Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
untuk adik-adik yang bakal menduduki UPSR , PMR dan SPM , ucapan semoga berjaya diberi . tidak kurang juga kepada abang mahasiswa dan kakak mahasiswi yang sedang berhempas pulas dan bersengkang mata untuk mengulangkaji pelajaran . selamat berusaha diucapkan kepada anda semua .
jadi , kepada mereka yang belum naik gred itu , bersiap siagalah membuntangkan mata daripada sekarang demi menghadiahkan senyuman ibubapa yang bisa membawa ke langit . dalam debaran jantung yang buat sesama lutut belah kanan dan kiri berlaga , jangan lupalah menyediakan masa dengan yang maha pemurah . jangan pula kita sibuk meracau dengan segala nota-nota yang penuh bersepah di dalam laci meja studi sehingga lupa untuk mengaji .
jaga-jaga ya , nanti yang maha pengasih cemburu pula . kerna sedikit masa sahaja yang diperuntukkan untukNya . ibadah itu merehatkan , jangan tergesa-gesa dek kerna senarai formula halaman sebelah belum dibaca lagi .
apapun , ada sedikit perkongsian di sini . di samping waktu sekarang untuk rehat-rehatkan mata , boleh juga kita membaca yang santai daripada bertegang urat melangsaikan soalan matematik tambahan .
jangan risau ia berkenaan studi juga , bukannya tulisan bunga-bunga yang bikin otak berkhayal dengan imaginasi luar alam sehingga terlupa nama tulang jari jemari kaki manusia .
dalam sibuk dengan berpestakan musim peperiksaan , pelajar-pelajar akan menjadi lebih pasif . ada yang dahulunya kuat bermain futsal tidak kira mentari atau rembulan . kering mahupun ribut . pasti akan riuh rendah gelanggang futsal yang koyak rabak jaring golnya . itu bukan musim peperiksaan . tatkala musim peperiksaan menjengah hadir , rumput kering berbentuk bulat comel ditiup sepoi-sepoi bahasa . sifar pemain futsal tegar . dek kerana dihambat bab-bab yang belum diterokai lagi .
sama juga yang selalu keluar ke pekan , pasti akan terperap ke bilik . bertapa menghafal segala buku teks di hadapan mata . ini tipikal . rasanya , ramai yang tahu atmosfera begini . tak perlu dihuraikanlah agaknya .
mungkin , di sini ingin tekankan dari segi gaya studi yang saya kutip daripada salah seorang saudara mara yang super dingin . ^_^ . gaya studi yang ingin dihuraikan ialah penghafalan . bagaimana anda menghafal? setiap manusia yang punya keturunan berbeza ada pelbagai cara tersendiri .
jaga pemakanan . sudah tentu . makan kismis . balun kurma . memang makanan ruji harian dah setiap hari . tercongok atas meja studi . buat snek untuk tidak buatkan mata lelap dan mengantuk . alhamdulillah , sunnah nabi .
bikin peta minda . dengan warna yang cantik juga bisa merangsang otak untuk ingat lebih bagus . jarang sekali lelaki seperti saya yang bikin peta minda , yang ramainya perempuan lah yang suka beraktiviti begini . jika ada yang lelaki bikin peta minda , memang dia seorang lelaki yang rajin . wah .
ya , ada pelbagai cara lagi . namun , apa yang ingin dikongsikan rasanya mungkin ada juga yang tahu . err tak kisahlah bukannya nak kongsikan gadjet atau ubat yang bisa kuat ingatan . ia berkenaan menghafal dengan cara mengajar orang lain .
zaman sekolah dulukala , ada sistem studi yang memperkenalkan sistem tutor yakni mengajar pelajar yang lemah dalam subjek tertentu . serius , ini sangat membantu . kenapa?
tatkala , kita hadir ke kuliah , kita sudah sematkan diri belajar kerana Allah . ya , sebut basmalah ketika itu . daaaaan....dan jangan lupa tambah lagi satu niat , belajar kerna ingin berkongsi dengan rakan-rakan . hah sebab apa , satu tika kita sudah berniat mahu mengajar kawan-kawan yang mungkin kurang faham , kita akan berasa lebih bertanggungjawab untuk fokus dalam kuliah .
manusia akan buat satu perkara demi untuk berasa dia penting . itu fitrah . jadi , apabila ada teman yang mengadu kurang faham akan subjek fizik . kita akan bekerja keras untuk menghadam formula fizik yang melekat di muka buku teks tebal warna jingga demi untuk membuatkan si teman itu faham . sekaligus , si teman itu akan menyanjung kita dan buatkan kehadiran kita penting dalam diri si teman . wah , kembang hidung dapat ajar orang .
soal ujub , riya' dan takbur itu tolak ke tepi sekejap . itu soal hati . manusia mana boleh tengok hati manusia lain . tuhan sahaja yang bisa tengok . jadi , janganlah hakimi seorang lelaki atau perempuan yang selalu dihujani pujian kerna banyak membantu rakan-rakannya .
bersangka baiklah .
dengan mengajar orang lain , kita akan berkerja keras mengingati kembali ( recall ) apa yang pernah diajar dalam kuliah . kita akan kembali membelek setiap halaman buku teks demi untuk membantu rakan yang kurang faham . maka , di situ ingatan kita akan sentiasa segar dan hangat di kepala . lagipun , ada unsur mutualisme di sini . kita sama-sama bergantung antara satu sama lain .
yang tak faham akan jadi faham . yang faham akan lebih ingat apa yang dia faham . dan ianya akan berterusan jika ada satu pihak itu terus berkongsi ilmu .
lantik lah beberapa tutor daripada kalangan rakan anda yang pandai , bertanya dan berkongsi ilmu apa yang diajar di kuliah masing-masing . janganlah pula , yang pelajar yang sudah terasa pandai itu bikin bisu pula . janganlah berkata tidak tahu semberono tanpa mencubanya dek kerana takut rakannya merampas kedudukan dekan . aish .
“Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa ditanya tentang ilmu yang dia ketahui, kemudian dia menyembunyikannya, dia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka pada hari kiamat.”
(HR Abu Daud dan at-Tirmizi)
tika mereka yang kurang faham datang mengetuk pintu bilik , sambutlah mereka dengan muka yang bersungguh untuk membantu mereka . hidup ini kaya dengan mutualisme . kau bantu aku faham , aku bantu kau ingat lebih lekat .
dengan berkongsi ilmu , kita tidak akan berasa sedikit rugi pun . rakan kita juga . jika punya agama yang sama , saudara seagama juga . hidup dalam komuniti yang sama . lahir di tanah air yang sama . tambahan , ini salah satu amal yang bikin hati yang korup dengan legam bisa jadi putih berseri . untuk kubur kita juga .
selamat berusaha .
Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, “Apabila Nabi SAW didatangi kepadanya oleh orang yang memerlukan pertolongan, Baginda menghadap kepada sahabat-sahabatnya yang sedang duduk bersamanya lalu bersabda: Bantulah dia nescaya kamu akan mendapat pahala, dan Allah akan menyempurnakan atas lidah nabinya yang disukai (dalam riwayat lain apa yang di kehendakinya).”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
![]() |
Allahuma najihna fi kulli imtihan |