14 February 2014

Untuk hati hati kita

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani




aku rasa down.

result exam aku ada satu subjek gagal. boleh kata macam gred gagal itu, gred yang paling bawah sekali dan paling suci sekali dalam kelompok gred yang gagal.

bertambah down lagi, ada orang kata aku ini seorang lelaki yang riya' dan ujub. salah ke aku berasa gembira dengan kerja kerja yang aku buat?

salah ke aku berasa bangga sebab aku bekerja, buat perkara yang baik?

kadangkala, aku rasa pelik. bila kita mahu menyebarkan kebaikan, akan ada ejen ejen yang mencemarkannya.

riya'. ujub. summah. takbur.

bila kita mahu buat kejahatan lalu sebarkannya, tiada langsung ejen ejen yang mampu mencemarkannya.

nampak ada unsur bias di situ. ketidakadilan.

oh, lupa pula yang kejahatan sudah pun tercemar. buat apa perlunya dicemari lagi, aduh. kalau di ' cemari ' dengan sifat sifat yang baik, aneh pula. mana ada manusia yang mencuri dengan ikhlas. tidak pernah dengar pula kes pembunuh membunuh mangsa dengan rendah diri.

jahiliyah memang tidak sudi hidup dengan Islam. jadi, mereka tidak suka campur dan bekerjasama dengan Islam.

jahiliyah hanya sudi meruntuhkan Islam. itu yang kebaikan boleh dicemari dengan sifat sifat mazmumah. susahnya hidup di dunia. susah sebenarnya kita nak masuk syurga.

bertambah lagi down. sebab susah nak masuk syurga.

aku rasa down sehingga aku mula malas malas. draft yang banyak, aku lupa mahu menulisnya sehingga hilang himmah ( semangat ) . idea pula mengering mengubah lembah yang tandus. aku buntu.

mutabaah amal menjadi celaka. jadual harian aku terhuyung hayang menjadi si pemabuk tegar ( aku tak minum alkohol, ini analogi ).

bila kita alpa. lupa kerja kerja harian kita. hati jadi kosong. kosong dan kosong. bila hati kita kosong, maksiat masuk. dosa memberi infeksi hingga cuba mengalir di seluruh anggota badan kita. lalu, hati menangis.

bila kita banyak buat maksiat, banyak buat dosa. sebenarnya kan, hati kita menangis. kita tak tahu. hati menangis sebab dosa itu menghitamkan hati. membusukkan hati. melukakan hati.

hati menangis sebab,
hati jadi hitam.
hati jadi busuk.
hati jadi berdarah.

mana ada manusia yang suka, yang pada mulanya zahir, orang boleh nampak dia. tiba tiba, orang lain sudah tidak nampak dia sebab daripada bumi ini cerah kemudiannya menjadi gelita.

manusia mana yang suka dirinya busuk, kemudian pasti dicerca dan dikeji manusia sekeliling.

manusia mana yang suka dirinya berdarah, mengerang kesakitan. cedera parah, melolong sekuat hati kesan menahan kesakitan yang amat.

perkara yang perlu kita takut ialah,

- hati kita menangis. tapi, kita tak tahu hati kita menangis.

- hati kita menangis. tapi, mata kita tidak pula menangis.



jadi, duduklah.
duduklah di situ. diam sejenak. tutup mata. matikanlah dirimu. matikan segala pancaindera. pancaindera yang zahir.

mata. butakanlah.
telinga. tulikanlah.
mulut. bisukanlah.
duduk tafakur.
dengan menutup segala pancaindera yang zahir. kita membuka segala pancaindera yang batin.
saat itulah kita mendengar hati yang menangis.
hati yang menangis akan buat mata zahir kita turut menangis, menyesali dosa dosa yang banyak.

duduklah bersama tuhanMu, yang namaNya punya maha pengampun lagi maha penyayang.

menangislah. tangisan pendosa itu lebih mulia daripada tasbih para wali.

Hati-hatilah kita dengan rasa hati kita. kata Imam Ibnu Qayyim al Jauzi,

Antaranya, bahawa sesungguhnya Allah apabila mengkehendaki kebaikan untuk seseorang hambaNya, Dia jadikan hamba itu lupa gambaran ketaatan-ketaatan yang telah dia lakukan.

Diangkat semua itu daripada jantung hati dan lidahnya ( tidak membangkit-bangkitnya).

Apabila dia diuji dengan dosa, Allah jadikan dosa itu memenuhi ruang matanya, dia lupa segala amalan baiknya dan dia jadikan segala ingatan dukanya terhadap dosanya. Dosa itu sentiasa berada di hadapannya, semasa dia berdiri.
semasa dia duduk.
semasa dia berjalan.

Maka inilah sumber rahmat pada dirinya.

Ini seperti kata sebahagian salaf soleh, " sesungguhnya ada hamba Allah melakukan dosa, lantas dosa itu dia masuk syurga."

" Ada pula yang beramal dengan kebaikan lantas dengannya dia masuk neraka. "

bagaimana demekian? sebabnya, dia melakukan dosa lalu sentiasa dosa itu memenuhi matanya, setiap kali dia ingat, dia akan menangis.
setiap kali dia ingat, dia akan menyesal.
setiap kali dia ingat, dia akan beristighfar.
setiap kali dia ingat, dia akan merendah diri kepada Allah.
setipa kali dia ingat, dia akan kembali kepadaNya, merasa hina dan pasrah.

lantas dia beramal dengan amalan amalan soleh maka itu menjadi sebab kerahmatan untuk dirinya.

(1/445-446. Beirut: Muassasah Fuaad)



untuk kita, supaya menjadi hati hati yang penyayang. hati hati yang disayang tuhan.

10 February 2014

Penulis yang disayang tuhan

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Dari Abdullah r.a : Orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw, ‘Ya Rasulullah! Apakah kami akan disiksa kerana perbuatan kami pada masa jahiliyah?’ Jawab Nabi saw, “Siapa yang baik Islamnya, dia tidak akan disiksa kerana amalnya masa jahiliyah. Akan tetapi siapa yang buruk Islamnya (munafik), maka dia akan disiksa kerana amalnya pada masa jahiliyah dan masa Islam.”


Saja nak cerita berkenaan dengan salah seorang sahabat rasulullah, Abdullah Bin Rawahah yang juga seorang penyair.

Zaman jahiliyahnya, dia menggunakan potensinya yang pandai mengarang syair untuk memikat hati manusia, mendekatkan diri manusia kepada karya karya hebatnya supaya dia dikenali sebagai manusia yang pintar bersyair.

Zaman selepas dia memeluk Islam, dia tidak mematikan potensinya yang pandai mengarang syair, dia teruskan. Dia tidak menganggap syair itu sebagai kerja jahiliyah yang perlu dia matikan tapi dia gunakan bakatnya itu untuk mendekatkan diri manusia kepada agama Allah.

Betullah, apa yang murobbi selalu cakap dalam usrah, berkenaan dengan hadis logam, baik di waktu jahiliyah dan baik juga di waktu Islam, sekiranya dia faham.

Nak cerita lagi berkenaan Abdullah Bin Rawahah ini bersedih mula mula, selepas dia dapat tahu yang kerja penyair ini banyak buat dosa seperti ada satu ayat yang terkandung dalam al Quran.

Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala. 
(Asy-Syu'araa' 26:224)

Ya lah kan, bayangkan kita waktu belum kenal tarbiyah dan dakwah, kita buat blog dan facebook page untuk tulis gosip artis. Kongsi gambar gambar artis yang tak cukup kain. Kongsi video yang boleh dikira lapan belas tahun ke atas sahaja yang boleh tengok.

Semata mata nak meraih ‘like’ dan ‘view’ yang banyak. Kalau kita tengokkan dalam realiti sekarang, blog dan facebook page yang paling banyak dapat ‘pageview’ dan tinggi dalam Alexa ranking ialah blog yang cerita tentang gosip dan cerita lapan belas tahun ke atas.

Dan, apabila kita diperkenalkan dengan Islam. Diperkenalkan dengan tarbiyah dan dakwah, kita pula mahu tutup blog dan facebook page yang kita pada waktu jahiliyahnya sudah banyak ‘like’ dan ‘view’. Tak salah nak tutup sebenarnya, tetapi tak ke ia satu kerugian kalau kita tutup.

Baiklah, nak sambung lagi cerita Abdullah Bin Rawahah itu, selepas dia bersedih dengan ayat tersebut, kemudian, hatinya tenteram selepas dia membaca ayat yang selepasnya.

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. 

(Asy-Syu'araa' 26:227)

Haa, nampak tak permainan Dia? Bermulannya daripada situ Abdullah Bin Rawahah tidak berhenti bersyair malah terus rajin mengarang syair. Sebab dia fikir yang dia seorang penyair yang sudah banyak ‘like’ dan ‘view’ daripada orang ramai, jadi, mengapa dia perlu berhenti?

ia tidak mematikan ‘blog’ dan ‘facebook page’ nya yang sudah mendapat pageview yang tertinggi dalam Alexa ranking. Jadi, adakah dia perlu berhenti mengarang syair?

Tidak. Inilah orang yang faham. Baiknya di waktu jahilyah, baik juga di waktu Islam. Sekiranya dia faham. 

Tak semestinya terbatas kepada penulisan blog, siapa yang selalu buat vlog ke, upload video dekat Youtube. Jual barangan online ke, menyanyi ke ( ada band indie ke ), menari ke atau apa sahaja yamg kita hebat. Jangan kita matikan begitu sahaja atas asbab kita nak pakai jubah, pakai kopiah, pegang tasbih dan duduk masjid.

Kita boleh teruskan bakat kita ke dunia luar untuk menarik lagi ramai manusia datang berbondong bondong ke dalam agama Islam. ‘Like’ dan ‘view’ di waktu jahiliyah tinggi, digunakan kesempatan untuk mendekatkan manusia lain kepada Islam selepas itu.

Dengan izinNya, ‘like’ dan ‘view’ waktu Islamnya akan bertambah tambah. Yang penting ialah ‘like’ dan ‘view’ daripada Allah yang kita mahu.

Untuk penulis yang disayang tuhan.


01 February 2014

Hadiah Hari Jadi

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Beberapa hari yang lepas, hari jadi adik aku. Disebabkan aku mahu jadi abang yang manis dan baik dipandang. Aku pun mahu menyahut salah satu sunnah nabi Muhammad iaitu memberi hadiah. Beri hadiah itu sunnah, baru tahu kan?

 "Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian akan saling mencintai."
( HR. Bukhari ).

Sepanjang aku menjadi manusia, hadiah yang aku suka beri ialah makanan dan buku. Kenapa? Makanan jika dikunyah, keluar jusnya. Ditelan dan ditekan melalui esofaqus. Turun ke perut. Asid merembes dan membantai isi makanan menjadi lebih halus.

Nutrien keluar laju dan diserap padu oleh usus kecil. Dan variasi nutrien itu berenang renang dalam salur darah menuju setiap organ. Memberi makan kepada organ organ untuk terus bekerja. Jadi, organ akan lebih sihat dan rajin bekerja kerna kekenyangan dan cukup tenaga. Dan terus menerus menambah usia.

Nampak tak signifikannya hadiah di sebalik makanan itu? Kita ucap selamat hari jadi kepada orang yang tersayang dengan panjang umur. Panjang usia. Terasa genius aku, bila aku beri hadiah berupa makanan sob sob. Mendalam sungguh signifikan makanan. ( perasan )

 Itulah yang aku terangkan kepada adik aku. Dan adik aku kata aku cuma abang yang berlagak pandai dan kedekut. =_=”

 Lalu, aku hulur buku karangan bahasa inggeris. Sebagai hadiah kedua. Aku beri hadiah buku karangan bahasa inggeris salah satu sebabnya dia sangat lemah dalam bahasa inggeris. Tetapi, ilmu sifatnya untuk dipelajari. Masuk ke mata, turun ke hati. Sifat ilmu juga berkekalan walaupun manusia itu seorang pelupa. Namun, apabila dicatat ke atas helaian kitab, berabad tahun lamanya pun ilmu takkan dilupakan. Jadi, ilmu itu usianya panjang.

Terasa genius sekali lagi, bila aku ada fikrah ( pemikiran ) begini. Dan adik aku hanya menjawab. ‘ Along kedekut. Abang yang suka sindir sindir orang.’ Perjalanan menjadi lelaki yang penyayang sungguh panjang +_+” .

Apapun semoga panjang usia dipenuhi dengan amal amal kebaikan. Dan jadilah seperti makanan dan ilmu. Memberi manfaat kepada manusia lain. Makanan berkorban menjadi molekul yang kecil untuk diserap masuk dalam salur darah. Ilmu kekal diingati dalam kepala dan dicatit agar lebih tahan lama untuk generasi yang akan datang.

Teringat yang nabi Muhammad pernah berkata kepada Muaz Bin Jabal, seorang sahabat yang masih muda. Seorang pemuda yang berbakat besar dalam dakwah.

Aku sayang kau, Muaz kerana Allah.

Begitulah, apresiasi daripada golongan yang matang kepada generasi muda. Senioriti bukan bermakna kita boleh menujal nujal kepala junior, kita perlu pelapis dalam setiap bidang untuk membina dunia ke arah yang lebih baik. Meraikan dan menghormati mereka sangat diperlukan.

Muwasafat tarbiyah. Ciri peribadi seorang muslim itu, bermanfaat kepada manusia lain.

Semoga bermanfaat kepada ummah.