24 April 2012

dan Barista yang comel itu

Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani



alkisah , seorang barista yang sedang leka bermain dengan mesin kopinya . bermain seni latte di cawan putih berbunga merah kilat di waktu embun pagi sudah tiada . mentari mula menyinari tetapi redup sedikit disapu awan genit . angin pagi masih lagi tersisa .

dingin sedikit . langit itu tidak pernah padam dengan cantiknya lakaran biru ilahi . sebuah kedai kopi di tepi kebun epal yang ada lima orang pelanggan pagi . setia menghirup aroma hangat cecair krim putih terapung di dalam cawan cantik .





barista itu seorang lelaki . lelaki yang dipanggil comel oleh pelanggan-pelanggan perempuan . entah kenapa lah mereka ini memanggil lelaki tua tiga per lima abad ini comel . pelanggan lelaki mempertikaikan . rambutnya putih sedikit di bahagian hadapan . kumisnya nipis sahaja dan garis usia ketara banyaknya .

namun , dalam wajahnya itu , ada satu rasa yang menambah redup setiap hari . wajah yang buat hati ini rasa senang selalu . tidaklah mahu terpikat , cuma dia punya kemahiran yang hebat dalam menconteng daun pudina di atas latte . mungkin , sebab itu pelanggan perempuan di sana memanggilnya barista comel .

pagi yang redup itu disenangi dengan pemandangan epal merah di belah timur , di sebalik kaca kedai kopi . mereka yang di dalam pasti sayang sekali memetik panorama yang menghiasi mata mereka . tidak mahu merosakkan karya hebat daripada tuhan yang maha pencipta . dingin . asap nipis itu dipenuhi aroma cawan putih , menyerbu ke pelosok kedai kopi . menjadi hangat tika dihirup .






dan lelaki berwajah masam itu duduk bersendirian . di penjuru berdekatan dengan bunga rosette yang digantung di dinding . tempat duduknya berada di sebelah tempat barista comel yang gemar mengukir daun pudina di atas latte .

wajahnya mencuka di balik asap nipis latte . wajah yang tidak bahagia . wajah seorang lelaki yang ditinggalkan kekasihnya . dan barista comel itu yang leka dengan bahagianya , tergerak untuk menutur kata . kata-kata comel daripada orang yang comel kepada seorang lelaki yang tidak comel lagi .

tuhan itu maha bijaksana . Dia menciptakan antonim . untuk tahu rasa berlawanan . tanpa rasa kenyang , manusia tidak merasa lapar . tanpa cahaya , manusia tidak kenal bayang-bayang . dan tuhan menciptakan bumi itu adanya gelap malam untuk mengajar manusia yang esoknya ada siang yang cerah . tuhan menjadikan rasa sakit untuk biar mata manusia itu celik betapa bahagianya nikmat sihat .

 itulah cinta tuhan kepada manusia . cinta yang perlu dibalas oleh hamba-hambaNya .

begitulah kerja tuhan , Dia mengurangkan nikmat-nikmat yang ada pada manusia untuk tahu rasa bersyukur . dengan hadiah berbentuk kehilangan bahagia , manusia mengetahui yang itu ada mahalnya . cinta itu hanya dikenal melalui perpisahan .

bahagia dalam percintaan itu tidak dapat disukat jika engkau tidak mengenal ertinya perpisahan . perpisahan itu mengajak kita menyukat , sebanyak mana retaknya hati kita .





wajah lelaki itu kurang seri . berfikir di balik asap nipis cawan putihnya . ligat berfikir bait-bait barista comel itu .

di saat seseorang hambaNya sedang menghampiri api halimunan , Dia mencubit lengan hambaNya daripada dekat panas hitam itu . sakitnya hanya sedikit jika dibandingkan bahang berusia berabad-abad lamanya .

sakit cubitan itu hanya berbekas merah hari ini atau esok paling lama , usah dikenang-kenangkan sakit kemerahan-merahan di tangan yang sudah sembuh semalam . carilah penawar hakiki , bukannya cari penawar untuk disapu ke bekas cubitan yang sudah sembuh tetapi penawar yang untuk disapu dalam hati .

bacalah tinta tuhan , biarkan Dia berkata-kata kepada dirimu . semoga hatimu yang keras kembali lembut dibentuk . menggapai awan hamba yang comel di mataNya .

lelaki itu menundukkan wajahnya . minumannya masih belum disentuh . namun , hangatnya masih belum habis . kuasa sedap dalam cecair itu ialah rasa panas yang padu disebati dengan atmosfera dingin itu .




lelaki yang sedang melakukan percubaan dalam melakukan hal-hal baik , dia ialah seorang lelaki yang sedang berusaha . lelaki yang berusaha dalam mengerjakan kebaikan itu , bukanlah menjadikannya seorang lelaki yang terbaik , tetapi dia menjadi lelaki yang lebih baik pada hari semalamnya .

jangan sesekali mudah putus asa kerna tuhan selalu menjadi peminat rahsia . peminat rahsia yang selalu mendampingi hamba-hambaNya tika mereka leka dengan urusan duniawi . Dia sentiasa ada di balik 360 darjah hati mu . sebutlah nama tuhan yang telah menciptakanmu dan terokailah . nescaya , engkau akan bersua dengan wajah tuhanmu yang sedang tersenyum manis .

tika waktu engkau meraba ilham yang kedua , tuhan sudah bersedia menolong hambaNya dengan ilham yang keseratus . berdoalah . pinta kepadaNya aroma kekuatan yang bisa menguatkan rasa percaya untuk terus bergerak ke jalanNya . doa itu percuma .





lelaki itu mengangkat wajahnya . wajah yang sudah ada percaya . dia menghirup minumannya , menghilangkan daun pudina yang diukir krim putih . hidup ini ada panduan , bukanlah manusia yang menulisnya tetapi tuhan yang satu dan layak disembah oleh manusia .

dan barista comel itu mengangkat keningnya sambil tersenyum . senyum kerna dia rasa panggilan comel itu ada rasa bahagia dalam hatinya .

3 comments:

Zubaidah said...

tq for the entry. sbnrnyer kan, hati aku tgh 'demam'. aku mmg hilang srba sdkit smngat aku. tp aku harap sgt Allah dgr semua doa aku

L.I said...

teruskan dgn meminta , insyaAllah lembutlah hati ^_^

Inspector Saahab said...

menarik :)