23 January 2013

Hidup penuh cinta

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani






Syafaatku untuk orang-orang yang berdosa besar dari ummatku

riwayat Tirmizi


 Ada hari itu aku pernah teringat salah seorang ahli keluarga aku yang telah lama meninggal dunia . lamanya , tiga tahun mungkin . bulan disember . tiga belas haribulan . lebih kurang pukul tiga petang . terlalu tepat bukan pengiraan ini , mungkin kerna tatkala maut itu menjemput , aku betul-betul tidak jauh inci daripadanya . seram tengkuk untuk yang belum merasa sakit itu . aku mampu menahan empangan mata . melimpah ruah juga walaupun dikekang . bersepah warna merah di pipi .


dia manusia yang baik . salah seorang manusia yang baik pernah aku jumpa . dia suka ajak aku pergi masjid . naik motor . kuat dia pulas minyak , sampai ketayap putih adik aku dulu pun pernah tertanggal tika membonceng motornya .

dulu , dia pernah terjatuh daripada motor waktu hendak ke masjid untuk menunaikan solat subuh berjemaah . bukannya jatuh waktu sedang menunggang motor tetapi mungkin mamai tika itu , motornya hilang imbangan sehingga menghempap badan yang kurus itu .

aku lihat motor yang ditunggang oleh orang yang memakai serban putih . aku akan ingat dia . dan memori akan berpusing ke belakang . hitam dan putih . cerita lama .

waktu ribut pun aku akan ingat dia . ribut . aku suka tengok ribut . angin ganas yang merosakkan atap zink . sehingga tercabut melayang ke udara . ribut di kampung memang berpuaka .

waktu tika itu , aku duduk di luar . dan ribut sedang mula membuat persembahan . angin menderu laju menolak suara daripada dalam rumah . meminta si pencinta ribut masuk ke dalam rumah . bahaya . aku dan minda cetek ku tidak endah .

sekeping papan nipis terbang umpama misil yang menggila . hatiku seakan koma . melihat peristiwa mustahil . dadaku statik seperti sudah tiada lagi udara yang boleh dihirup . matanya berdarah .

terketar . takut menjadi bersemi di wajah . dan dengan kata-katanya , dia buat takut itu pudar . hilang sedikit .

' nasib baik , tak tepat kena mata . kalau kena , dah tak boleh baca al Quran .'

aku senyum . melihat sesuatu yang buat kita berada di awan kenangan .

tatkala aku berfikir jauh . merenung dalam-dalam siapa yang perlu aku sayang . aku tersentak sejenak . berapa banyak perkara yang hadir dalam hidup ini mampu buat kita kenang.....rahmat sekalian alam .

aku pernah tengok orang yang memberi makan kepada kucing kurap usai aku tamat kelas di sekolah menengah .

aku pernah tengok orang yang minumnya duduk , selepas membeli air kelapa di pasar malam .

aku pernah tengok orang yang memberi makan kepada golongan homeless di sekitar ibu kota .

aku pernah tengok orang yang dicaci buruk , tetapi dia tidak berbuat apa apa . dia sabar .

dan ia ada di mana-mana sahaja . perkara-perkara yang buat kita kenangkan akan baginda .

tuhan memberi ganjaran pahala bukan semata-mata kerna kita dapat mempraktiskan sunnah baginda , tetapi supaya kita lebih dekat dengan baginda .

ingat serban , ingat baginda .

ingat kurma , ingat baginda .

ingat kucing , ingat baginda .

pahala itu bonus . kenangan itu indah .

sunnah ada di mana-mana . tidak kira yang mengamalkan itu muslim atau belum lagi muslim . cinta ada di mana-mana . semoga mata hati ini sentiasa terbuka melihat sunnah di dunia ini . dapat juga kita kenang-kenangkan manusia yang sangat mencintai umatnya .

salam maulidur rasul . selawat ke atas mu , ya rasulullah .


"Katakanlah, 'Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."  

Ali Imran: 31





































No comments: