31 January 2014

Tangan ke Mata turun ke Hati.

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani




Pesan naqib ilmu tanpa amal, tak boleh. Amal tanpa ilmu, pun tak boleh. Dua dua kena ada. Seimbang. Ying dan yang ( tetiba ). Itupun selepas naqib baca kata kata hikmah daripada imam al Ghazali.

Naqib ulas, ilmu ini umpama mentega, kaya, jem strawberi atau nutella, kalau makan macam itu sahaja memang sedap tapi bila selalu makan begitu sahaja, lama kelamaan jadi tak sedap pula.

Tanpa amal yang dianalogikan sebagai roti, kita akan hilang rasa sedap itu. Kalau selalu beramal tanpa ilmu pula ibarat makan roti tanpa mentega, kaya, jem strawmberi dan nutella, lama lama jemu juga kalau makan roti kosong. Rumah sebelah masjid, hari hari pergi solat tapi tak pergi majlis ilmu tak jalan juga.

Lama lama rasa bosan sebab menghadap tuhan tapi tak dapat naik taraf atau upgrade skill komunikasi dengan tuhan kita. Jadi, kena ada dua dua. Maka, insyaAllah kita boleh istiqamah dengan apa sahaja kita nak buat. Tak terbatas hanya urusan ukhurawi, macam buat ibadat seperti solat dan puasa. Baca lecture note banyak kali tapi tak faham, kerja sia sia juga kan? Haha aduh terasanya =_=” . Menyesal pula tulis bahagian ini.

Bila cerita berkenaan dengan amal ini, teringat pula ada satu analogi yang aku pernah baca satu masa dulu. Walaupun macam tak ada kaitan dengan perenggan perenggan di atas , tapi tak apalah. Aku nak kongsi juga.

Lebih kurang begini. Tok haji ini bangun awal pagi. Awal paginya dihiasi dengan amal ibadat, solat sunat tahjud, hajat, subuh berjemaah dan dhuha sebagai pelengkap pagi sebelum pergi ke kebunnya untuk menanam sayur. Ah Chong pula bangun pada waktu yang sama juga dan pergi ke kebunnya pada masa yang sama seperti tok haji.

Lepas itu pula, analogi itu mengatakan yang mereka berdua berehat pada waktu yang sama. Nak dipendekkan ceritanya kan, tanaman Tok haji ini kurang menjadi manakala Ah Chong ini pula menjadi.

Lebih kurang macam itulah yang aku baca, lepas itu terus fikir yang kenapa tanaman tok haji tak menjadi pula sedangkan dia muslim yang taat dan rajin beribadah kepada Allah. Bangun malam kot , bukan perkara yang mudah. Ah Chong pula bukan seorang muslim tak buat pun apa yang tok haji buat. Dan silapnya ialah pada sepanjang proses yang berlaku daripada mula keluar pagi hingga waktu mereka berdua berehat.

Apa beza mereka berdua sepanjang dua waktu itu? Diceritakan tok haji ini buat kerja tak bersungguh sungguh. Tengok tanaman sekejap sahaja, guna benih yang biasa biasa, baja yang biasa biasa, racun serangga yang biasa biasa dan lepas itu , pergi ke warung kopi.

Manakala, Ah Chong pula buat kerja sepenuh tenaga. Menatang minyak yang penuh setiap tanamannya. Guna benih yang mahal, baja yang berkualiti dan rajun serangga yang efektif dan memantau setiap waktu. 

Dan kesannya, tanaman Ah Chong lebih produktif manakala tok haji tidak. Nak tunjuk dekat sini, ini ialah sunnatullah. Siapa yang menanam akan mendapat hasilnya. Tapi kan, tok haji itu pun menanam juga dan dia diselubungi dengan pahala yang banyak atas amal amalnya yang banyak?

Lepas itu ada lagi orang kata, yang dunia ini syurga kepada orang kafir. Wah, betul. Memang betul. Sebab sambungannya lagi dunia ini ibarat penjara bagi orang mukmin. Penjara bagi orang beriman.

Tapi, tahu tak, apa yang tok haji buat tadi tidak menunjukkan dia mahu berusaha untuk mendapatkan sesuatu. Hanya mengharap amal amalnya iaitu amal amal ukhrawi itu yang support amal amal dunia. Tak jalan juga. Inilah sunnatulah. Siapa yang berusaha, dia akan dapat. Itu yang ditunjukkan oleh Ah Chong. Allah maha adil kan? 

Allah nak kita, muslim ini jangan terlalu bangga dengan gelaran muslim kita. Setakat gelaran muslim, kita dapat apa sahaja dengan doa. Tapi, hakikatnya tanpa usaha kita tak ke mana juga. Kita selalu sangat rasa superior yang kita pasti masuk syurga.

Rasa tinggi daripada agama agama lain. Hakikatnya, kita tak ke mana pun. Bergaduh sana sini. Lepas itu malas, tak buat apa apa. Lepas itu jadi fitnah dalam agama. Agama kita menyuruh jangan melengah lengahkan kerja. Kerja mesti kuat. Jaga kesihatan badan.

Agama kita menganjurkan penganutnya berjaya dalam setiap bidang. Hakikatnya, kita tak ke mana pun. Macam kondisi umat sekarang, nazak . Ditindas.



Allah, rasa malu pun ada bila aku dengar perkongsian ini daripada salah seorang rakan.

Teringat pula, pernah baca dekat blog orang lain, ada lelaki yang belum Islam ini menolong muslim yang nak keluarkan kereta daripada tempat letak kereta , tapi malangnya bila nak keluarkan kereta, sudah dihimpit oleh van pasar malam.

Ya, selalunya kan tempat letak kereta selalu dijadikan tapak pasar malam. Nak diceritakan dekat sini, muslim itu mengadu, meminta dialihkan van itu. Kira kes macam double park la, lepas itu kena marah marah pula disebabkan lambat keluarkan kereta sebab petang itu dah stand by nak buat gerai. Dan yang menolongnya lelaki belum Islam itu, akhirnya Alhamdulillah dapat keluar.

Kemudian, kata kata yang tak dapat dilupakan oleh muslim itu ialah lelaki yang belum Islam itu kata, muslim memang macam itu. Mungkin sebab dia ingat muslim itu muka dia macam ala ala bukan muslim, itu yang lelaki belum Islam kata macam itu.

Muslim memang macam itu? Macam mana? Macam itulah?

Lihat. Persepsi macam ini lah yang dikatakan fitnah dalam agama. Sampai sekarang bila aku ingat cerita begini, aku mengalami depression yang amat.

Ya lah, bila mahu ponteng kuliah. Aku fikir banyak kali.
Bila mahu pergi kuliah, pakai selipar. Aku fikir banyak kali.
Bila nak makan laju laju. Aku fikir banyak kali.
Bila dapat result cukup cukup makan. Aku fikir banyak kali.
Bila pakai baju tak seterika. Aku fikir banyak kali.




Persepsi muslim kepada yang belum lagi, itu penting. Kerna dakwah bukan sahaja mulut ke telinga. Tapi, ia juga melibatkan tindakan kita ke mata mereka. Dakwah bil hal.

Ada satu hari itu orang arab badwi bertanyakan kepada Aisyah , err tak berapa ingat atau Fatimah. Boleh rujuk mana mana ustaz ya, aku dah lupa. Dia bertanya, Islam itu macam mana? Lalu Fatimah tunjuk sahaja kepada Saidina Ali, terus si arab badwi itu masuk Islam. Sungguh, hebatnya peribadi seorang sahabat hanya menunjukkan apa yang terlihat di mata sudah sampai Islam ke dalam hati arab badwi. Allahu Akbar.

Aku tiada niat pun nak ajak kamu semua mengalami depression bila kita cuba bandingkan apa yang ada pada kita yang muslim ini dengan yang belum. Tetapi, apa yang aku cuba mahu katakan, kita kena berusaha mengamalkan sepenuhnya, bukan ambil Islam itu sedikit sedikit. Apa yang kita rasa sesuai ambil, kita ambil. Tak, bukan macam itu.

Wahai orang orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu. 
Surah al Baqarah : 208

Jadi, ilmu itu perlu untuk terus kita beramal tanpa jemu. Amal tanpa jemu, membawa amalan yang konsisten. Istiqamah. Tidak terbatas hanya solat malam dan solat siang. Dengan amalan yang istiqamah dapatlah berbuah akhlak.

Opss berkias pula, semoga apa yang kita kerjakan solat malam dan solat siang itu, kita akan bertambah rajin berusaha.

Bertambah rajin baca lecture note.
Bertambah rajin memberi senyuman.
Bertambah rajin hulurkan derma kepada mereka yang belum mampu.
Biarlah bahagian akhirat kita banyak sekali dengan bahagian dunia kita.

Nak jadi muslim memang susah. Kena kejar dua dua. Dunia dan akhirat. Tak kira apa sahaja bidang yang kita ambil sekarang ini.

Tukang kayu bekerjalah seperti tukang kayu muslim yang sejati.
Tukang jahit bekerjalah seperti tukang jahit muslim yang sejati.
Jurutera bekerjalah seperti jurutera muslim yang sejati.
Dan lain lain.

Semoga kita tidak jadi fitnah dalam agama. Minta jauh, ya rabbuna. Nauzubillahi minzalik.

p/s: pesan pesan untuk aku yang selalu lupa.

30 January 2014

Apa yang perempuan mahu daripada seorang lelaki?

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani



sejak akhir akhir ini, bila sudah masuk umur puluhan. aku tahu aku masih muda tetapi orang sekeliling ku yang sebaya mahupun selang dua tiga tahun rancak berbicara kahwin. nikah. bercinta. berpasang pasangan. aku yang masih mentah cuma menadah telinga. bisu. lidah tugu bukan kerna aku tidak minat. cuma, aku digasak dengan persoalan aku yang lama.

Apa sebenarnya perempuan mahu daripada seorang lelaki?

baru baru ini aku berjumpa kawan lelaki. dia salah seorang kawan lama. dahulu, aku sangat cemburu dengan dia. segalanya dia ada. paras muka. duit dalam wallet yang banyak. pakaian yang terkini. pintar dalam akademik. hebat dalam sukan. mukanya selalu dipasang wajah gembira.

dan hari ini untuk beberapa tahun kami tidak bersua, dia memasang wajah sedih. aku bertanya kenapa. dia cuma membalas tidak ada apa apa. sepanjang berkenalan dengannya, kelemahan aku yang dapat cungkil hanya satu, dia tidak pandai berbohong. mungkin, sudah terlalu biasa gembira. agak janggal melihat dia sedih. matanya sedikit berair. masuk habuk, mungkin.

lelaki yang kecewa.

aku tahu aku perlu terkejut. tetapi, aku memasang wajah kasihan. dia baru putus cinta dengan perempuan di kolej. daripada penceritaannya berkenaan perempuan itu daripada awal pertemuan cinta mereka berdua hingga ke pengakhiran putus cinta, aku dapat mengagak yang dia terlalu sayang kepada perempuan itu. aku tidak mahu bertanya lagi sebab musabab si perempuan itu memutuskan untuk tidak mahu bercinta dengan dia kerna takut takut dia lebih sedih.

jadi, aku terus tukar topik, bertanyakan soal pelajarannya. soal penglibatannya dalam sukan dan kepimpinan. dia membalas setiap soalku, tapi akhirnya selalu meleret ke perempuan itu. contohnya, dia dapat pointer yang bagus sebab dia selalu mengulangkaji bersama. kemudian, dia melibatkan diri dalam dikir barat bersama perempuan itu juga. segala soalanku dijawab ada nama perempuan itu sekali. betapa utuhnya hubungan mereka.

aku mula berani berani bertanya, kenapa si perempuan itu mahu putus sambil aku pejam mata. takut takut nanti dia baling kerusi yang dia duduk kepada aku sebab suka menyibuk. bunyi hela nafas yang panjang. aku dengar dia keluh. aku buka mata. dia bercerita.

sebenarnya, dia sertai usrah. entah apa yang berlaku setelah dicuci otak dalam usrah itu, dia terus memberi sms meminta putus. lalu, meninggalkan ku dalam termangu mangu. fikirku gurau senda sahaja tetapi dia betul betul nekad. walaupun sebelum ini dia ada maklum yang dia ada mengelak mahu berjumpa dengan aku, betullah apa yang ada jauh sudut hatiku. dia memang betul betul mahu putus.

sepertinya dia mahu menangis, aku cuma mengangguk dan berdehem kecil seperti mahu berkata sesuatu. tetapi yang berkata kata ialah hati aku.

aku tidak terkejut keputusan si perempuan itu. kerna aku juga sertai usrah maka tidak hairanlah dan tidak aneh bagi aku untuk tidak tahu alasannya untuk meminta putus. disebabkan daripada tadi aku hanya diam, dia memberi soalan.

apa sebenarnya perempuan nak daripada lelaki?

aku pun tidak tahu.

sehingga sekarang, aku pun tak tahu apa yang lelaki nak daripada seorang perempuan juga.



dulu dulu, aku teringat masa aku lambat ke kelas, aku berlari laju melawan masa. dan ternampak ada beberapa perempuan yang lalu bertentangan, tidak semena mena aku buat aksi 'parkour' sambil flip hair. perghh aku pun tidak tahu mengapa, secara automatik aku nampak gagah ( perasan ) .

dan ada satu hari aku tunggang motor sampai di satu selekoh, aku cuba buat aksi yang boleh tahan nampak bergayanya, condongkan badan aku 45 darjah daripada jalan raya ( aku mengada ) sebab nampak ada perempuan manis di situ.

adakah naluri lelaki yang suka menunjuk nunjuk hebat dan gagah itu apa yang perempuan mahu daripada seorang lelaki?

aku bukannya binatang. katak jantan dengan suaranya. burung merak dengan bulu pelepahnya.

apa yang aku nak daripada seorang perempuan sebenarnya? dan apa yang mereka nak daripada seorang lelaki?

muka kacak seperti artis korea. tidak, ada sahaja mereka yang minat korea tapi akhirnya berkahwin dengan muka lelaki yang langsung tiada iras iras korea langsung. muka jawa tambah banjar ada la.

mahu yang beragama tapi nakal sedikit sedikit. romantik. kacak sedikit sedikit dan sejuk mata memandang. ada duit tapi tak mewah sangat. tinggi badannya . tegap sedikit.

wajah fiksyen.

drama di kaca tv mahupun novel, menjual khayalan. kita bermimpi untuk pasangan begitu indah agamanya. muka kacak. hidung mancung. kulit putih. tinggi dan sasa. khayalan selalunya sempurna.

cuba kita lihat dunia secara realistik.

kita akan mudah kecewa.

kesempurnaan hanya milik tuhan.

jadi apa yang perempuan mahu daripada seorang lelaki sebenarnya?

kita tolak tepi semua fizikal 'khayalan' seorang lelaki. kita ambil lelaki yang baik. lelaki yang setia. lelaki yang romantik. lemah lembut. sopan santun. bijak dalam akademik dan berkepimpinan. tetapi berapa ramai agaknya lelaki ini? sedikit, cuma sedikit.

yang menghairankan kawan aku cukup pakej. kacak dan setia. walaupun ramai peminat, dia tetap mahu berhubung kepada perempuan itu. tapi, dia tetap diputuskan oleh si perempuan itu.


perempuan usrah.

aku belum pasti secara umumnya apa yang perempuan mahu daripada seorang lelaki , tetapi aku tahu apa yang perempuan usrah mahu daripada seorang lelaki.

mereka mahukan lelaki yang dapat memimpin tangan mereka ke jannah. ke syurga. tangan yang memimpin tangan mereka itu , mestilah tangan seorang suami. bukannya tangan milik seorang teman lelaki.

lelaki yang mahal ialah sebaik sahaja ingin bercinta dengan perempuan, dia bukan memilih bercinta untuk dibawa siang ke malam menonton wayang dan berjogging di tasik tanpa ikatan yang sah.

apa yang perempuan usrah mahu ialah lelaki yang ada ikatan sah. seorang suami yang dapat makan bersama. minum bersama. menonton wayang bersama. berjogging bersama. lelaki mahal itu yang mereka cari, lelaki yang tahu sedikit bab agama dan berusaha mengajar kepada mereka. dan lelaki yang berusaha belajar membawa isterinya ke jalan sakinah . jalan kebahagiaan.

lelaki yang berusaha menahan matanya daripada memandang aurat ajnabi kerna mata ini hanya milik isteri.

lelaki mahal yang mereka mahukan itu ialah lelaki yang berani . yang ada perut nak beritahu kepada wali mereka, betapa sayangnya si lelaki itu kepada mereka dan sanggup menjaga mereka hingga akhir hayat. lelaki yang sudi menegur salah silap mereka. lelaki yang bukannya hanya memikir soalnya diri sendiri, kerna perempuan itu sifirnya sukakan ada yang memegang payung untuknya . di kala terik mentari dan ribut taufan. yang dapat harungi bersama dalam hidup di bumi ini.

lelaki yang mahal itu ialah lelaki yang tahu jalan ke akhirat. cukupkah dengan hanya tahu? dia juga lelaki yang berusaha untuk ke sana.

sekarang.

bila kau tahu apa yang perempuan mahukan daripada seorang lelaki. secara automatiknya, kau akan tahu apa yang lelaki mahu daripada seorang perempuan pula.

perempuan yang mahal.

khas untuk lelaki yang patah hati . ^_^


29 January 2014

Kaya = Adiwira.

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa menyeru ke jalan petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun dari pahala-pahala amal mereka sama sekali. Barangsiapa menyeru kepada jalan yang menyesatkan, maka baginya dosa semisal (sama) dosa orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka sama sekali.” 

 (Shahih Ibnu Majah : No. 0172).




Batman. Lelaki kelawar. Adiwira yang tidak punya kuasa istimewa sebagaimana adiwira lain seperti lelaki super, lelaki labah labah dan lelaki berbadan hijau yang suka marah marah. Tetapi, dia punya kesungguhan yang ampuh. Hebat. Bersungguh praktis menjadi juara segala seni pertahankan diri. Ditinggal yatim piatu. Ditemani orang suruhannya yangg setia , bersama sama menegakkan kebenaran. Walaupun, ditentang oleh rakyat marhaennya sendiri, dicela dan dicemuh kerna fitnah yang banyak dalam media. Dia berani. Kerna yang benar tetap benar. Kerna yang salah tetap salah.


ramai mengimpikan mahu menjadi adiwira, ya boleh sahaja menjadi adiwira seperti lelaki kelawar. Kerna, dia tidak ada pun kuasa hebat yang istimewa. Yang dia ada hanyalah kesungguhan dan kekayaan. Ya, dia seorang jutawan yang punya syarikat yang kukuh ekonominya. Seorang yang bijak mengurus wang dan berjaya memperoleh pendapatan lumayan.

segala duit dan wang hasil pencariannya digunakan untuk mencipta sut perang, senjata perang dan kenderaan perang untuk menentang kebatilan dan menyebarkan kebenaran.

kekayaan.

tergiang giang telinga ini memasang dengar lagu di radio. kalau aku kaya, kalau aku kaya, kalau aku kaya.

teringat, dulu memang ada tekad mahu menjadi akauntan. Sungguh, memang minat betul dalam perakaunan kerna sungguh suka dan cinta akan duit. Kalau aku pergi jalan jalan, duit yang berada dalam poket seluar jarang diraba oleh tangan ini. Kerna, sungguh sangat sayang nak belanja. Sayang nak keluarkan duit untuk beli sesuatu. Sebab mahu saja perap duit ini sampai masam.

Namun, sekali berbelanja, laju sahaja ia mengalir. =_=" . Sekejap, aku sudah merepek. Apa kaitannya dengan perakaunan dengan sifat kedekut aku ketika berjalan jalan di pusat membeli belah. Maaf sudah lama tidak menulis. Tiba tiba, bercerita tentang lelaki kelawar, kaya dan akauntan. =_="

Aku sahaja nak sebut sebutkan yang aku dulu pernah bercita cita mahu menjadi akauntan tetapi tidak mendapat restu. Kerna takut takut hati aku menjadi gelap sebab banyak tengok wang yang mengalir. Jadi, aku redha. Takut juga kalau hati ini mati. Hati mati, tidak lagi merasai kelazatan ibadat, yang ada ialah kemanisan maksiat. Nauzubillah minzalik.

Semoga, Dia yang membolak balikkan hati ini, mengubah reseptor hati cenderung kepada ibadat dan tidak terpengaruh dengan maksiat. Amin.

Namun, setelah sekian lama beberapa tahun, terfikir pula. Wang yang banyak bisa membutakan hati. Mematikan hati. Jadi, bagaimana adiwira itu dapat menepis gelap daripada wang itu daripada memeluk hatinya? ajaib . maka, pepatah yang mengatakan wang itu akar segala kejahatan itu kurang diterima.

Bukan semua. Bukan semua orang dapat memanipulasi wang ke arah kebaikan. Tapi, salahkah kita menjadi kaya? Tak. Tak salah. Yang salah, apabila kita menjadi kaya tetapi tidak bersedia.

Bagaimana pula mahu bersedia ?

Hati kita ada satu rongga. Satu lubang. Penuhilah dengan iman. Kerna iman akan mengubah wang menjadi amalan amalan yang baik dan soleh.

iman masuk dalam hati dengan ingat kepada tuhan.

Solat lima waktu. Solat sunat diperbanyakkan. Teringat ada satu hadis yang sebut Allah mencintai makhluk makhluknya yang banyak menunaikan ibadah sunat lalu,

Dia menjadi pendengarannya .
Dia menjadi penglihatannya.
Dia menjadi langkahnya.
Dia menjadi tangannya.

sungguh, apabila kita telah dibantu sebegitu. Apakah hati kita akan gelap apabila memegang wang yang banyak dalam tangan kita?

para sahabat menjadikan dunia ( wang ) dalam genggaman tangan mereka. Kenapa tak letak dalam bahagian tubuh badan lain? Sebab bila kita buka sahaja genggaman tangan kita, terlepaslah ia. Gugur. Jatuh, menyembah bumi. Akhirat tetap di hati. Kekal, memjadi hadaf. Matlamat untuk mendapat harta yang lebih lumayan. Iaitu, jannah.

Jadi, apabila iman sudah meresap laju dalam hati kita, Dia akan menjadi telinga kita. Maka, kita akan lebih mendengar perkara baik baik. Bukan bermakna kita dengar perkataan yang bukan carut carutan, kita akan lebih peka mendengar isu isu umat kita yang sedang lemah.

Sama jugalah, Dia menjadi mata kita. Kita akan lebih peka memerhati kepada mereka yang memerlukan. Mereka yang dalam kesusahan dan kefuturan. Dan langkah ini berjalan seperti Dia ke arah mereka yang tidak bernasib baik dan tangan ini menghulur seperti Dia . Memberi kepada mereka yang perlu menerima.

Dinar terbaik yang dibelanjakan oleh seseorang lelaki adalah dinar seseorang yang dibelanjakan untuk nafkah keluarganya 

[HR. Muslim (2/574)]

Untuk memberi, kita perlukan harta yang bukan sedikit. Dengan menjadi kaya ialah solusi untuk menyelamatkan umat yang kian tenat.

Duit yang banyak kita dapat memberi derma. Sumbangan kepada gelandangan yang tidak terbela. Tiada lagi kes lelaki yang mencuri di masjid dan dipenjarakan. Kerna dengan cukup wang, kita dapat memberi kecukupan kepada manusia lain. Ya, kita tidak layak untuk memberi tetapi apa salahnya kita menjadi asbab untuk orang lain bersyukur kepada tuhannya.

Tak ke rasa manis, bila kita menghulurkan wang kita yang sedikit itu, ada si peminta sedekah itu mengucap syukur?

Tak ke rasa manis, bila kita memberi sebungkus roti yang cuma enam puluh sen kepada si gelandangan yang lapar dua hari, tersenyum kepada tuhannya?

Allah telah pun berjanji kepada manusia yang dalam 7 golongan yang dipayungi rahmatNya di akhirat kelak ialah mereka mereka yang memberi dalam keadaan rahsia dan terlalu banyak huluran tangannya hinggakan tangan kiri tidak tahu pun tangan kanan sedang menderma.

Cemburu. Aku cemburu dengan mereka yang kaya harta. Sudahlah kaya harta , mengamalkan apa yang agama ajarkan. Melihat kawan kawan aku yang awal usianya sudahpun menjejakkan kaki ke tanah suci. Menunaikan umrah. Sungguh hati ini menjerit kerna betapa miskinnya aku. Masih lagi sedang mengumpul wang. Bekerja keras membanting tulang mencari kerja.

Aku malu. Kerja aku perlu kuat lagi. Tidak sehebat Abu Bakar yang menginfakkan hartanya sehinggakan yang tinggal hanyalah Allah dan rasulnya. Tidak sekuat Uthman dan Abdurrahman al Auf yang rajin mengeluarkan harta mereka ke jalan Allah.

Sungguh, aku cemburu dan malu kepada mereka yang kaya.

Dengan harta yang banyak, dakwah lebih mudah. Segala gerak kerja lebih tersusun dimodalkan dengan sumber kewangan yang kukuh. Bekerjalah, kerja sepenuh hati agar dapat mengkayakan umat kita kembali seperti masa dahulu.

Allah, teringin betul mahu pergi ke rumahMu. Dapat tunaikan umrah sekali sebelum aku mati pun jadilah :").

Pesan orang tuaku, marilah tunaikan solat dhuha. Pembuka rezeki. Semoga kita menjadi kaya di sini. Dan juga di sana.

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat shalat dhuha, karena dengan shalat tersebut, Aku cukupkan kebutuhanmu pada sore harinya.” 
(HR Hakim dan Thabrani) 

“Setiap pagi dari persendian masing-masing kalian ada sedekahnya, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, dan setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir sedekah, setiap amar ma’ruf nahyi mungkar sedekah, dan semuanya itu tercukupi dengan dua rakaat dhuha.”  
(HR. Muslim)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...