01 February 2014

Hadiah Hari Jadi

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Beberapa hari yang lepas, hari jadi adik aku. Disebabkan aku mahu jadi abang yang manis dan baik dipandang. Aku pun mahu menyahut salah satu sunnah nabi Muhammad iaitu memberi hadiah. Beri hadiah itu sunnah, baru tahu kan?

 "Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian akan saling mencintai."
( HR. Bukhari ).

Sepanjang aku menjadi manusia, hadiah yang aku suka beri ialah makanan dan buku. Kenapa? Makanan jika dikunyah, keluar jusnya. Ditelan dan ditekan melalui esofaqus. Turun ke perut. Asid merembes dan membantai isi makanan menjadi lebih halus.

Nutrien keluar laju dan diserap padu oleh usus kecil. Dan variasi nutrien itu berenang renang dalam salur darah menuju setiap organ. Memberi makan kepada organ organ untuk terus bekerja. Jadi, organ akan lebih sihat dan rajin bekerja kerna kekenyangan dan cukup tenaga. Dan terus menerus menambah usia.

Nampak tak signifikannya hadiah di sebalik makanan itu? Kita ucap selamat hari jadi kepada orang yang tersayang dengan panjang umur. Panjang usia. Terasa genius aku, bila aku beri hadiah berupa makanan sob sob. Mendalam sungguh signifikan makanan. ( perasan )

 Itulah yang aku terangkan kepada adik aku. Dan adik aku kata aku cuma abang yang berlagak pandai dan kedekut. =_=”

 Lalu, aku hulur buku karangan bahasa inggeris. Sebagai hadiah kedua. Aku beri hadiah buku karangan bahasa inggeris salah satu sebabnya dia sangat lemah dalam bahasa inggeris. Tetapi, ilmu sifatnya untuk dipelajari. Masuk ke mata, turun ke hati. Sifat ilmu juga berkekalan walaupun manusia itu seorang pelupa. Namun, apabila dicatat ke atas helaian kitab, berabad tahun lamanya pun ilmu takkan dilupakan. Jadi, ilmu itu usianya panjang.

Terasa genius sekali lagi, bila aku ada fikrah ( pemikiran ) begini. Dan adik aku hanya menjawab. ‘ Along kedekut. Abang yang suka sindir sindir orang.’ Perjalanan menjadi lelaki yang penyayang sungguh panjang +_+” .

Apapun semoga panjang usia dipenuhi dengan amal amal kebaikan. Dan jadilah seperti makanan dan ilmu. Memberi manfaat kepada manusia lain. Makanan berkorban menjadi molekul yang kecil untuk diserap masuk dalam salur darah. Ilmu kekal diingati dalam kepala dan dicatit agar lebih tahan lama untuk generasi yang akan datang.

Teringat yang nabi Muhammad pernah berkata kepada Muaz Bin Jabal, seorang sahabat yang masih muda. Seorang pemuda yang berbakat besar dalam dakwah.

Aku sayang kau, Muaz kerana Allah.

Begitulah, apresiasi daripada golongan yang matang kepada generasi muda. Senioriti bukan bermakna kita boleh menujal nujal kepala junior, kita perlu pelapis dalam setiap bidang untuk membina dunia ke arah yang lebih baik. Meraikan dan menghormati mereka sangat diperlukan.

Muwasafat tarbiyah. Ciri peribadi seorang muslim itu, bermanfaat kepada manusia lain.

Semoga bermanfaat kepada ummah.


No comments: