30 January 2012

Bilik A vs Bilik B , mencari vaksin

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.
( Ali-Imran:139).

salam ziarah....


terkadangkala , aku sedikit celaru . tika ini aku berasa sedikit marah . marah dalam menulis , satu kondisi yang kurang memberi kebaikan kepada jasad mahupun hati yang paling utama . persoalannya lebih kepada ' kenapa marah ? ' , itu pasti akan ditanya oleh manusia lain melihat orang yang sedang marah mukanya . pasti juga ditanya oleh tuhan kelak berkenaan persoalan yang sama .




Kenapa marah ?


apabila disebut ' kenapa ' , pasti jawapannya merupakan sebab atau punca . sebagai contohnya ,

' kenapa tiba-tiba engkau marah ni ? '

  * menceritakan sebab-sebab kemarahan

' kenapa muka engkau berkerut je ni ?

  * meluahkan punca-punca muka berkerut




sebagai manusia yang mempunyai fitrah , kemarahan itu wajar ada dan inilah yang mencukupkan emosi kita sebagai hamba Allah . kemarahan dapat dikawal dan disalurkan dengan baik tika berjihad di jalan Allah .

di kala puncak adrenalin yang sedang memecut laju meraih gerakan jantung ke arah maksima mampu membentuk satu momentum daya luar biasa , memenggalkan kepala orang yang memberontak dengan tuhan . itulah syurga yang sedang menanti untuknya dan jika syahid , terbanglah rohnya dibimbing oleh malaikat yang baik mukanya .

namun , paras adrenalin yang maksima mampu memberi kerosakan kepada sistem pengepaman jantung yang bertindak liar . jantung perlu berkata-kata perlahan . itu satu urgensi . jika tidak , syaitan yang buruk mukanya akan senang-lenang larut dalam haemoglobin , menendang keluar zikrullah yang sudah pun sebati dengan komponen selular darah .


Kunci dan mangga .




saintis yang terhebat sepanjang zaman , Nabi Muhammad S.A.W ( muslim jika membaca atau mendengar nama nabi umat akhir zaman , berselawatlah ) , telah berjaya menemukan penawar untuk menurunkan kadar adrenalin yang memberi pecutan kepada jantung untuk beraksi pantas .

kunci untuk menahan arus adrenalin ialah sabar .

Rasulullah SAW mengungkapkan, “…dan kesabaran merupakan cahaya yang terang…” 
(HR. Muslim)

pastilah hasil penemuan ini datang daripada pencipta ilmu itu sendiri , tuhan yang maha bijaksana .

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan)…” (Ali-Imran: 200)





tika kemarahan sedang menguasai jasad , syaitan yang malas bertukar menjadi rajin menyaluti minda manusia , menyebarkan risalah kejahatan . meruntuhkan atma hati untuk memberi zikir dan berselawat . saat itu kita dikawal menjadi seorang pemberontak tuhan . mahukah engkau menjadi seorang pemberontak kepada pemberi kebenaran ?

Allah maha penyayang ,  menulis kata-kata cinta kepada pemberontaknya . menambah motivasi dan memberi semangat untuk terus bercinta kepada ciptaanNya sendiri .

“…dan orang-orang yang bersabar dalam kesulitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar imannya dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” ( surah al-Baqarah : 177 )



Bilik A - Bilik B = ?





bilik A , dua orang muslim yang berbeza cita rasa . seorang muslim sukakan muzik keras manakala seorang muslim lagi sukakan muzik yang tenang . dua selera yang berbeza , pasti memberi perbezaan yang ketara dalam susasana bilik .

namun , pedasnya lebih tertumpah kepada mulut si muslim yang tidak sukakan muzik keras . not-not muzik yang tinggi , carutan dan sialan yang menghiasi lirik dan ditambah pula dengan bisikan si merah yang memberi stimulasi kepada adrenalin untuk berlari , menendang-nendang jantung supaya menjadi merah menyala . berlebih lagi alunan muzik keras itu menjadi zikir harian dalam bilik A .

bilik A , sukarnya menelaah ilmu hanya tuhan yang tahu . ilmu yang berada di dalam buku takut-takut dan lari . sukar untuk ditangkap apatah lagi dicernakan . hiruk pikuk dengan perkataan sial memberi kelajuan kepada zarah-zarah ilmu untuk lari lebih kencang . muslim yang sudah merah menyala itu terpaksa menggunakan dayanya yang tinggi untuk mengejar dan menangkap ilmu yang lari .

merah menyala lagi hatinya . sukarnya nak fahamkan ilmu matematik , kimia , fizik dan biologi dalam bilik yang tidak tenteram .

berbeza dengan bilik B pula , dua orang muslim yang hampir sama cita rasanya . bukan sahaja muzik mereka dipalu dengan zikrullah malah segala kehidupan berkenaan ad-din mereka juga sentiasa dipandang hormat oleh manusia yang memerhatikannya . maka , tiada reaksi kimia yang memberi impak kepada kejadian jantung yang merah menyala .

ilmu mudah sahaja ditangkap dek kerna zarah-zarah ilmu berjalan dengan santai . mungkin itu tandanya sebuah bilik yang telah diberi berkat dan redha .

namun , apa yang mistiknya dua buah bilik yang tinggal dua orang muslim ? ianya mengenai suatu yang dipanggil mehnah (ujian) yang mendatangkan ibrah ( pengajaran ) .


manis dan masam .




muslim yang tertekan di bilik A diuji begitu dengan situasi yang berat . sukar menangkap ilmu dek kerna bising , bilik yang bersepah dengan kotoran yang tidak dibersihkan oleh rakan sebiliknya yang suka muzik keras dan merosakkan beberapa barang di dalam bilik .

ujian itu pasti berat bagi seseorang yang sedang memberi konsentrasi penuh dalam pengajian ilmunya . pasti mulutnya akan sentiasa masam . adakah Allah itu tidak adil ?

bagaimana pula dengan muslim yang santai di bilik B ? rakan sebiliknya yang sentiasa memberi tarbiyah , suasana yang tenang menggamit sel neuron bercambah laju dan kebersihan yang benar-benar bersih . pasti wajahnya sentiasa manis-manis . Allah itu maha adil ?

apakah amalan yang dilakukan oleh muslim di bilik A dan muslim di bilik B sehinggakan mereka menerima dua situasi yang berbeza ?




tidak , manusia itu sama sahaja . berbezanya ialah tahap dia menerima ujian tuhan , jika melepasi tahap yang tuhan ciptakan , sungguh dialah orang yang berjaya .


Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya......(surah al-Baqarah : 286)
bersangka baik dengan tuhan .

andaikata , tuhan mencampakkan muslim di bilik B ke bilik A , kemungkinan besar muslim di bilik B pasti akan berlebih lagi tidak selesa . mungkin sudah selesa dengan suasana yang tenang dan tenteram , bertukar  hiruk pikuk mengikat gegendang telinganya . pasti dia akan kurang sabar dek kerana terlalu selesa dengan nikmat di bilik B . apabila orang itu tidak sabar dan mula memberontak , tuhan akan mula berlari jauh melainkan dia bertaubat kembali .




mengapa tuhan memberi bilik yang 'tidak baik' kepada muslim di bilik A ? dengan bilik yang tidak baik itulah memberi gelaran 'baik' kepada muslim di bilik A . tuhan menguji sesuai dengan kesanggupan muslim di bilik A . dia diciptakan sedikit tinggi paras kesabarannya berbeza dengan muslim di bilik B . begitulah tingginya yakin tuhan kepada muslim di bilik A yang sedang diuji dengan bilik yang tidak baik .

Satu ketika Nabi saw ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka beliau menjawab: 

“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa. (HR. Tirmidzi, hasan sahih)


analoginya , muslim di bilik A mempunyai daya tahan imunisasi yang sedikit tinggi tanpa perlu jumlah vaksin yang banyak untuk terus bertahan melawan segala onar dalam pembuluh darahnya , manakala , muslim di bilik B mempunyai kurang daya tahan imunisasi dan perlu jumlah vaksin yang sedikit banyak untuk bertahan .

begitulah tuhan yang sentiasa menguji manusia sesuai dengan tahap kesanggupan mereka . Allah itu maha adil , bukan ?


injeksi vaksin .




ramai manusia lupa daya tahan imunisasi mereka sangatlah rendah tika diserang dengan material asing yang melimpah berlebih lagi abad moden ini . material asing yang sering memberi murka kepada tuhan mereka . mereka terlupa yang tuhan mereka sentiasa menyediakan vaksin untuk diberi injeksi ke dalam hati .

maka tika tertekan dalam menghadapi ujian tuhan , mintalah simpati kepada empunya vaksin yang memberi dengan percuma ,  berdoalah .

رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَآ أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ  

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

tetapkanlah hati ini ; ujian yang berat itu pasti ada ganjarannya juga seiring dengan nilai ujian itu sendiri . jika hati ini terasa mula ingin menyentuh punat bengang , marah , gila , rasa ingin mencarut dan bersangka buruk dengan tuhan . letakkan tangan anda di dada , usap atau tepuk dengan lembut dan ucapkanlah bahasa cinta yang tuhan tintakan ,


letak tangan di dada , ucaplah '  'إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِيْنَ'
                                              "sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar "

bahasa cinta untuk kita semua , bahasa yang memberi kita ruang untuk melancong ke jannahNya . Amalkan dan sebarkan . InsyaAllah ..

“Tidaklah ada suatu musibah yang menimpa seorang muslim melainkan Allah akan menghapuskan dosa dengannya walaupun duri yang menusuk badannya.” (Imam al-Bukhari dan Muslim).

2 comments:

uwmaisarah said...

Aku suka post ni. Suka. Suka. Suka.

NaRuFiQ said...

alhamdulillah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...