10 February 2014

Penulis yang disayang tuhan

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Dari Abdullah r.a : Orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw, ‘Ya Rasulullah! Apakah kami akan disiksa kerana perbuatan kami pada masa jahiliyah?’ Jawab Nabi saw, “Siapa yang baik Islamnya, dia tidak akan disiksa kerana amalnya masa jahiliyah. Akan tetapi siapa yang buruk Islamnya (munafik), maka dia akan disiksa kerana amalnya pada masa jahiliyah dan masa Islam.”


Saja nak cerita berkenaan dengan salah seorang sahabat rasulullah, Abdullah Bin Rawahah yang juga seorang penyair.

Zaman jahiliyahnya, dia menggunakan potensinya yang pandai mengarang syair untuk memikat hati manusia, mendekatkan diri manusia kepada karya karya hebatnya supaya dia dikenali sebagai manusia yang pintar bersyair.

Zaman selepas dia memeluk Islam, dia tidak mematikan potensinya yang pandai mengarang syair, dia teruskan. Dia tidak menganggap syair itu sebagai kerja jahiliyah yang perlu dia matikan tapi dia gunakan bakatnya itu untuk mendekatkan diri manusia kepada agama Allah.

Betullah, apa yang murobbi selalu cakap dalam usrah, berkenaan dengan hadis logam, baik di waktu jahiliyah dan baik juga di waktu Islam, sekiranya dia faham.

Nak cerita lagi berkenaan Abdullah Bin Rawahah ini bersedih mula mula, selepas dia dapat tahu yang kerja penyair ini banyak buat dosa seperti ada satu ayat yang terkandung dalam al Quran.

Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala. 
(Asy-Syu'araa' 26:224)

Ya lah kan, bayangkan kita waktu belum kenal tarbiyah dan dakwah, kita buat blog dan facebook page untuk tulis gosip artis. Kongsi gambar gambar artis yang tak cukup kain. Kongsi video yang boleh dikira lapan belas tahun ke atas sahaja yang boleh tengok.

Semata mata nak meraih ‘like’ dan ‘view’ yang banyak. Kalau kita tengokkan dalam realiti sekarang, blog dan facebook page yang paling banyak dapat ‘pageview’ dan tinggi dalam Alexa ranking ialah blog yang cerita tentang gosip dan cerita lapan belas tahun ke atas.

Dan, apabila kita diperkenalkan dengan Islam. Diperkenalkan dengan tarbiyah dan dakwah, kita pula mahu tutup blog dan facebook page yang kita pada waktu jahiliyahnya sudah banyak ‘like’ dan ‘view’. Tak salah nak tutup sebenarnya, tetapi tak ke ia satu kerugian kalau kita tutup.

Baiklah, nak sambung lagi cerita Abdullah Bin Rawahah itu, selepas dia bersedih dengan ayat tersebut, kemudian, hatinya tenteram selepas dia membaca ayat yang selepasnya.

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. 

(Asy-Syu'araa' 26:227)

Haa, nampak tak permainan Dia? Bermulannya daripada situ Abdullah Bin Rawahah tidak berhenti bersyair malah terus rajin mengarang syair. Sebab dia fikir yang dia seorang penyair yang sudah banyak ‘like’ dan ‘view’ daripada orang ramai, jadi, mengapa dia perlu berhenti?

ia tidak mematikan ‘blog’ dan ‘facebook page’ nya yang sudah mendapat pageview yang tertinggi dalam Alexa ranking. Jadi, adakah dia perlu berhenti mengarang syair?

Tidak. Inilah orang yang faham. Baiknya di waktu jahilyah, baik juga di waktu Islam. Sekiranya dia faham. 

Tak semestinya terbatas kepada penulisan blog, siapa yang selalu buat vlog ke, upload video dekat Youtube. Jual barangan online ke, menyanyi ke ( ada band indie ke ), menari ke atau apa sahaja yamg kita hebat. Jangan kita matikan begitu sahaja atas asbab kita nak pakai jubah, pakai kopiah, pegang tasbih dan duduk masjid.

Kita boleh teruskan bakat kita ke dunia luar untuk menarik lagi ramai manusia datang berbondong bondong ke dalam agama Islam. ‘Like’ dan ‘view’ di waktu jahiliyah tinggi, digunakan kesempatan untuk mendekatkan manusia lain kepada Islam selepas itu.

Dengan izinNya, ‘like’ dan ‘view’ waktu Islamnya akan bertambah tambah. Yang penting ialah ‘like’ dan ‘view’ daripada Allah yang kita mahu.

Untuk penulis yang disayang tuhan.


No comments: