5 tahun ke belakang, aku tak ada buat simpanan. sungguh aku menyesal. tapi orang putih kata, better late than never. dan tapi lagi, aku kata, lebih baik tak terlewat langsung dan sedar lebih awal. ok. jangan down kan sendiri * gelak hambar

bercakap tentang cita cita, masa asasi aku pernah buat janji dengan kawan yang aku akan tulis buku dan ada koleksi buku sendiri. tidak kiralah novel atau pun buku buku apa sahaja asalkan bukan akademik. namun, masuk tahun ini masih lagi tidak berbuah. bukan tidak pernah aku cuba menulis. sudah tiga manuskrip yang aku hantar, telah di tolak. kritikan sangat pedas sehingga aku lumpuh beberapa bulan. pedih. ingat lagi waktu tahun tiga, betapa lemahnya aku nak studi untuk peperiksaan esok hari dan menyebabkan aku gagal. perit.

pada usia yang sudah hampir masuk 24, aku berlawan dengan kesedihan dan belajar menerimanya. aku belajar terima perkara perkara yang tidak mampu kita kawal. kita bukan tuhan untuk kawal perkara yang telah dirancang. aku belajar terima perkara perkara gembira yang belum aku miliki ( aku belajar positif di sini). untuk orang yang masuk usia ini, tengok orang lain yang sudah habis belajar dan mula bekerja. dah mula pegang duit sendiri dan bayar zakat sendiri. tolong mak ayah dengan membayar bil bil dan belanja rumah. miliki rumah dan kereta. berkahwin dan punya anak. adalah rezeki rezeki milik orang lain yang insyaAllah aku berdoa satu hari nanti aku juga mahu merasakannya. cuma, aku masih lagi beratur panjang, menunggu angka giliran untuk dipanggil.

tipu aku kata yang aku tak ada rasa malu, ada rasa loser dan incompetence, aku merasainya dalam setiap tulang dan daging keding aku ini. ini ialah satu pengalaman yang tak pernah aku rasa sejak kecil lagi dan aku kena belajar menerimanya dengan hati yang lapang. dan aku sangat perlahan untuk memahami dan menerimanya. semoga Allah beri kekuatanNya kepada aku untuk terus lapang dada.

post ini aku tulis atas dasar kecewa dan kesal.

tapi, bukan bermakna aku tulis sebab untuk terus rasa kecewa dan kesal. aku tulis sebab aku nak terima apa sahaja yang telah berlaku akan terus berlaku jika aku tak buat something ke atas diri sendiri. aku dah berusia. naik tahun tambah satu hari lagi untuk dekat waktu ajal. dan the ultimate rasa kesal itu ialah bila waktu kita mati tapi tak ada amal yang boleh defend kita waktu duduk akhirat sana.

tahun ini, aku nak cari berkat.

aku nak hati tenang. aku tak nak dah minta rezeki yang bukan bukan. rezeki rezeki yang tuhan beri kepada semua orang. aku nak satu sahaja, hati aku tenteram. aku nak hidayah. orang kata hidayah ini kalau ada harga, hidayah inilah barang yang mahal. dan aku sedar aku sendiri tak mampu untuk membayarnya.

jadi, kepada kamu dan kamu yang sedang membaca ini. minta doa sedikit. doakan aku. doakan aku supaya hati aku tenang dan tenteram walauapa sahaja perkara yang bakal berlaku tahun ini.

doakan hati aku kuat, ye?